Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perbelanjaan kesihatan naik disebabkan penggunaan, kos tenaga manusia meningkat: Gan Kim Yong

Perbelanjaan bagi sektor penjagaan kesihatan Singapura dijangka akan terus meningkat, sebahagian besarnya disebabkan oleh pembangunan kemudahan baru dan kos mengendalikannya, kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong di Parlimen pada Khamis (5 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Perbelanjaan kesihatan naik disebabkan penggunaan, kos tenaga manusia meningkat: Gan Kim Yong

Sebuah wad hospital. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 05 Mar 2020 05:53PM Dikemas Kini : 05 Mar 2020 05:59PM

SINGAPURA: Perbelanjaan bagi sektor penjagaan kesihatan Singapura dijangka akan terus meningkat, sebahagian besarnya disebabkan oleh pembangunan kemudahan baru dan kos mengendalikannya, kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong di Parlimen pada Khamis (5 Mac).

Berucap semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan kementeriannya, beliau berkata perbelanjaan bagi khidmat kesihatan di Singapura meningkat daripada S$13 bilion pada 2012 kepada S$22 bilion pada 2017, atau kira-kira 11 peratus setahun.

Memberi pecahannya, Encik Gan berkata kira-kira lima peratusan mata kenaikan ini disebabkan oleh peningkatan penggunaan, kata Encik Gan.

"Seiring dengan pertumbuhan dan penuaan penduduk kita, permintaan bagi khidmat penjagaan kesihatan juga meningkat," kata Encik Gan.

Singapura juga menggunakan lebih banyak khidmat penjagaan kesihatan berbanding masa lalu, walaupun selepas mengambil kira pertumbuhan dan penuaan penduduk, kata Encik Gan.

"Ini sebahagiannya hasil usaha menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses dan dimampui oleh semua, dan sebahagiannya disebabkan oleh pengesanan lebih awal dan pemantauan serta tindakan susulan lebih teliti bagi keadaan perubatan," jelas beliau.

Beliau menambah pilihan rawatan juga kini semakin pelbagai sedang ubat-ubatan berkembang maju dan meningkatkan penggunaannya, namun pada masa yang sama meningkatkan jangka hayat dan mutu hidup.

KOS TINGGI TENAGA MANUSIA, OPERASI

Kira-kira empat peratusan mata pertumbuhan perbelanjaan kesihatan negara boleh dikaitkan dengan kos tenaga kerja yang lebih tinggi, kata Encik Gan.

"Dari satu sudut, tenaga kerja penjagaan kesihatan kami meningkat dengan ketara antara 2012 dengan 2017. Dari satu sudut lain pula, gaji pekerja penjagaan kesihatan juga meningkat apabila kami melaksanakan penyesuaian semula gaji untuk menarik dan mengekalkan pekerja penjagaan kesihatan kami," kata beliau.

Baki dua peratusan mata sebahagian besarnya disebabkan kenaikan kos ubat, alat perubatan, dan kos operasi lain, tambah beliau.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat semasa menggulung ucapannya mengenai Belanjawan 2020 berkata bahawa Singapura boleh menjangkakan perbelanjaan kesihatan nasional secara keseluruhannya akan terus meningkat akibat penduduk semakin tua di Singapura dan langkah Pemerintah meningkatkan pelaburan bagi kemudahan dan perkhidmatan.

Menjelaskan perlunya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dinaikkan, Encik Heng berkata terdapat banyak keperluan kritikal negara yang lebih wajar dilaksanakan oleh peruntukan Pemerintah menerusi cukai. Beliau merujuk kepada kemudahan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan, dan subsidi yang disediakan bagi memastikan keperluan penjagaan kesihatan di negara ini terjaga.

"Ini semua adalah keperluan yang berulang, tahun demi tahun. Malah, akan bertambah setiap tahun. Kita perlu membiayainya menggunakan hasil yang berulang," kata Encik Heng.

Encik Gan berkata Singapura harus terus berhemat dalam perbelanjaan penjagaan kesihatannya untuk memastikan ia disalurkan ke arah yang menjana hasil terbaik.

PERANAN TEKNOLOGI MAKLUMAT

Teknologi Maklumat (IT) akan terus menjadi pengupaya penting bagi sistem penjagaan kesihatan, dan MOH akan terus memperkukuh tadbir urus dan perlindungan data, kata Encik Gan.

"Ini penting untuk mengekalkan keyakinan orang ramai," kata Menteri Kesihatan itu.

Encik Gan memberikan kemas kini mengenai "langkah konkrit" yang diambil untuk melaksanakan cadangan Jawatankuasa Siasatan (COI) berhubung serangan siber ke atas SingHealth.

Hampir 80 peratus daripada langkah kawalan yang diusulkan sudah dilaksanakan atau ditangani, katanya.

"Langkah-langkah yang lebih rumit memerlukan pelaksanaan yang teliti agar tidak mengganggu perkhidmatan penjagaan kesihatan yang penting dan menjejas keselamatan pesakit. Ini akan selesai secara bertahap-tahap menjelang 2022," jelas beliau.

Langkah-langkah tersebut akan membantu meningkatkan tahap keselamatan siber sistem penjagaan kesihatan awam, tambah Encik Gan.

Sedang MOH memperkukuh sistemnya, ia terus meneroka bagaimana teknologi seperti tele-perubatan dapat meningkatkan penjagaan, katanya lagi.

Sehingga kini, 25 institusi penjagaan kesihatan awam dan 39 rakan penjagaan masyarakat sudah memulakan khidmat konsultasi menerusi video, dedah Encik Gan.

"Memastikan setiap orang sihat adalah satu usaha bersama. Jadi mari kita semua memainkan peranan untuk menjaga kesihatan Singapura dan warga Singapura," seru beliau.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan