Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perbicaraan AHTC: Peguam FMSS dan akauntan hujah laporan PwC yang bersifat 'prasangka'

Laporan PricewaterhouseCoopers (PwC) mengenai sama ada Majlis Bandaran Aljunied-Hougang-Punggol East (AHPETC) melakukan pembayaran tidak wajar, sekali lagi menjadi tumpuan pada Isnin (15 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Oct 2018 03:51PM Dikemas Kini : 16 Oct 2018 12:26AM

SINGAPURA: Laporan PricewaterhouseCoopers (PwC) mengenai sama ada Majlis Bandaran Aljunied-Hougang-Punggol East (AHPETC) melakukan pembayaran tidak wajar, sekali lagi menjadi tumpuan pada Isnin (15 Okt) dengan peguam bela Leslie Netto menyifatkannya sebagai bersifat "prasangka" dan bukan kerja seorang "akauntan yang berfikiran adil".

Ini bagaimanapun disanggah oleh rakan kongsi PwC Goh Thien Phong, yang menegaskan keprihatinannya berhubung pelantikan salah seorang defendan, FM Solutions and Services, sebagai ejen pengurusan (MA) Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC).

Semasa sesi perbicaraan pada Isnin (15 Okt), Encik Netto mempersoalkan ruang lingkup dan kredibiliti laporan PwC dengan mengatakan bahawa ia menjangkaui bidang tanggungjawabnya dan terdapat kekurangan bahan bukti. Merujuk kepada satu isu yang dikemukakan oleh PwC mengenai bayaran berganda untuk tenaga kerja oleh FMSS, peguam tersebut bertanya bagaimana kesimpulan itu dibuat memandangkan tidak ada cukup bukti.

Laporan PwC menggariskan keprihatinan tentang bagaimana FMSS, setelah menggunakan kadar yang ditetapkan oleh ejen sebelum ini, CPG, yang merangkumi kos tenaga manusia, masih lagi mengenakan bayaran berasingan untuk menampung kos tenaga manusia kakitangan sedia ada bekas Majlis Bandaran Hougang, yang dipindahkan untuk membantu mengendalikan AHTC.

Encik Goh merujuk kepada laporan KPMG yang mengandungi pemecahan kos, tetapi mengakui kesimpulan tentang bayaran berganda dibuat oleh PwC.

"Laporan anda dibuat atas prasangka dan tidak boleh dianggap sebagai pendapat bebas seorang akauntan yang berfikiran adil," kata peguam bela.

"Itu pandangan klien Encik Netto," tegas akauntan tersebut.

Encik Netto mewakili Cik How Weng Fan, yang merupakan bekas timbalan setiausaha AHTC dan pengarah dan pemegang saham FMSS. Beliau juga mewakili mendiang suami Cik How, Encik Danny Loh, yang merupakan pemilik FMSS. Mereka merupakan pihak yang dikenakan tuntutan mahkamah oleh AHTC dan Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol terhadap para Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim, Low Thia Khiang dan Pritam Singh, serta anggota-anggota majlis bandaran AHTC, Chua Zhi Hon dan Kenneth Foo.

Sumber : CNA/NA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan