Images
  • ppis pergas
    (Gambar: Facebook/PPIS/Pergas)

PERGAS, PPIS alu-alukan pelantikan Dr Nazirudin sebagai Mufti

SINGAPURA: Badan-badan Melayu/Islam bersuara mengalu-alukan pelantikan Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir sebagai Mufti Negara yang baru bagi Singapura.

Badan-badan tersebut juga melahirkan penghargaan tinggi kepada sumbangan yang dihulurkan Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram, yang akan melepaskan jawatan tersebut untuk memberi laluan kepada kepimpinan baru.

Dalam ulasannya menerusi Facebook, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ustaz Dr Nazirudin selaku Mufti keempat Singapura.

"Pergas akan terus menyokong dan bekerja rapat dengan Mufti baru kita serta dua lagi Timbalan Mufti - Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan & Ustaz Mohd Murat Md Aris," tulis PERGAS.

"Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk melahirkan ucapan terima kasih tertinggi kami kepada Ustaz Dr Fatris Bakaram di atas sumbangan besarnya kepada masyarakat Islam di Singapura sejak sembilan tahun lalu."

PPIS TURUT UCAP TAHNIAH

Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) juga menzahirkan penghargaannya yang mendalam kepada Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram atas ketrampilannya yang dihormati serta pucuk kepimpinan yang berharga kepada masyarakat Islam sepanjang berkhidmat sebagai Mufti.

PPIS seterusnya mengucapkan tahniah kepada Ustaz Dr Nazirudin atas pelantikannya sebagai Mufti Negara serta Ustaz Mohd Murat Md Aris dan Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan sebagai Timbalan Mufti.

PPIS akur bahawa kewajipan MUIS kian rumit dengan keperluan masyarakat Islam yang sering berubah-ubah di tengah-tengah sosiobudaya majmuk di Singapura.

Lantaran itu, pihaknya tahu pentingnya membina saluran bakat dan pelan pembaharuan pucuk kepimpinan bertenaga.

"PPIS yakin pelantikan dua Timbalan Mufti akan mengukuhkan lagi pucuk kepimpinan di pejabat Mufti dalam menyediakan bimbingan agama mengenai inisiatif penting bagi masyarakat," menurutnya dalam kenyataan media.

ALU-ALUKAN BIMBINGAN MUFTI BARU

Pernah berkerjasama dengan Ustaz Dr Nazirudin sebelum ini, PPIS juga mengalu-alukan bimbingan Mufti baru dalam usaha meningkatkan taraf masyarakat.

Badan tersebut juga yakin akan kepakaran kedua-dua Timbalan Mufti dan berharap dapat terus bekerjasama dengan Pejabat Mufti bagi kemajuan masyarakat, terutama sekali kaum wanita.

Presiden PPIS, Cik Rahayu Mohamad berkongsi: "Kepimpinan agama oleh Mufti berhubung isu-isu negara dan pemupukan integrasi masyarakat (Melayu/Islam)kepada masyarakat berbilang agama lebih luas sudah menjadi sebati dalam meningkatkan program-program dan khidmat-khidmat PPIS, serta melanjutkan lagi misi kami untuk mengukuhkan keluarga.

"PPIS berterima kasih kepada pendekatan menyeluruh yang diambil Pejabat Muft dalam menggabungkan isu-isu keluarga dengan topik-topik Islam dalam membentuk nilai-nilai masyarakat Islam tempatan."

- BERITAmediacorp/im

Top