Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perang Plastik: 2 usahawan muda Melayu tawarkan huraian kreatif

Tahukah anda bahawa rata-rata sebuah beg plastik pasar raya hanya digunakan selama 30 minit sahaja? Straw plastik pula digunakan sesingkat lima minit, manakala pengacau plastik memenuhi fungsinya cuma setakat 10 saat.

Anggaran Waktu Membaca:

Tahukah anda bahawa rata-rata sebuah beg plastik pasar raya hanya digunakan selama 30 minit sahaja? Straw plastik pula digunakan sesingkat lima minit, manakala pengacau plastik memenuhi fungsinya cuma setakat 10 saat.

Walaupun mempunyai rentangan hayat yang singkat, produk-produk plastik ini tidak mudah larut dan akan terus kekal di bumi jauh lebih lama daripada jangka hayat seorang manusia. Lebih tepat lagi – 400 tahun. Dalam masa itu, ia bukan sahaja memudaratkan alam sekitar malah juga kesihatan haiwan.

Dengan jenama-jenama antarabangsa seperti Starbucks, KFC dan Deliveroo mengumumkan pelbagai strategi untuk mengurangkan penggunaan plastik dalam operasi harian mereka, gerakan antiplastik jelas semakin meraih sokongan.

BERITAmediacorp menemui dua usahawan muda Melayu yang turut tampil untuk menyumbang kepada gerakan ini.

DOKUMENTARI MENJADI DORONGAN UNTUK BERTINDAK

Bagi usahawan seperti Lily Khairunnisa Johari, dorongan untuk bertindak timbul setelah beliau menonton sebuah dokumentari yang menyelongkar masalah pencemaran plastik di lautan.

“‘A Plastic Ocean’ menunjukkan binatang-binatang yang ditemui dengan sampah plastik di dalam perut mereka. Dengan itu, saya tergerak hati. Saya tidak mampu untuk duduk dan berdiam sahaja. Saya harus melakukan sesuatu,” ujar beliau.

Maka, tertubuhlah The Zero Ways pada Januari tahun ini. Sebuah bisnes keluarga yang dikelolakan Cik Lily bersama abang, adik lelaki serta suaminya, The Zero Ways adalah antara beberapa perniagaan bebas sisa atau “zero waste” yang mula bertapak di Singapura baru-baru ini.

Berkonsepkan “pop-up store”, The Zero Ways tidak mempunyai lokasi yang tetap dan akan membuka gerai di pasar lambak atau acara-acara hujung minggu di merata Singapura. Ketika dikunjungi BERITAmediacorp, produk-produk mesra alam seperti sabun buku dan straw besi serta botol-botol gelas yang dipenuhi beraneka bahan makanan kering membarisi meja gerai mereka. Bahan kering yang ditawarkan termasuk kacang-kacang, gula, garam Himalaya dan serbuk kari yang dijual mengikut timbangan.

“Pelanggan-pelanggan kami akan membawa bekas mereka sendiri yang boleh digunakan semula. Mereka akan mengambil sebanyak atau sesikit yang mereka mahu, kemudian mereka akan membayar untuk jumlah tersebut. Jadi dengan ini, tiada pembaziran makanan dan juga tiada pembaziran plastik sekali guna,” Cik Lily menerangkan.

Walaupun konsepnya agak baru di Singapura, kedai-kedai bebas bungkusan seperti ini tidak asing lagi di negara-negara Eropah dan United Kingdom. Namun, Cik Lily berkata rakyat Singapura menunjukkan sikap yang terbuka dan telah memberi sambutan yang amat baik.

“Pelanggan-pelanggan kami terdiri daripada semua lapisan masyarakat, daripada murid-murid sekolah hinggalah ke warga tua. Apa yang kami dapati juga ialah lebih ramai orang Melayu yang menunjukkan minat terhadap gaya hidup yang lebih mesra alam,” tambah beliau.

Dengan bantuan pengumpulan dana daripada para penyokong mereka menerusi ‘crowdfunding’, The Zero Ways berharap agar mereka dapat membuka sebuah kedai tetap dalam masa setahun.

SAMPAH PLASTIK SEBAGAI SUMBER

Jika The Zero Ways berusaha mengekang penggunaan bungkusan plastik, kumpulan sukarelawan PlastiCity pula ingin mengubah tanggapan kita terhadap sampah plastik.

Ditubuhkan di bawah naungan perusahaan sosial Sustainable Living Labs (SL2) pada Disember tahun lalu, PlastiCity bermatlamat membangunkan sistem kitar semula bertukang sendiri (D.I.Y recycling) sebagai huraian kepada masalah sampah plastik di Singapura. Ia sebuah inisiatif yang dicetuskan ketua sukarelawan Encik Mohamed Ridhwan Raimi setelah beliau membaca tentang gerakan ‘Precious Plastic’ ketika membuat kajian untuk tugasan sekolahnya.

Beliau mengongsi, “Saya terjumpa gerakan ‘Precious Plastic’ yang dimulakan seorang lelaki Belanda lalu ia telah berkembang ke merata dunia seperti Australia, Bali dan Malaysia. Dan saya ingin membawanya ke Singapura pula”.

‘Precious Plastic’ adalah masyarakat global yang saling mengongsi maklumat dan teknologi mengenai pengitaran semula plastik. Menurut kajian World Wide Fund for Nature (WWF), Singapura membakar sebanyak 94 peratus sampah plastiknya. Pada peringkat global, 95 peratus plastik yang bernilai sekitar S$157 bilion dibuang setelah digunakan sekali sahaja. Lantaran itu, Encik Ridhwan percaya potensi plastik sebagai sumber belum lagi dimanfaatkan sepenuhnya.

Sejak awal tahun ini, PlastiCity telah berjaya membina tiga mesin kitar semula. Dengan mesin-mesin tersebut, sampah plastik seperti penutup dan botol-botol boleh dicarik sehingga halus lalu dicairkan. Cairan plastik itu kemudian disuntik dalam acuan untuk mengambil bentuk baru.

Sejauh ini, PlastiCity telah berjaya membentuk produk-produk kecil seperti gasing dan kepingan berbentuk Merlion. Namun, Encik Ridhwan berkata lebih banyak produk dengan rekaan yang lebih rumit boleh dihasilkan. Misalnya, anggota gerakan ‘Precious Plastic’ negara-negara lain telah berjaya membuat pencepit baju, kes telefon bimbit dan bingkai kaca mata.

Walau bagaimanapun, kos pembuatan acuan yang tinggi dan kekurangan tenaga sukarelawan merupakan rintangan terbesar buat PlastiCity. Sebagai langkah seterusnya, Encik Ridhwan berharap PlastiCity dapat menebarkan sayapnya kepada institusi-institusi pengajian serta badan-badan korporat untuk meningkatkan pendidikan tentang pengitaran semula plastik.

“Kami berharap PlastiCity ini akan menjadi sebuah perusahaan sosial yang berdaya tahan dan maju di masa akan datang. Kami juga ingin menjadikan pengitaran semula plastik sebagai suatu budaya di Singapura, bukan sahaja di kalangan masyarakat tetapi di sekolah-sekolah sebagai kegiatan di luar darjah (CCA) atau di syarikat-syarikat sebagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR)”.

Sumber : BERITA Mediacorp/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan