Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perbincangan terbuka, terus-terang: Dr Balakrishnan tentang pertemuan dengan Azmin Ali

Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan berkata pada Ahad (13 Jan) bahawa beliau mengadakan "perbincangan terbuka dan terus-terang" bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali, yang berada di Singapura bagi membincangkan isu-isu dua hala.

Anggaran Waktu Membaca:
Perbincangan terbuka, terus-terang: Dr Balakrishnan tentang pertemuan dengan Azmin Ali

Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali di Singapura pada 13 Januari. (Gambar: Vivian Balakrishnan/Facebook)

Diterbitkan : 14 Jan 2019 08:39AM Dikemas Kini : 14 Jan 2019 10:20AM

SINGAPURA: Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan berkata pada Ahad (13 Jan) bahawa beliau mengadakan "perbincangan terbuka dan terus-terang" bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali, yang berada di Singapura bagi membincangkan isu-isu dua hala.

Lawatan Encik Azmin itu menyusuli keputusan Singapura untuk menangguhkan rundingan-rundingan jawatankuasa bersama menteri mengenai Iskandar setelah Menteri Besar Johor Osman Sapian mengadakan "lawatan tanpa kebenaran" ke kapal Pedoman milik Malaysia, yang berada di perairan Singapura.

"Ada persefahaman yang baik semasa jamuan malam bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Dato' Seri Azman Ali malam ini (13 Jan)," kata Dr Balakrishnan menerusi satu catatan di laman Facebooknya.

"Kami mengadakan perbincangan yang terbuka dan berterus-terang mengenai isu-isu yang kami hadapi sekarang. Kami mengesahkan bahawa ada jauh lebih banyak peluang untuk Malaysia dan Singapura bekerjasama, terutamanya pada masa ekonomi sejagat melalui perubahan sekarang," tambahnya.

Pertemuan di antara kedua-dua menteri itu diadakan di tengah-tengah pertikaian ruang udara dan maritim antara Singapura dengan Malaysia.

Kapal-kapal milik kerajaan Malaysia sudah berkali-kali mencerobohi perairan wilayah Singapura sejak beberapa bulan kebelakangan ini selepas Malaysia meluaskan had pelabuhan Johor Bahru pada Oktober lalu, sekaligus mencerobohi perairan wilayah Singapura dekat Tuas.

Singapura mengemukakan bantahan mengenai peluasan had pelabuhan itu serta pergerakan kapal-kapal tersebut. Kementerian Pengangkutan (MOT) juga meluaskan had pelabuhan Singapura dekat Tuas pada 6 Disember lalu sebagai tindak balas.

Pada Selasa (8 Jan), ketegangan kelihatan reda sedang kedua-dua menteri luar Singapura dan Malaysia mengadakan pertemuan dan bersetuju untuk membentuk sebuah kumpulan kerja bagi mengkaji dan membincangkan hal-hal perundangan dan operasi bagi meredakan ketegangan dan dapat menyediakan asas untuk meneruskan perbincangan dan rundingan lanjut.

Bagaimanapun pada keesokan harinya, Menteri Besar Johor Osman Sapian melakukan satu "lawatan tanpa kebenaran" ke kapal Pedoman dalam "satu tindakan provokatif" yang bercanggah dengan semangat perjanjian kedua-dua negara untuk menghuraikan isu-isu dua hala secara tenang dan membina, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Encik Azmin semalam (13 Jan) berkata, usaha mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh adalah satu kepentingan bagi Singapura dan Malaysia.

"Kita jiran terdekat satu sama lain yang dihubungkan oleh sejarah mendalam dan ikatan kekeluargaan. Marilah kita menghuraikan isu-isu demi kesejahteraan dan masa depan rakyat kita," kata Encik Azmin menerusi kiriman Twitter mengenai pertemuannya bersama Dr Balakrishnan.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan