Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perbicaraan 'ragging' SCDF: Pegawai letak kepercayaan para anggota tidak akan cederakan mangsa

Komander Rota yang dituduh menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) dengan tidak menghalang orang bawahannya daripada menolak mangsa ke dalam perigi, meletakkan kepercayaan bahawa para anggota terlibat tidak akan mencederakan mangsa.

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan 'ragging' SCDF: Pegawai letak kepercayaan para anggota tidak akan cederakan mangsa

Nazhan Mohamed Nazi dan Kenneth Chong Chee Boon. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 12 Jun 2019 12:16AM Dikemas Kini : 12 Jun 2019 12:22AM

SINGAPURA: Komander Rota yang dituduh menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) dengan tidak menghalang orang bawahannya daripada menolak mangsa ke dalam perigi, meletakkan kepercayaan bahawa para anggota terlibat tidak akan mencederakan mangsa.

Demikian dakwa peguam bela Wee Pan Lee bagi pihak anak guamnya Leftenan (LTA) Kenneth Chong Chee Boon, semasa perbicaraan pada Selasa (11 Jun).

LTA Chong bersama-sama Timbalan Komander Pegawai Waran Kanan Pertama Nazhan Mohamed Naz, sedang mencabar dakwaan yang dikenakan ke atas mereka. Tragedi di mana Korporal (CPL) Kok Yuen Chin lemas dalam perigi pam sedalam 12 meter di Balai Bomba Tuas View berlaku pada 13 Mei tahun lalu.

Saksi pendakwaan, Staf Sarjan Muhammad Nur Fatwa Mahmood yang mengaku bersalah kerana menolak CPL Kok ke dalam perigi, sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa insiden itu berlaku selepas mereka meraikan tamatnya perkhidmatan (ORD) bagi NSF berusia 22 tahun itu.

Staf Sarjan Nur Fatwa turut mengaku bergurau dengan CPL Kok tentang "kolam" - upacara memasuki perigi yang dikatakan sebahagian daripada 'upacara' itu - untuk "menakut-nakutkan" mangsa secara senda gurau.

Menyoal Staf Sarjan Fatwa, Encik Wee berkata LTA Chong sudah lama bekerja dengan pegawai kanan tetap di stesen itu dan menganggap "anda semua tidak akan melakukan apa-apa yang CPL Kok enggan lakukan".

"LTA Chong meletakkan kepercayaan kepada anda untuk menjaga beliau (mangsa), tidak akan mencederakan beliau," kata Encik Wee.

"Sebagai sebuah rota, kami bekerjasama," kata Staf Sarjan Fatwa.

"Jadi anda mengaku bahawa LTA Chong tahu kalian akan bersenda gurau dengan mangsa namun tidak melampaui batas," kata peguam bela itu. "Senda gurau akan berhenti jika CPL Kok berkata 'Saya enggan masuk perigi'. Kita semua tahu bahawa CPL Koh tidak memasuki perigi secara sukarela, kerana anda menolaknya."

"Ya," jawab Staf Sarjan Fatwa.

TIADA NIAT MENOLAK MANGSA DALAM PERIGI: PEMBELA

Encik Wee berhujah bahawa semasa para pegawai berkumpul untuk memberi kek dan plak kepada CPL Kok, "tiada niat" untuk memaksa NSF itu secara fizikal untuk memasuki perigi.

Suasana "ceria, gembira" menurut Encik Wee. "Jadi dalam bilik itu, tiada sesiapa, termasuk LTA Chong yang boleh menyangka senda gurau akan berakhir dengan CPL Kok dicampak ke dalam perigi."

"Orang-orang Rota 3, hubungan antara mereka, sangat baik.

"Dan CPL Kok adalah antara yang paling disukai di kalangan para anggota Rota 3.

"Dan anda - anggota kanan - akan melayan beliau (CPL Kok)... seperti seorang adik. Jadi, tiada sesiapa (dalam Rota)... yang mempunyai sebarang niat tidak baik terhadap CPL Kok," hujah Encik Wee.

Staf Sarjan Fatwa setuju dengan hujah peguam bela itu.

Peguam bela itu menambah kawasan sekeliling perigi tidak begitu terang semasa CPL Kok diangkat ke situ. Lantaran itu LTA Chong tidak dapat mengenal pasti anggota-anggota yang berkumpul kerana mereka memakai serba gelap dan membelakangkan beliau.

"Tindakan anda tidak diumumkan lebih awal, lantaran itu tiada siapa yang menjangkanya," menurut Encik Wee.

"Saya fikir begitu," jawab Staf Sarjan Fatwa.

Peguam bagi 1SWO Nazhan, Singa Retnam, juga berhujah bahawa testimoni Staf Sarjan Fatwa yang mendakwa 1SWO Nazhan memberitahu CPL Kok supaya memasuki perigi dari bahagian tepi jika mendiang tidak pandai berenang "mungkin tidak benar" kerana Staf Sarjan Fatwa "tidak ingat sebahagian besar perkara yang kami tanya kepada anda".

Perbicaraan disambung pada Rabu (12 Jun), dengan pegawai yang menemui mayat CPL Kok di dasar perigi dijadual tampil untuk memberi keterangan. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan