Images
  • sdp
    Setiausaha Agung SDP Chee Soon Juan dan pengerusi Paul Tambyah berucap di sidang media pada 2 Sep 2015. (Gambar fail: Sarah Yang)

Perbicaraan POFMA: SDP pertikai arahan pembetulan tidak selari dengan undang-undang

SINGAPURA: Sedang rayuan pertama terhadap arahan pembetulan yang dikeluarkan di bawah Akta Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) bermula di Mahkamah Tinggi, Parti Demokratik Singapura (SDP) mendakwa bahawa POFMA seharusnya digunakan untuk menangani kepalsuan online yang disengajakan, bukan perbezaan pada tafsiran dan pendapat.

Sebagai contoh, berita palsu mengenai "bumbung yang runtuh di Punggol", yang boleh disahkan, adalah sesuatu yang patut ditangani POFMA, kata ketua SDP Chee Soon Juan kepada para wartawan setelah perbicaraan pada Khamis (16 Jan).

Dr Chee, bersama pengerusi parti Paul Tambyah dan naib pengerusi John Tan, membentangkan beberapa hujahan SDP kepada Hakim pada Khamis. Mereka akan membentangkan hujah-hujah seterusnya apabila perbicaraan diteruskan pada pagi ini. Selepas itu, Pejabat Peguam Negara (AGC) akan memberikan responsnya.

Perbicaraan diadakan di dalam sebuah dewan dan bukan di mahkamah. Ini kerana rayuan itu difailkan terhadap tuntutan asal. Hakim Mahkamah Tinggi Ang Cheng Hock turut menolak permohonan SDP untuk membawa kes itu ke mahkamah.

Parti pembangkang itu juga mendesak Kementerian Tenaga Manusia (MOM) supaya mengeluarkan data pekerjaan mengenai golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) warga Singapura, yang menurut SDP akan "meleraikan kerumitan ini."

Dr Chee memberitahu para wartawan bahawa AGC - yang mewakili MOM - membayangkan bahawa ia tidak bersedia untuk mengeluarkan data tersebut.

SDP mengambil langkah itu selepas Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo menolak permohonan parti itu untuk membatalkan tiga arahan pembetulan yang dikeluarkan terhadapnya. Arahan tersebut merujuk kepada satu rencana dan dua catatan Facebook yang menurut Pemerintah mengandungi kepalsuan dan infografik yang mengelirukan.

Arahan pembetulan yang dikeluarkan pada 14 Disember itu adalah berhubung rencana yang diterbitkan di laman web SDP bertarikh 8 Jun dengan tajuk SDP population policy: Hire S’poreans first, retrench S’poreans last”. Catatan-catatan Facebook pula merujuk kepada pekerjaan di Singapura dan PMET warga asing.

MOM sebelum ini menyatakan bahawa catatan Facebook SDP yang mengongsikan rencana itu mengandungi kepalsuan. Kementerian itu turut menegaskan bahawa infografik yang dipaparkan dalam laman Facebook SDP menggambarkan seolah-olah pengambilan pekerja PMET bagi penduduk di sini sudah merosot, dan sepotong ayat dalam rencana berkenaan yang berbunyi, "Saranan SDP ini diusulkan di tengah-tengah peningkatan pada jumlah PMET rakyat Singapura yang diberhentikan kerja".

MOM menegaskan jumlah pengambilan pekerja PMET rakyat Singapura sudah meningkat sejak 2015, sambil menukil hasil Tinjauan Tenaga Buruh Menyeluruh daripada kementerian itu. Pihaknya menambah tiada trend yang menunjukkan peningkatan pada jumlah pemberhentian pekerja PMET dalam kalangan penduduk tempatan.

SDP pula mendakwa bahawa data yang digunakannya - yang pihaknya mendakwa adalah daripada kementerian itu - menunjukkan bilangan PMET rakyat Singapura yang tidak bekerja sudah meningkat antara 2010 hingga 2018.

SDP menegaskan bahawa rencananya, yang menyatakan "terdapat peningkatan pada jumlah PMET rakyat Singapura yang diberhentikan kerja" adalah benar dari segi fakta, kerana ia merujuk kepada jumlah PMET rakyat Singapura yang diberhentikan kerja dalam kalangan semua pekerja Singapura yang diberhentikan.

Bagaimanapun, arahan MOM adalah berdasarkan jumlah PMET rakyat Singapura yang diberhentikan kerja "sebagai sebahagian daripada keseluruhan PMET tempatan" menurut SDP.

Parti tersebut memuat naik kemas kini tentang perbicaraan tersebut di laman Facebook Dr Chee pada hari yang sama.

Parti itu menyatakan Dr Chee mempersoalkan mengapa MOM hanya menggunakan data dari 2015 untuk menunjukkan tiada trend peningkatan pada pemberhentian PMET dan mengapa data sebelum 2015 tidak digunakan.

Beliau juga membentangkan data MOM sendiri berhubung pemberhentian pekerja PMET dari 2010-2018, yang menunjukkan "trend peningkatan yang jelas".

Dr Chee bertanya: Bagaimana satu pihak boleh memilih untuk menggunakan hanya satu tempoh data sewenang-wenangnya dan bertegas pihak lain mesti menggunakan tempoh data yang sama, dan jika tidak akan dituduh sebagai satu kepalsuan?

Dr Chee menambah adalah penting untuk melihat perangkaan sebelum 2015 kerana "masalah bermula sejak sebelum itu dan berterusan hingga ke hari ini".

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan beberapa jam setelah perbicaraan berakhir, MOM menyatakan perbicaraan belum dimuktamadkan pada Khamis. Kementerian itu menyatakan SDP hanya separuh jalan dalam pembentangannya, dan AGC belum membentangkan hujah-hujah MOM kepada hakim.

MOM menarik perhatian bahawa Dr Chee membangkitkan isu garis waktu berhubung perangkaan buruh yang dipertikaikan itu dalam catatan Facebook. Ini akan disentuh apabila AGC membentangkan hujah-hujah MOM kepada hakim.

MOM menegaskan sebelum ini bahawa pengambilan pekerja PMET rakyat tempatan meningkat sejak 2015 seperti yang dilaporkan dalam Tinjauan Tenaga Kerja Menyeluruh.

"Juga tiada trend peningkatan pada pemberhentian pekerja PMET rakyat tempatan sejak 2015. Jumlah PMET rakyat tempatan yang diberhentikan kerja merosot dari 6,460 pada 2015 hingga 5,360 pada 2018, paling rendah sejak 2014," menurut MOM.

- TODAY/TQ/tq

Top