Images
  • cpl kok yuen chin
    Potret gambar CPL Kok Yuen Chin di upacara persemadiannya (Gambar: Mediacorp)

Perbicaraan 'ragging' SCDF: Saksi nampak CPL Kok 'senyum ketakutan'

SINGAPURA: Korporal (CPL) Kok Yuen Chin, anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) yang mati lemas pada 13 Mei tahun lalu di Balai Bomba Tuas View, kelihatan "senyum dalam ketakutan" dan enggan dibawa ke perigi, menurut seorang rakan NSF di mahkamah pada Rabu (12 Jun).

CPL Kok meninggal dunia setelah ditolak ke dalam perigi pam oleh Staf Sarjan Muhammad Nur Fatwa Mahmood semasa meraikan Tempoh Tamat Perkhidmatannya (ORD).

Fatwa dijatuhi hukuman penjara setahun empat minggu Oktober lalu dan kini dalam tahanan rumah. Dia tampil di mahkamah sebagai saksi pendakwaan pada Selasa.

Mohamed Rabik Atham Ansari, 23 tahun, memberi keterangan di mahkamah bagi pendakwaan dalam perbicaraan terhadap dua komander stesen, Leftenan (LTA) Kenneth Chong Chee Boon dan Pegawai Waran Kanan pertama (1SWO) Nazhan Mohamed Nazi.

Encik Ansari memberitahu mahkamah beliau terlihat wajah CPL Kok apabila beberapa anggota lain mula menjerit "kolam, kolam", merujuk kepada ritual memasuki perigi.

"Beliau tersenyum, namun ia senyuman dalam ketakutan," kata Encik Ansari, yang menambah bahawa beliau tahu CPL Kok mempunyai dua jenis senyuman - satu yang ikhlas, satu lagi pula menandakan rasa takut. Encik Ansari menegaskan dapat membezakan antara kedua-duanya.

Encik Ansari juga menceritakan CPL Kok cuba bergegas keluar namun dicengkam dua orang. Encik Ansari juga memegang salah satu kaki CPL Kok. Kesemuanya empat orang mengangkat mangsa sedang beliau cuba mengelak.

Di perigi, CPL Kok "tetap enggan memasukinya" kata Encik Ansari.

"Saya fikir ada dua kemungkinan," katanya. "Saya fikir, oleh kerana semua orang menggesanya masuk, beliau akan masuk dan kemudian keluar. Kedua, saya fikir jika beliau terus enggan melakukannya, semua akan berkata 'Kerana anda enggan, tak mengapa, kita naik ke atas untuk makan malam sahaja.'"

Bagaimanapun Fatwa kemudian menolak CPL Kok dari belakang. Mangsa terjatuh dalam air dan tidak timbul.

Selepas beberapa percubaan, CPL Kok akhirnya ditemui dalam keadaan tidak sedar 36 minit kemudian.

Apabila rakaman video dimainkan di mahkamah menunjukkan para anggota mengangkat CPL Kok dari bilik kawalan ke perigi pam, bapa CPL Kok yang menghadiri perbicaraan buat pertama kali, kelihatan sedih.

Beliau memberitahu para wartawan bahawa beliau mengambil cuti kerja untuk menghadiri perbicaraan kerana ingin menonton video kejadian hari itu.

Perbicaraan disambung pada Khamis.

Jika sabit kesalahan menyebabkan kecederaan parah akibat tindakan terburu-buru, kedua-dua komander boleh dipenjara sehingga empat tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

Staf Sarjan Adighazali Suhaimi yang memadamkan video CPL Kok ditolak ke dalam perigi, dijatuhi hukuman penjara sebulan dan sudah dibebaskan. Dia akan tampil di mahkamah sebagai saksi pendakwaan pada Khamis petang.

Individu terakhir yang akan dihadapkan ke mahkamah ialah Farid, yang didakwa memberitahu Fatwa untuk menolak CPL Kok ke dalam perigi.

- CNA/TQ/tq

Top