Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perbelanjaan ComCare meningkat 19% kepada S$151 juta pada 2019

Bantuan tunai ComCare sebanyak S$151 juta diagihkan kepada para penerima bantuan pada tahun kewangan 2019, satu peningkatan 19 peratus berbanding tahun sebelumnya, kata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga pada Jumaat (9 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Perbelanjaan ComCare meningkat 19% kepada S$151 juta pada 2019

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 09 Oct 2020 02:56PM Dikemas Kini : 09 Oct 2020 02:59PM

SINGAPURA: Bantuan tunai ComCare sebanyak S$151 juta diagihkan kepada para penerima bantuan pada tahun kewangan 2019, satu peningkatan 19 peratus berbanding tahun sebelumnya, kata Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga pada Jumaat (9 Okt).

Secara keseluruhannya, lebih ramai golongan berpendapatan rendah dan berisiko disokong oleh ComCare, menurut satu kenyataan media MSF. Sekitar 78,600 penerima bantuan dibantu oleh ComCare pada tahun kewangan 2019, yang berakhir pada 31 Mac tahun ini, satu peningkatan 4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

ComCare menyokong isi rumah berpendapatan rendah untuk menampung kos sara hidup mereka dan bantuan diagihkan melalui skim seperti Bantuan Jangka Pendek hingga Sederhana, Bantuan Jangka Panjang, Bantuan Yuran Jagaan Pelajar dan skim-skim bantuan sementara.

BANTUAN JANGKA PENDEK, SEDERHANA MENINGKAT

Peningkatan juga dilihat bagi semua skim bantuan ComCare kecuali untuk Bantuan Jangka Panjang, kata kementerian itu dalam laporan tahunannya.

Jumlah keseluruhan isi rumah yang dibantu di bawah skim Bantuan Jangka Pendek hingga Sederhana, Bantuan Jangka Panjang dan Bantuan Yuran Jagaan Pelajar kekal stabil selama ini, tambah MSF.

Sekitar 64,400 individu menerima Bantuan Jangka Pendek hingga Sederhana untuk perbelanjaan harian mereka pada tahun kewangan 2019, satu peningkatan 5 peratus.

Peningkatan ini mungkin mencerminkan kesan awal ke atas ekonomi akibat pandemik COVID-19 dan lebih banyak isi rumah layak untuk bantuan selepas penyesuaian dibuat kepada kriteria penilaian ComCare pada Julai 2019, menurut MSF.

Sejauh ini, 2,300 daripada 6,300 isi rumah telah dirujuk kepada agensi-agensi berkenaan untuk bantuan lanjut, tambah kementerian itu.

Kadar isi rumah yang tinggal di flat 1 hingga 2 bilik yang menerima Bantuan Jangka Pendek hingga Sederhana juga meningkat, dari 46.7 peratus pada tahun kewangan 2015 kepada 52.1 peratus pada tahun kewangan 2019. Kebanyakannya adalah warga emas yang tinggal bersendirian atau bersama pasangan mereka, dan mempunyai sokongan keluarga yang terhad.

"Peningkatan ini juga sejajar dengan usaha proaktif untuk mendekati golongan berpendapatan rendah dan berisiko, seperti isi rumah yang tinggal di flat-flat sewa awam," kata MSF.

LEBIH RAMAI PELAJAR TERIMA BANTUAN

Sekitar 9,600 kanak-kanak menerima bantuan yuran penjagaan pelajar pada tahun kewangan 2019, satu peningkatan 6 peratus. Ini disebabkan lebih banyak pusat jagaan pelajar ditubuhkan di sekolah-sekolah, dengan 185 pusat di sekolah-sekolah pada tahun kewangan 2019, berbanding 170 pada tahun sebelumnya.

Namun jumlah individu yang menerima Bantuan Jangka Panjang merosot sekitar 3 peratus, kepada sekitar 4,400 orang pada tahun kewangan 2019, dedah MSF. Individu berumur 65 tahun ke atas merangkumi sekitar 80 peratus daripada semua individu yang menerima Bantuan Jangka Panjang, menurut laporan trend MSF.

Jumlah individu yang menerima Bantuan Sementara juga meningkat sebanyak 16 peratus, dengan sekitar 7,700 orang menerima bantuan pada tahun kewangan 2019. Skim Bantuan Sementara menyediakan bantuan kewangan segera kepada individu dan keluarga yang memerlukan bantuan kewangan sementara.

TEMPOH BANTUAN COMCARE DILANJUTKAN 6 BULAN

Sepanjang sedekad yang lalu, Pemerintah telah memperkukuh jaringan keselamatan sosialnya dan melaksanakan sejumlah langkah meliputi pendidikan, jagaan kesihatan, perumahan, pekerjaan dan kemampunan persaraan bagi warga Singapura, menurut MSF.

Untuk memberi penerima bantuan sedia masa lebih lama untuk memantapkan kedudukan mereka sewaktu kemerosotan ekonomi, MSF juga secara automatik melanjutkan tempoh bantuan ComCare selama enam bulan.

Ini terpakai bagi isi rumah ComCare yang bantuannya dijadualkan dikaji semula antara Mei dengan Oktober 2020, kata MSF.

"Penerima ComCare baru dalam tempoh ini juga umumnya akan menerima bantuan untuk sekurang-kurangnya enam bulan, bagi memberi mereka landasan lebih panjang untuk stabil semula," tambahnya.

PERMOHONAN MENINGKAT 20%-30%

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli berkata bahawa terdapat peningkatan besar sebanyak 20 hingga 30 peratus bagi permohonan ComCare dalam beberapa bulan kebelakangan ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Sedang keperluan masyarakat meningkat dan ramalan ekonomi kekal tidak menentu, kami akan terus mendekati mereka yang memerlukan, dan menumpukan sumber kami kepada mereka yang lebih memerlukan.

"Isi rumah di flat sewa awam membentuk separuh daripada penerima, yang mengesahkan keperluan untuk meneruskan pendampingan berterusan kami melalui rangkaian masyarakat SG Cares," kata Encik Masagos.

MSF menyatakan pihaknya akan terus memantau trend isi rumah yang memerlukan bantuan. Ia juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah dan rakan masyarakat lain untuk menghulurkan sokongan dan bantuan kepada individu dan keluarga yang memerlukan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan