Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peraturan pulangkan dulang tetap berkuat kuasa 1 Sep meski tempoh nasihat lebih pendek

Meskipun tempoh nasihat lebih singkat daripada yang dijangkakan, pihak berkuasa akan tetap mula mengenakan denda dan amaran terhadap pelanggan yang gagal memulangkan dulang mereka di pusat penjaja mulai 1 September. Demikian menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Selasa (22 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Jun 2021 05:08PM Dikemas Kini : 22 Jun 2021 10:43PM

SINGAPURA: Meskipun tempoh nasihat lebih singkat daripada yang dijangkakan, pihak berkuasa akan tetap mula mengenakan denda dan amaran terhadap pelanggan yang gagal memulangkan dulang mereka di pusat penjaja mulai 1 September. Demikian menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Selasa (22 Jun).

Agensi itu mengumumkan pada Mei lalu bahawa mulai 1 Jun, tempoh nasihat selama tiga bulan akan dilaksanakan bagi peraturan baru itu. Sepanjang tempoh itu, para pegawai tidak akan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pelanggan bagi memberikan mereka masa untuk menyesuaikan diri dengan amalan memulangkan dulang dan pinggan mangkuk kotor serta membersihkan sampah setelah makan di pusat penjaja.

Namun disebabkan oleh penguatkuasaan langkah-langkah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat), orang ramai tidak dibenarkan makan di premis F&B sehingga semalam (21 Jun).

Sungguhpun begitu, NEA menjelaskan pada Selasa bahawa penguatkuasaan peraturan bagi memulangkan dulang akan tetap dimulakan pada 1 September.

Pesalah kali pertama akan dikenakan amaran tegas manakala pesalah kali kedua pula akan disaman S$300. Mereka yang merupakan pesalah berulang boleh dikenakan denda lebih berat.

Sehingga 31 Ogos ini, duta jarak selamat, duta SG Clean, relawan masyarakat dan pegawai NEA yang dikerahkan ke pusat penjaja akan terus mengingatkan pelanggan supaya membersihkan meja mereka sesudah menjamu selera.

Pada Isnin, hari pertama orang ramai dibenarkan duduk makan semula di kedai makan, para pekerja pembersihan di pusat penjaja memberitahu Mediacorp bahawa lebih ramai pelanggan mula memulangkan dulang dan pinggang mangkuk kotor mereka - satu perubahan yang dialu-alukan bagi isu yang lama dibangkitkan.

Para penguasa Singapura sudah bertahun-tahun mencuba untuk menghakis tabiat para pelanggan di pusat penjaja melalui pelbagai inisiatif dan kempen kesedaran.

Langkah yang diambil kini untuk mengenakan denda terhadap pelanggan yang meninggalkan dulang kotor di meja melambangkan pendirian lebih tegas oleh pihak-pihak berkuasa untuk menguatkuasakan tindakan sedia ada terhadap membuang sampah di bawah Seksyen 17(1) Akta Kesihatan Awam Persekitaran.

"Pandemik COVID-19 menekankan betapa pentingnya kita semua menjaga piawai kebersihan dan kebersihan awam yang tinggi," menurut NEA pada Selasa.

“Bagi memperkukuhkan daya tahan kesihatan awam di tengah-tengah pandemik COVID-19 dan seterusnya, NEA menggesa orang ramai supaya mengamalkan kebersihan yang baik di tempat makan awam kita demi melindungi pengunjung dan pekerja pembersihan lain, yang kebanyakannya juga adalah warga emas." 

Sumber : Today/FZ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan