Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pergas tolak usulan mansuh seksyen 377A Kanun Keseksaan

Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam (Pergas) menolak usulan pemansuhan atau pindaan seksyen 377A Kanun Keseksaan, sambil menyatakan pendirian yang diambil "bukan sahaja berdasarkan pandangan agama, tetapi juga atas dasar keprihatinan moral dan sosial".

Anggaran Waktu Membaca:
Pergas tolak usulan mansuh seksyen 377A Kanun Keseksaan

Logo PERGAS. (Gambar: Laman Islamic Events)

Diterbitkan : 19 Sep 2018 08:02PM Dikemas Kini : 19 Sep 2018 09:32PM

SINGAPURA: Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam (Pergas) menolak usulan pemansuhan atau pindaan seksyen 377A Kanun Keseksaan.

Dalam satu kenyataannya pada Rabu (19 Sep), pertubuhan yang mewakili para ulama dan asatizah di Singapura itu menyatakan, pendirian yang diambil "bukan sahaja berdasarkan pandangan agama, tetapi juga atas dasar keprihatinan moral dan sosial" yang mempunyai kesan bukan sahaja kepada institusi kekeluargaan tetapi juga terhadap masyarakat umumnya.

PEMBENTUKAN KELUARGA MENERUSI PERNIKAHAN SAH SEORANG LELAKI DAN WANITA

Dalam penjelasannya, Pergas menyatakan bahawa pemansuhan akta berkenaan membawa implikasi yang membimbangkan, termasuk "menjejaskan serta mengancam" kepentingan unit keluarga tradisional, selain "menafikan teras institusi kekeluargaan yang merupakan asas bagi sesebuah masyarakat".

Tambahnya, menurut maqasid atau objektif syariah tujuan pembentukan keluarga adalah untuk melahirkan generasi baru dan memelihara kewujudan manusia.

"Bagi merealisasikan tujuan tersebut, Islam memberi perhatian terhadap pembinaan sebuah keluarga melalui pernikahan yang sah di antara seorang lelaki dan wanita," menurut Pergas.

HANYA 12% MENOLAK SEKSYEN 377A: IPSOS

Pergas menambah, pemansuhan akta 377A "turut mengesahkan serta menggalakkan selain menormalisasikan gaya hidup LGBTQ", yang jelas bertentangan dengan dasar kekeluargaan pemerintah bagi membina masyarakat yang kukuh.

Dalam kenyataan yang sama PERGAS menukil tinjauan Ipsos yang mendapati hanya 12% menolak seksyen 377A, bermakna majoriti masih berpegang kepada nilai kekeluargaan tradisional. Ia turut menambah bahawa pemansuhan akta tersebut bakal menimbulkan kebingungan bagi generasi muda berhubung nilai dan moral kekeluargaan.

BERSIFAT RAHMAT, BERLAKU HIKMAH

Meskipun demikian, Pergas menggesa masyarakat agar menerapkan dasar-dasar kemanusiaan yang diajar Islam dalam berhubungan sesama manusia. Hubungan bersama semua, termasuk golongan LGBTQ, perlu didasari "dengan rahmah dan mengingini kebaikan buat mereka".

Persatuan itu turut mengajak masyarakat Islam untuk mendampingi dan memberi sokongan agar golongan itu kembali ke ajaran sebenar Islam, dan tidak "menyisihkan, meminggirkan mahupun menghina mereka".

Pergas juga menyatakan harapan agar masyarakat Islam menjaga adab dan berlaku hikmah dalam membincangkan isu tersebut dan supaya tidak merendahkan mahupun menghina golongan tersebut.

Dalam pada itu, Pergas menasihati individu yang menghadapi isu seksualiti agar mendapatkan panduan agama daripada para asatizah dan kaunselor bertauliah yang berpegang kepada prinsip agama Islam. 

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan