Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perang ke atas kencing manis: Lebih 6,000 pesakit bakal jalani program jagaan lebih interaktif

Program Pengaktifan Pesakit bagi Pengurusan Kencing Manis (PACE-D) itu adalah lanjutan kepada model jagaan kolaboratif yang dirintis di bawah Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 6,000 pesakit kencing manis akan dapat menjalani program jagaan kencing manis terbaru yang melibatkan mereka dalam proses klinikal bersama para doktor serta jururawat di empat poliklinik sepanjang tiga tahun akan datang.

Program Pengaktifan Pesakit bagi Pengurusan Kencing Manis (PACE-D) itu adalah lanjutan kepada model jagaan kolaboratif yang dirintis di bawah Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS).

Di bawah program Tahun Jagaan NUHS,pesakit digalak lebih bertanggungjawab ke atas kesihatan mereka.

Hasil ujian model jagaan secara bersama yang dijalankan selama 20 bulan itu menunjukkan keadaan pesakit secara amnya bertambah baik.

Dapatan itu dikongsi sempena acara Hari Kencing Manis Sedunia di Hospital Besar Ng Teng Fong anjuran NUHS hari ini (17 Nov) .

"Apa yang kami mahu lakukan sekarang adalah mengubah tumpuan kepada orang itu sendiri - supaya bertanggungjawab ke atas masalah itu dan melihatnya bukan saja semasa menghidap penyakit itu tetapi juga semasa masih sihat melalui menjalani lebih banyak pemeriksaan," kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Edwin Tong.

Beliau berkata tumpuan itu selaras dengan pendekatan yang ditekankan Kementerian Kesihatan (MOH) mengenai usaha memerangi penyakit kencing manis.

Menurut rangka kerja MOH, ada tiga cabang utama dalam membanteras kencing manis termasuk pengesanan awal dan pengurusan penyakit dengan lebih baik.

NUHS LAKUKAN PERUBAHAN MODEL JAGAAN

Lazimnya pesakit datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan konsultasi bersama doktor berbentuk sehala.

Mereka kemudian menerima arahan dan nasihat doktor sebelum pulang ke rumah.

Namun melalui Program PACE-D yang dimulakan sejak Mac lalu, pesakit kencing manis akan dapat melihat hasil ujian mereka sebelum berjumpa doktor.

"Pesakit datang lebih bersedia dan mereka tahu bahawa sebagai doktor kami lebih sudi untuk mendengar pandangan atau cadangan mereka sendiri.

"Jadi saya dapat nampak lebih banyak pesakit memberitahu kita apa yang mereka boleh buat dalam kehidupan seharian mereka. Dengan cara ini, saya rasa tahap kerisauan mereka nampaknya berkurangan," kongsi Konsultan Divisyen Endokrinologi NUHS Dr Yew Tong Wei.

Dr Yew berkongsi pengalaman beliau berinteraksi dengan seorang pesakit Melayu yang berjaya mengutarakan huraiannya sendiri bagi menangani penyakit kencing manis dihidapi.

"Beliau sering mengadakan majlis keramaian yang menghidangkan pelbagai jenis makanan manis. Jika di bawah model dahulu, saya mungkin tidak tahu apa cabarannya dan mungkin memberi nasihat yang tidak munasabah seperti 'Oh, kamu jangan adakan lagi majlis keramaian secara kerap'.

"Namun di bawah model baru ini, pesakit itu sendiri membuat keputusan untuk terus mengadakan majlis keramaian tetapi berjanji kepada saya bahawa beliau akan berpuasa semasa majlis itu diadakan," tambah Dr Yew.

MODEL DILANJUTKAN KE POLIKLINIK NUHS

Atas kejayaan model Tahun Jagaan itu, pendekatan tersebut diperluaskan di peringkat poliklinik NUHS bagi memanfaatkan lebih banyak pesakit.

Konsultan Bersekutu Poliklink NUHS Dr Tan Wee Hian berkata: "Menerima hasil ujian sebelum sesi konsultasi mereka akan menyediakan mereka dengan lebih baik dan membuat mereka bertanyakan soalan kepada pasukan jagaan.

"Dengan pendekatan pelibatan sebegini, kami merasakan bahawa para pesakit kami lebih tersedia. Mereka juga lebih terlibat dalam sesi konsultasi yang saling memanfaatkan." 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan