Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perdana Menteri baru S'pura besar kemungkinan kekalkan status quo

Masih belum lagi ada calon yang menyerlah dalam kepimpinan generasi keempat.

Anggaran Waktu Membaca:
Perdana Menteri baru S'pura besar kemungkinan kekalkan status quo

Forum bagi membahaskan tentang perdana menteri selanjutnya di Kolej Tembusu NUS. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 22 Mar 2018 12:17AM Dikemas Kini : 22 Mar 2018 12:21AM

SINGAPURA: Masih belum lagi ada calon yang menyerlah dalam kepimpinan generasi keempat.

Demikian menurut beberapa Anggota Parlimen dilantik (NMP) dan beberapa lagi yang pernah menyandang jawatan itu. Mereka mengatakan demikian dalam sebuah forum pada Selasa (20 Mac) tentang penggantian pucuk kepimpinan Singapura.

Bagaimanapun, tidak kira siapa yang menggantikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong nanti, sesetengah ahli panel berpendapat umumnya, ia tidak akan banyak berbeza, dengan perdana menteri baru nanti dijangka tidak terpesong daripada cara-cara yang sudah teruji berjaya.

"Apabila kami membicarakan tentang kepimpinan generasi keempat, antara cabaran (mengenal pasti seorang pengganti) adalah tiada di antara mereka akan meninggalkan kesan yang mendalam," kata mantan NMP dan pensyarah perundangan di Universiti Pengurusan Singapura Dr Eugene Tan.

Dr Tan, usahawan sosial Kuik Shiao-Yin dan peniaga Zulkifli Baharudin merupakan penyampai ucapan di forum tersebut - yang dikendalikan duta besar Tommy Koh - yang diadakan di Kolej Tembusu Universiti Nasional Singapura. Tajuk forum itu adalah Perdana Menteri Singapura yang Keempat: Aspirasi dan Harapan.

Menteri Pejabat Perdana Menteri Chan Chun Sing, Menteri Kewangan Heng Swee Keat dan Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran) Ong Ye Kung muncul sebagai antara calon bagi jawatan tinggi itu. Profesor Madya Tan menarik perhatian kepada ketiga-tiga calon dan mengatakan: "Mereka semua serupa."

Beliau berhujah bahawa Perdana Menteri selanjutnya seharusnya menyerlah dalam bidang politik dan tampil untuk menunjukkan siapa dirinya dan menonjolkan keperibadiannya, "walaupun prinsip kepimpinan kolektif dominan dalam system pemerintahan kita".

"Rakyat Singapura mempunyai harapan tinggi terhadap para pemimpin mereka - bahawa mereka bukan sekadar teknokrat tetapi penuh dengan nilai, prinsip, dan impian, dan akan menegakkan apa yang mereka yakini dan tidak mudah menyerah," tambah Dr Tan.

Bersetuju dengan kenyataan itu, Cik Kuik mengatakan bahawa seorang pemimpin dilentur melalui gabungan penilaian orang awam tentang keprihatinan individu terhadap orang lain, keikhlasan, kebolehan dan boleh dipercayai. "Keupayaan dan sikap boleh diharapkan merujuk kepada apa dan bagaimana anda melakukannya. Dan Singapura adalah sebuah negara yang baik dalam bidang ini," katanya.

Cik Kuik menambah: "Sikap penyayang dan keikhlasan mendalam terletak kepada sama ada masyarakat boleh merasakan begini: Adakah saya tahu siapa anda? Adakah saya tahu mengapa anda ada di sini?"

Encik Zulkifli, pengerusi eksekutif rangkaian logistik dan bekalan Indo-Trans Corporation, berpendapat rakyat Singapura akan "menyaksikan status quo" tidak kira siapa pemimpin generasi keempat yang dipilih.

"(Suka atau tidak), anda sudah menentukan siapa Perdana Menteri selanjutnya," kata Encik Zulkifli, merujuk kepada pemimpin Singapura yang selanjutnya.

Encik Zulkifli, yang juga duta Singapura ke Uzbekistan dan Kazakhstan, menyatakan kepimpinan di negara ini "sudahpun ditetapkan dalam satu cara" selama lebih 50 tahun sejak negara ini mencapai kemerdekaan. Iaitu: individu yang mempunyai kelayakan akademik yang menyerlah, rekod kerjaya yang baik dalam syarikat atau birokrasi yang berkaitan dengan pemerintah dan mempunyai keperibadian yang sederhana.

Meskipun orang ramai inginkan seorang pemimpin yang berani dan transformatif, "dengan rendah diri saya berpendapat kita sudah menerapkan sikap konservatif kita dalam pemilihan pemimpin generasi selanjutnya", kata beliau.

"Jadi kita tidak akan mendapatkannya (pemimpin dengan ciri-ciri yang diiginkan)... ini dilemma yang dihadapi kami semua," tambah beliau.

Di acara itu, Encik Tan Yang Long, seorang mahasiswa tahun kedua sosiologi yang berusia 23 tahun, turut membacakan surat terbuka kepada bakal Perdana Menteri Singapura.

Beliau mengatakan kohortnya berharap Perdana Menteri berkenaan akan menerajui "interaksi yang lebih nyata, terbuka dan sivil" tentang topik-topik yang berkisar kepada isu keseksualan dan keagamaan.

"Pelantikan anda juga ialah titik permulaan bagi kita untuk mula tidak bersikap berhati-hati tentang (isu-isu) kepelbagaian dan malah bersikap lebih terbuka dan berani terhadapnya, serta mempercayai bahawa kami mampu mengendalikan perbicaraan seperti ini."

Beliau menambah: "Kami berharap apabila anda berkata 'untuk rakyat', 'untuk Singapura', atau 'untuk kita', anda akan menimbangkan tentang mereka yang terperangkap dalam jurang yang kita sendiri cipta, tidak dibicarakan kerana garis yang kita sendiri lakarkan, atau dianggap tidak wujud dengan dinding yang kita sendiri bina. Lagipun, apakah negara ini, tanpa rakyatnya?"

Menjawab pertanyaan satu lagi mahasiswa tahun keempat bidang sains politik tentang apakah persoalan siapa yang dipilih sebagai sesuatu yang penting, Profesor Koh - yang pernah bekerja dengan ketiga-tiga Perdana Menteri - menekankan bahawa pemimpin yang unggul akan menetapkan "agenda, nada dan haluan Pemerintah".

Merujuk kepada PM pertama dan kedua Singapura, Prof Koh menarik perhatian kepada pentadbiran Encik Goh Chok Tong yang lebih "lembut dan bersifat baik" berbanding zaman mendiang Encik Lee Kuan Yew.

Selepas Encik Goh menyandang jawatan tersebut pada 1990, Prof Koh dilantik untuk mempengerusikan sebuah jawatankuasa untuk melonggarkan rejim penapisan atau penapisan (censorship)Singapura. Prof Koh mengimbas kembali tentang masa beliau bertemu dengan Encik Lee untuk mendapatkan pandangannya terhadap inisiatif itu.

"Encik Lee (Kuan Yew) mengundang saya untuk makan tengah hari (dan memberitahu saya) bahawa penting bagi perdana menteri baru untuk menetapkan haluannya sendiri dan dasar-dasarnya... Encik Lee memberitahu saya bahawa saya perlu membantu PM Goh dan apa yang akan saya lakukan (akan) mendapat sokongan penuh beliau," kata Prof Koh.  

Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan