Images
  • pm lee (5)
    Perdana Menteri Lee Hsien Loong. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan terima Anugerah Negarawan Dunia

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan menerima Anugerah Negarawan Dunia 2019 daripada kumpulan antara agama Appeal of Conscience Foundation yang berpangkalan di Amerika Syarikat pada 23 Sep.

Anugerah tersebut akan disampaikan kepada PM Lee di New York pada satu majlis jamuan malam, kata presiden dan pengasas yayasan tersebut, Rabbi Arthur Schneier pada Selasa (16 Apr).

"Perdana Menteri Lee akan diiktiraf kerana memupuk masyarakat yang mendakap kepelbagaian budaya dengan masyarakat etniknya mengekalkan cara kehidupan yang unik. Pada masa yang sama mereka hidup bersama secara harmoni," kata Rabbi Schneier.

PM Lee juga akan diiktiraf kerana "menyokong ekonomi yang berteraskan ilmu dan sistem pendidikan yang menyediakan rakyatnya dengan kemahiran-kemahiran penting dan ilmu untuk bertahan dalam persekitaran global yang bersaing serta melaksanakan sebuah infrastruktur kesihatan yang dikenali dan bertaraf dunia," tambahnya.

Anugerah Negarawan Dunia mengiktiraf para pemimpin yang menyokong kedamaian dan kebebasan dengan menggalak sikap toleransi dan menghormati maruah diri dan hak asasi manusia.

Mereka juga menegakkan isu-isu ini di negara mereka dan bekerjasama dengan para pemimpin dunia untuk membangunkan masa depan yang lebih baik, menurut laman yayasan tersebut.

Antara para penerima anugerah itu sebelum ini ialah mantan presiden Perancis Francois Hollande pada 2016, mantan perdana menteri Britain David Cameron pada 2015, serta mantan presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudoyono pada 2013.

- CNA/NA/na

Top