Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perhimpunan agama lebih 100 orang perlu jalani praujian dahulu mulai 8 Mei

Had perhimpunan sosial dan tetamu di rumah akan dikurangkan daripada lapan orang menjadi lima sahaja, mulai 8 Mei hingga 30 Mei. Langkah itu diambil ketika Singapura memperketat langkah COVID-19 di tengah-tengah peningkatan jumlah kes dalam masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
Perhimpunan agama lebih 100 orang perlu jalani praujian dahulu mulai 8 Mei

Sekitar majlis Maulidur Rasul di Masjid Yusof Ishak pada 1 Nov 2020. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITAmediacorp)

Diterbitkan : 04 May 2021 09:18PM Dikemas Kini : 04 May 2021 09:25PM

SINGAPURA: Had perhimpunan sosial dan tetamu di rumah akan dikurangkan daripada lapan orang menjadi lima sahaja, mulai 8 Mei hingga 30 Mei. Langkah itu diambil ketika Singapura memperketat langkah COVID-19 di tengah-tengah peningkatan jumlah kes dalam masyarakat.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengehadkan perhimpunan sosial tidak melebihi dua sehari, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (4 Mei).

Bilangan pekerja yang dibenarkan berada ke tempat kerja juga akan dikurangkan dalam tempoh yang sama.

"Majikan mesti memastikan bahawa tidak lebih daripada 50 peratus pekerja yang boleh bekerja dari rumah kembali ke tempat kerja pada bila-bila masa," menurut MOH. Ini lebih rendah daripada 75 peratus pada masa ini.

Perhimpunan sosial di tempat kerja harus dielakkan, menurut kementerian itu.

"Namun, jika tidak dapat dielakkan, misalnya pada waktu rehat makan, perhimpunan tersebut tertakluk kepada had lima orang," tambah MOH.

GIM, STUDIO SENAMAN DITUTUP

Gimnasium tertutup dan studio senaman perlu ditutup dari 8 hingga 30 Mei kerana dikenal pasti sebagai sekitaran berisiko tinggi.

"Tempat-tempat ini adalah ruang tertutup yang kecil di mana orang sering membuka pelitup ketika bersenam, dan dalam jarak rapat dengan ramai orang lain yang juga tidak berpelitup," jelas MOH.

Program dan kelas senaman di ruang terbuka yang dirancang boleh diteruskan, tertakluk pada saiz kelas 30 orang.

"Ini merangkumi had kumpulan hingga 5 orang dan jarak 3 meter antara setiap kumpulan," menurut MOH.

MOH menyatakan pihaknya akan "tetap waspada" dan terus memantau aturan dan kegiatan berisiko tinggi lain seperti dewan sukan tertutup dan khidmat persendirian seperti urut, spa, dan rawatan muka.

Pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 Lawrence Wong berkata semasa satu sidang media bahawa langkah-langkah itu akan membawa Singapura kembali ke Fasa 2 selama beberapa minggu.

"Ini bukan tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19. Kami tentunya berharap tidak perlu mengisytiharkan satu lagi langkah pemutus rantaian jangkitan," katanya.

Walaupun langkah-langkah tersebut mula berkuat kuasa pada 8 Mei, Encik Wong menggesa orang ramai agar mengurangkan kegiatan mereka sebanyak mungkin mulai Selasa.

KUMPULAN LEBIH KECIL, UJIAN WAJIB SEBELUM ACARA

Untuk meminimumkan kemungkinan pembentukan kelompok besar, MOH menyatakan ia akan mengurangkan saiz acara dan mewajibkan ujian bagi perhimpunan yang melebihi had ditetapkan.

Perkhidmatan keagamaan dan perhimpunan keagamaan yang lain mulai 8 Mei hingga 30 Mei memerlukan ujian sebelum acara jika terdapat lebih daripada 100 peserta pada satu-satu masa, terhad kepada 250 hadirin kesemuanya.

"Untuk mengurangkan risiko penularan, nyanyian berkumpulan akan dihentikan sementara dalam badan-badan keagamaan untuk menangani risiko penularan," jelas MOH.

Bagi majlis perkahwinan, jumlah maksimum hadirin adalah 250 kesemuanya - termasuk pasangan pengantin tetapi tidak termasuk kadi dan vendor berlesen untuk keseluruhan acara - dibahagi kepada zon sehingga 50 orang setiap satu.

Ujian sebelum acara diperlukan bagi pasangan pengantin untuk majlis pernikahan yang melibatkan lebih 50 orang hadirin, menurut MOH. Majlis persandingan juga boleh diteruskan dengan hingga 250 peserta secara keseluruhannya untuk keseluruhan acara, terbahagi kepada 50 orang setiap zon atau slot waktu.

"Disebabkan risiko yang lebih tinggi di majlis persandingan di mana orang tidak memakai pelitup muka ketika menjamu selera dan bergaul dengan rapat secara berpanjangan, ujian sebelum acara diperlukan bagi semua hadirin (termasuk pasangan mempelai) bagi majlis perkahwinan yang melibatkan lebih 50 hadirin,” MOH menerangkan.

Bagi upacara pengebumian pula, hadirin pada hari pengebumian atau persemadian akan dihadkan kepada tidak lebih 30 orang, daripada 50 orang ketika ini. Had untuk hari-hari lain memberi penghormatan terakhir terhad kepada 30 orang pada satu-satu masa, MOH menambah.

Kementerian tersebut menjelaskan oleh kerana ujian sebelum acara tidak diperlukan, para peserta diingatkan untuk menjaga jarak selamat dan sentiasa memakai pelitup untuk mengurangkan risiko penularan. Sebagai syarat baru, semua acara sukan melibatkan penyertaan beramai-ramai akan ditangguhkan dan tiada penonton yang dibenarkan. Jumlah maksimum tetamu yang dibenarkan dalam persembahan langsung di tempat yang ditetapkan, acara perintis bagi perniagaan dan pawagam akan dikurangkan daripada 750 kepada 250 orang.

Ujian sebelum acara diwajibkan untuk semua peserta acara sebegini sekiranya terdapat lebih daripada 100 peserta. Begitu juga, penonton pawagam akan dikurangkan menjadi 100 hadirin, dengan "potensi untuk ditambah menjadi 250 penonton dengan syarat tambahan ujian sebelum acara", menurut MOH.

Kapasiti operasi juga akan dikurangkan daripada 65 peratus menjadi 50 peratus di muzium-muzium dan perpustakaan awam.

Encik Wong menekankan bahawa sementara harapannya adalah supaya langkah-langkah itu akan memperlahankan penyebaran COVID-19, kemungkinan pemutus rantaian jangkitan tidak ditolak.

"Sekiranya kes-kes baru tanpa kaitan terus muncul dalam beberapa hari dan minggu mendatang, sudah tentu, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah yang lebih ketat, bahkan kemungkinan mengisytiharkan pemutus rantaian jangkitan pada masa hadapan," katanya.

"Tetapi mari kita cuba mengelakkan senario itu, dan mari kita semua mainkan peranan masing-masing." 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan