Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perbicaraan AHTC: Sylvia Lim setuju nyatakan 'tidak benar' berhubung kos tambahan ejen pengurusan baru

Pengerusi Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim pada Selasa (23 Okt) bersetuju beliau membuat kenyataan "tidak benar" bahawa Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) tidak menanggung kos tambahan apabila melantik ejen pengurusan baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Perbicaraan AHTC: Sylvia Lim setuju nyatakan 'tidak benar' berhubung kos tambahan ejen pengurusan baru

Encik Low Thia Kiang dan Cik Sylvia Lim. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 23 Oct 2018 10:34PM Dikemas Kini : 23 Oct 2018 10:38PM

SINGAPURA: Pengerusi Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim pada Selasa (23 Okt) bersetuju beliau membuat kenyataan "tidak benar" bahawa Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) tidak menanggung kos tambahan apabila melantik ejen pengurusan baru.

Cik Lim berkata demikian semasa memberi keterangan di mahkamah dalam perbicaraan AHTC.

Cik Lim, bersama para Anggota Parlimen Low Thia Khiang dan Pritam Singh, serta anggota AHTC Kenneth Foo dan Chua Zhi Hon, terbabit dalam kes saman atas tuduhan pembayaran jutaan dolar "tidak wajar" yang didakwa dibuat kepada ejen pengurusan FM Services and Solutions (FMSS).

Mereka disaman oleh AHTC dan Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol (PRPTC) kerana didakwa melanggar tugas fidusiari mereka ketika melantik FMSS.

Soal balas pada Selasa (23 Okt), menyentuh tentang kenyataan media ditulis oleh Cik Lim pada 5 Ogos, 2011 yang menyatakan bahawa AHTC tidak menanggung sebarang kos tambahan dengan melantik FMSS.

Apabila peguam kanan bagi PRPTC Davinder Singh bertanya kepada Cik Lim sekiranya kenyataan tersebut adalah benar, beliau menjawab bahawa terdapat satu "perbelanjaan tambahan sekali saja" yang perlu ditampung bagi menggajikan pekerja baru untuk membuat peralihan kepada ejen baru.

BERMAIN DENGAN KATA-KATA, BERI SEPARUH-KEBENARAN

Encik Singh juga menuduh Cik Lim "bermain dengan kata-kata" dan memberi "separuh kebenaran" mengenai pemilikan FMSS.

Merujuk kepada satu bahagian dalam kenyataan media bahawa para anggota WP tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam FMSS, beliau bertanya kepada Cik Lim sebab beliau mengambil keputusan untuk menyertakan maklumat mengenai kelayakan para pengarah FMSS dan pengurusan serta perangkaan kakitangan.

Beliau turut bertanya mengapa maklumat mengenai Encik Danny Loh dan Cik How Weng Fan - yang memiliki 70 peratus FMSS dan memegang peranan utama dalam majlis bandaran tidak disertakan.

Cik Lim menjawab bahawa tujuan disebalik perenggan-perenggan itu adalah untuk menjelaskan bahawa meskipun FMSS adalah sebuah syarikat baru, ia mempunyai barisan individu yang berpengalaman dalam pengurusan bandar HDB. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan