Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pergas, PPIS Oasis gabung tenaga sebar mesej ambil anak titipan

Golongan asatizah kini dilibatkan dengan lebih aktif dalam gerakan menyebarkan mesej mengenai perlunya lebih ramai ibu bapa titipan dari kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Golongan asatizah kini dilibatkan dengan lebih aktif dalam gerakan menyebarkan mesej mengenai perlunya lebih ramai ibu bapa titipan dari kalangan masyarakat Melayu/Islam.

PPIS Oasis, iaitu sebuah pusat anak titipan dibawa naungan Persatuan Pemuda Pemudi Islam Singapura (PPIS), kini bekerjasama dengan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) untuk tujuan itu.

Ditubuhkan sejak 2017, PPIS Oasis ialah agensi titipan kebangsaan ketiga di Singapura.

Sejauh ini 90 pasangan ibu bapa tampil menjaga anak titipan dari PPIS Oasis.

Namun hakikatnya, masih ramai lagi ibu bapa titipan diperlukan, menurut pusat itu.

Kurangnya pengetahuan tentang penjagaan anak titipan di kalangan masyarakat Melayu/Islam merupakan antara faktor yang menyukarkan lagi usaha PPIS untuk menarik ibu bapa titipan.

Jadi, dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang penjagaan anak-anak titipan, PPIS Oasis mengorak kerjasama dengan Pergas.

Antara usahanya termasuklah menganjurkan ceramah dan perbincangan online baru-baru ini.

Ini pertama kali sebuah sesi khusus diadakan buat golongan asatizah, bagi mengupas isu anak titipan.

Tahun lalu, kedua-dua badan Islam tersebut pernah bergabung menganjurkan ceramah kepada ibu bapa.

PPIS: ASATIZAH MEMPUNYAI PENGARUH POSITIF UNTUK MENDORONG MASYARAKAT

Dengan rangkaian luas golongan asatizah bersama masyarakat ibu bapa Islam, mereka diharap dapat menjadi penghubung maklumat tentang skim-skim titipan serta menggalak pengambilan anak-anak titipan.

"Asatizah boleh menyokong usaha kami dengan terus sebarkan maklumat melalui wadah masing-masing tentang kepentingan skim ibu bapa titipan ini, tentang keperluan lebih ramai keluarga membuka hati serta rumah mereka untuk menjaga anak-anak titipan," kata Cik Aquila Deanna Zulkifli, seorang pekerja sosial di PPIS Oasis.

"Jadi sebagai penyumbang kepada pembangunan masyarakat, asatizah juga mempunyai pengaruh yang positif, yang kuat untuk mendorong masyarakat kami untuk tampil dan sama-sama membantu anak-anak titipan."

ISLAM MENITIKBERATKAN PENJAGAAN ANAK YATIM, TERBIAR DAN TERBUANG

Pergas akur ada pelbagai cara yang boleh disumbangkan asatizah termasuk memimpin melalui teladan.

"Yang pertama, para asatizah boleh menjadi ibu bapa titipan sendiri maksudnya mereka mengambil anak titipan untuk dijaga ataupun mereka menjadi sukarelawan untuk program-program yang dianjurkan oleh PPIS Oasis.

"Sekiranya para asatizah mempunyai kenalan yang mengambil anak titipan, mereka boleh menghulurkan sokongan kerohanian seperti perkongsian cara didikan yang perlukan kesabaran dan juga (menjelaskan kesilapan) stigma mengenai kebatasan aurat dan kerisauan mengenai hubungan antara keluarga titipan dengan keluarga sebenar," kata Pegawai Eksekutif dari Jabatan Kepimpinan Keagamaan Pergas, Ustazah Nadhirah Mazlan.

Pergas menekankan bahawa Islam menitikberatkan penjagaan anak yatim dan juga anak terbiar ataupun anak terbuang. Ia menambah, jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa mengambil anak angkat itu adalah amanah dan tanggungjawab masyarakat Islam itu sendiri.

PPIS Oasis pula menekankan bahawa orang ramai masih lagi salah anggap bahawa mereka "perlu menjadi suri rumah sepenuh masa jika mahu menjadi ibu bapa titipan". Ini kurang tepat, terang agensi itu kerana sebilangan ibu bapa titipan di bawah PPIS Oasis bekerja sepenuh masa. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan