Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PERGAS akan tingkatkan usaha tangani radikalisme

PERGAS akan meningkatkan lagi peranannya demi menyokong usaha MUIS dalam membimbing masyarakat Islam Singapura untuk hidup makmur sebagai satu masyarakat majmuk.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: PERGAS akan meningkatkan lagi peranannya demi menyokong usaha MUIS dalam membimbing masyarakat Islam Singapura untuk hidup makmur sebagai satu masyarakat majmuk.

Buat masa ini usaha itu digerakkan melalui program Pendidikan Berterusan Profesional, atau CPE kendaliannya.

Anggota Majlis Tertinggi PERGAS, Ustaz Fathurrahman Dawoed, berkata demikian sebagai mengulas langkah-langkah yang boleh diperketatkan persatuan tersebut dalam menangani isu radikal dan fahaman pelampau di sini.

Beliau memberi pandangannya berikutan langkah Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Rabu (16 Jan) mengenakan perintah sekatan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ke atas dua rakyat Singapura.

Guru agama bebas, Murad Mohd Said, 46 tahun, diletakkan di bawah perintah itu pada 5 Dis tahun lalu kerana "menyebarkan ajaran yang menggalak pengganasan serta pandangan yang menjejas perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura," menurut MHA.

Pengikut Murad, Razali Abas, diberkas di bawah ISA pada Sept 2018 selepas dia didapati berpegang kepada fahaman-fahaman radikal yang menganjurkan keganasan bersenjata terhadap mereka yang dianggap musuh Islam, menurut MHA.

Teknisyen berusia 56 tahun itu dikenakan perintah sekatan sebulan kemudian bagi mencegahnya daripada terus terjerumus dalam fahaman pelampau.

"Dengan adanya kursus-kursus yang ditawarkan ataupun dijalankan dalam CPE, saya fikir asatizah akan lebih memahami konteks di Singapura. Oleh itu, mereka akan menyampaikan ajaran agama Islam itu sesuai dengan konteks kita di Singapura yang mana kita ini berbilang bangsa dan berbilang agama," ujar Ustaz Fathurrahman. 

Tambah beliau, asatizah yang ditauliahkan di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) serta para pemimpin agama juga perlu peka dengan kepelbagaian pandangan yang wujud dalam Islam dan mengamalkan kesederhanaan ketika menyampaikan dakwah atau ajaran.

Ustaz Fathurrahman turut menasihatkan masyarakat Islam setempat agar merujuk kepada asatizah yang bertauliah dan sentiasa menyemak pentauliahan mereka itu, seandainya ada sebarang kemusykilan, di lelaman ARS.

"Juga, setiap individu dalam masyarakat Islam untuk merujuk kepada pelbagai asatizah dan tidak terikat kepada salah satu asatizah ataupun salah satu pandangan sahaja," kata Ustaz Fathurrahman. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan