Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perbicaraan 'ragging' SCDF: Komander tahu NSF Kok Yuen Chin akan dibawa masuk perigi

Seorang komander yang dibicarakan berhubung kes Korporal (CPL) Kok Yuen Chin yang mati lemas, mengaku dalam satu kenyataan polis bahawa dia tahu orang-orang bawahannya akan membawa NSF tersebut masuk ke dalam perigi. Ini dimaklumkan kepada mahkamah pada Rabu (12 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan 'ragging' SCDF: Komander tahu NSF Kok Yuen Chin akan dibawa masuk perigi

LTA Chong Chee Boon Kenneth (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 12 Jun 2019 09:23PM Dikemas Kini : 12 Jun 2019 09:36PM

SINGAPURA: Seorang komander yang dibicarakan berhubung kes Korporal (CPL) Kok Yuen Chin yang mati lemas, mengaku dalam satu kenyataan polis bahawa dia tahu orang-orang bawahannya akan membawa NSF tersebut masuk ke dalam perigi. Ini dimaklumkan kepada mahkamah pada Rabu (12 Jun).

Anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) CPL Kok, 22 tahun, meninggal dunia pada 13 Mei tahun lalu selepas Staf Sarjan Muhammad Nur Fatwa Mahmood menolaknya ke dalam sebuah perigi bagi meraikan Tempoh Tamat Perkhidmatannya (ORD).

Sekitar 10 anggota berkumpul di perigi pam itu yang menakung air hujan yang keruh pada sekitar 9.00 malam pada hari kejadian.

Komander rota, Leftenan (LTA) Kenneth Chong Chee Boon, 38 tahun, dituduh bersama timbalan komander rota Pegawai Waran Kanan Pertama Nazhan Mohamed Nazi menyebabkan kecederaan parah kepada CPL Kok akibat tindakan terburu-buru, dengan tidak menghalang rakan bawahan mereka daripada membawa CPL Kok ke dalam perigi.

Pada Rabu, mahkamah diberitahu bahawa Chong telah memberitahu polis dalam satu kenyataan: "Ketika saya melihat para pegawai di telaga, saya tahu mereka akan membawa Yuen Chin masuk ke dalam perigi. "

Mahkamah juga difahamkan bahawa Chong mengaku dalam kenyataan itu, bagaimana dia "menjangkakan mereka akan membuat (CPL Kok) turun sendiri" dan bagaimana Chong "gagal dalam tugasnya sebagai penyelia untuk menghalang mereka".

Peguam bela Chong, Wee Pan Lee memberitahu mahkamah sebelum ini bahawa dia tidak berniat untuk mencampak CPL Kok ke dalam perigi itu, dan perbuatan Staf Sarjan Fatwa yang menolaknya tidak diumumkan terlebih dahulu, maka "tiada sesiapa yang menjangkakannya".

Pada Rabu, Encik Wee menekankan sekali lagi bahawa Chong meletakkan kepercayaan ke atas orang-orang bawahannya untuk tidak melakukan apa-apa yang tidak mahu dilakukan CPL Kok.

PEGUAM BELA SOAL KENYATAAN POLIS

Encik Wee juga menyoal saksi pendakwaan, Penolong Superintenden Polis (ASP) Mahathir Mohamad, mengenai beberapa rakaman kenyataan Chong.

Beliau bertanya sama ada kenyataan itu dirakam secara verbatim (tepat) dan jika setiap kata-kata yang dirakam itu adalah yang digunakan Chong.

ASP Mahathir berkata bahawa kata-kata Chong dirakam dengan tepat. Namun Encik Wee kemudian membangkitkan bahawa ASP Mahathir telah membincangkan beberapa bahagian dengan Chong dan apa yang dirakam bukan perbualan monolog sepenuhnya.

Merujuk kepada ayat Chong mengatakan dia tahu orang-orang bawahannya akan membuat CPL Kok memasuki perigi itu, Encik Wee berkata terdapat perbincangan mengenai maksud perkataan "membuat".

"Saya kemukakan kepada anda bahawa dia telah menjelaskan kepada anda bahawa perkataan 'membuat' yang digunakannya itu boleh membawa dua maksud - ini boleh bermakna orang itu boleh memasuki perigi sendiri, atau boleh bererti orang itu dicampak tanpa kerelaannya ke dalam perigi," kata Encik Wee.

"Jika dia berkata demikian, saya akan menulisnya," jawab ASP Mahathir.

Berdasarkan keterangan saksi yang dibentangkan sepanjang perbicaraan setakat ini, Chong berada dekat tingkap di tingkat dua sebuah bangunan ketika para anggota lain berkumpul mengelilingi perigi itu pada malam kejadian itu berlaku.

Para saksi berkata Chong telah menjerit "tiada rakaman dibenarkan" ke arah mereka dari tingkap itu. Mereka dikatakan bertindak balas dengan mengangkat tangan mereka untuk menunjukkan telefon masing-masing.

Para pegawai SCDF yang dipanggil sebagai saksi di mahkamah memberitahu bahawa kedua-dua Chong dan Nazhan berada di dalam bilik kawalan semasa sambutan untuk ORD CPL Kok diadakan.

Perbicaraan yang dijadualkan berlangsung hingga 21 Jun, disambung pada Khamis.

Staf Sarjan Adighazali Suhaimi, yang memadam rakaman video yang menunjukkan CPL Kok ditolak ke dalam perigi dijangka tampil memberi kenyataan di mahkamah hari ini.

Jika sabit kesalahan menyebabkan kecederaan teruk akibat tindakan terburu-buru, para komander boleh dihukum penjara sehingga empat tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain Fatwa, yang sudah dijatuhi hukuman penjara setahun dan empat minggu, Adighazali juga telah dihukum penjara sebulan.

Seorang lagi pegawai dijadual dihadapkan ke mahkamah ialah Pegawai Waran Pertama Mohamed Farid Mohd Saleh. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan