Images
  • okletsgo
    OKLETSGO membuat permohonan maaf secara terbuka. (Gambar: okletsgo.sg/Instagram)

Perbincangan terbuka tidak perlu merendahkan wanita, langgar norma masyarakat: AMP, MENDAKI

SINGAPURA: Dua badan bantu diri setempat, Yayasan MENDAKI dan AMP pada Isnin (15 Jun) menekankan pentingnya mengadakan perbincangan secara bertanggungjadengan budi pekerti dan saling menghomati.

Mereka merujuk kepada perbincangan baru-baru ini mengenai saluran podcast OKLETSGO yang bersifat merendahkan dan menghina wanita.

Bahkan Presiden Halimah Yacob, Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dan beberapa Anggota Parlimen Melayu/Islam juga menyuarakan kekecewaan mereka dan tampil mengulas isu tersebut.

Presiden Halimah meminta OKLETSGO "secara ikhlas dan dengan rendah hati meminta maaf kepada semua wanita atas komen-komen yang menyinggung perasaan, memalukan dan misoginistik terhadap wanita."

"TIDAK PERLU LANGGAR NORMA MASYARAKAT": MENDAKI

Pada Isnin, Yayasan MENDAKI mengeluarkan kenyataan di laman Facebook menarik perhatian bahawa pihaknya menerima maklum balas orang ramai berhubung komen-komen yang dibuat OKLETSGO.

MENDAKI sebelum ini, bersama agensi-agensi pemerintah seperti Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan badan daya kerja Workforce Singapore (WSG) Workforce Singapore pernah tampil dalam rancangan OKLETSGO menerusi kandungan tajaan.

"MENDAKI kekal teguh dengan pendirian bahawa setiap individu harus dihormati dan diakui sebagai anggota yang menyumbang kepada masyarakat," tulis badan bantu diri itu.

"Kami yakin perbincangan dan perbualan boleh dan mesti dilakukan secara bertanggungjawab dengan rasa hormat antara satu sama lain.

"Dalam perbualan yang benar-benar matang, telus dan produktif, kita tidak perlu melanggar norma masyarakat. Ayuh memimpin dengan menjadi peran contoh yang baik," tulis MENDAKI.

"KECEWA KOMEN OLG TERHADAP WANITA": AMP

Sementara itu, AMP pula menekankan sebagai sebuah badan yang dipimpin seorang wanita dan ramai kakitangannya juga adalah wanita, pihaknya "amat kecewa dengan komen-komen yang dibuat oleh OLG (OKLETSGO) terhadap wanita".

Meskipun akur akan wadah berguna yang ditawarkan podcast itu untuk mengetengahkan topik penuh kontroversi, ini tambah AMP tidak bermakna OKLETSGO boleh "diberi kebebasan untuk membuat komen seksis dan lucah terhadap wanita."

AMP juga menekankan bahawa pandangan terhadap wanita yang ditunjukkan dalam program podcast itu boleh "membentuk dan mempengaruhi pandangan pendengar, dan lama-kelamaan menjadikan pandangan negatif terhadap wanita itu sebagai satu norma".

"Kami berharap OLG akan mengambil kesempatan ini untuk merenung dan berusaha membangunkan kandungan yang ditangani secara sensitif, saling menghormati, dan berbudi pekerti," tulis AMP. 

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/tq

Top