Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perancangan teliti beli rumah langkah persiap diri bagi persaraan

Dengan perancangan kewangan yang teliti serta kesedaran yang tinggi tentang skim-skim sedia ada, para pemilik rumah boleh memastikan simpanan mencukupi pada usia tua kelak.

Anggaran Waktu Membaca:
Perancangan teliti beli rumah langkah persiap diri bagi persaraan

Encik Ari Yusmir bersama isteri meneliti skim-skim CPF. (Gambar: Ari Yusmir)

Diterbitkan : 13 Nov 2020 06:12AM Dikemas Kini : 13 Nov 2020 08:25AM

SINGAPURA: Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Encik Ari Yusmir mula memikirkan tentang usia senjanya. Ini termasuk sama ada beliau dan isterinya ada wang simpanan yang mencukupi untuk perbelanjaan harian beliau dan isterinya kelak.

Ini memandangkan masih terdapat tempoh 23 tahun lagi sebelum rumah flat empat bilik beliau di Punggol habis dibayar. Tempoh maksimum bagi bayaran balik rumah adalah 30 tahun. Ini mungkin antara tempoh pembayaran semula paling lama bagi mana-mana pemilik rumah warga Singapura.

Usia Encik Ari tahun ini ialah 52 tahun. Ini bermakna, rumah di mana beliau menetap bersama isterinya itu akan habis dibayar apabila usia beliau mencecah 75 tahun.

Setakat ini, 100 peratus bayaran rumah pasangan itu ditolak daripada akaun CPF mereka.
Walaupun demikian, dalam jangka panjang Encik Ari tidak menolak kemungkinan perlu membuat sumbangan wang tunai bagi menokok balik bayaran rumahnya dan juga bagi CPF LIFE- iaitu pendapatan sepanjang hayat bagi warga lanjut usia.

Encik Ari Yusmir bersama isteri meneliti skim-skim CPF. (Gambar: Ari Yusmir)

Encik Ari Yusmir bersama isteri. (Gambar: Ari Yusmir)

RANCANG AWAL MANFAATKAN SKIM CPF DENGAN SEBAIKNYA

“Sumbangan CPF saya dalam Akaun Biasa (OA) dan Akaun Khas (SA) mungkin tidak cukup bagi usia persaraan saya sekiranya katakan saya terus menggunakannya untuk membayar rumah saya.

 “Mungkin saya perlu menokok ke dalam OA dan SA. Lebih-lebih lagi SA kerana faedahnya setinggi empat peratus. Jadi apabila usia saya mencecah 55 tahun, jumlah wang yang ada agak ‘sihat’ bagi usia persaraan saya kelak. Kena banyak menabung lagi,” ujar Encik Ari.

Daripada pengalamannya itu, Encik Ari akui bahawa langkah sebaik-baiknya adalah untuk membuat perancangan di peringkat awal lagi supaya dapat menimbangkan pelbagai skim sedia ada di CPF untuk membantu rakyat Singapura menjadikan rumah mereka sebagai aset pada usia senja.

Hakikatnya, setiap dolar yang disalurkan kepada bayaran rumah secara berperingkat akan mengurangkan jumlah wang yang dapat disalurkan ke dalam akaun persaraan pencarum.

Lantaran itu, penting untuk para pemilik rumah merancang kewangan mereka supaya dapat melunaskan bayaran rumah dan pada masa yang sama mempunyai wang simpanan yang secukupnya untuk hari-hari tua.

Inilah yang dilakukan oleh Encik Mohd Nazri Shah Zin, 33 tahun, yang membeli flat BTO lima bilik beliau di Boon Lay bersama isterinya pada tahun 2017.

Encik Mohd Nazri Shah Zin buat perangan awal dan teliti sebelum membeli rumahnya. (Gambar: CPF)

Encik Mohd Nazri Shah Zin buat perangan awal dan teliti sebelum membeli rumahnya. (Gambar: CPF)

Oleh kerana pasangan itu mahu membeli rumah mengikut kemampuan mereka, Encik Mohd Nazri dan isteri, yang kedua-duanya bertugas sebagai pegawai perkhidmatan awam, membuat perancangan kewangan dengan teliti sebelum memutuskan untuk membeli flat tersebut.

Ini termasuk mengira unjuran gaji mereka selama ini bagi memastikan mereka mampu membayar flat mereka menggunakan simpanan OA mereka.

Encik Mohd Nazri dan isterinya juga mengambil pinjaman bagi tempoh 25 tahun. Ini bermakna rumah mereka itu akan habis dibayar apabila Encik Mohd Nazri mencecah usia 55 tahun.

“Saya rasa perancangan yang teliti amat penting dan pasangan-pasangan muda seharusnya membeli flat BTO mereka pada peringkat awal supaya mereka bebas daripada dibelenggu masalah kewangan apabila mencecah usia tua kelak,” kata Encik Mohd Nazri.

CPF TAWAR PILIHAN DENGAN FAEDAH, PULANGAN LEBIH TINGGI BERBANDING BANK

Penasihat kewangan, Nazmi Mustafa, berkata demi memastikan matlamat itu dapat dicapai, para pemilik rumah boleh menimbangkan sama ada untuk menyimpan wang mereka dalam OA atau melabur dana saham dengan syarikat-syarikat lain.

“Mereka boleh memilih untuk melabur wang mereka, melabur dana saham dengan syarikat- syarikat lain untuk meraih pulangan lebih besar. Namun, langkah ini tiada jaminan dari segi faedahnya. Sebaliknya mereka boleh simpan wang mereka dalam OA supaya mereka dapat meraih faedah sehingga 3.5 peratus.

“Jika mereka melabur di bank, mereka perlu memastikan faedahnya setinggi 3.5 peratus. Jika tidak, lebih baik meletakkan wang mereka dalam akaun CPF,” kata Encik Nazmi, yang merupakan Pengarah Bersekutu MFAG - Millennial Financial Advisory Group.

Encik Nazmi juga menekankan betapa pentingnya untuk para pemilik rumah memastikan simpanan dalam OA dan SA mereka sudah memenuhi jumlah penuh dalam Akaun Persaraan apabila mereka mencecah usia 55 tahun. Malah, lebih baik lagi jika jumlah itu melebihi Jumlah Penuh Persaraan.

RAIH PENDAPATAN DARIPADA RUMAH ANDA SENDIRI

Antara pilihan-pilihan lain yang boleh dipertimbangkan para pemilik rumah sebagai mempersiapkan diri bagi meniti usia senja adalah dengan menjana pendapatan daripada rumah mereka sendiri.

Ini termasuk menyewakan sebuah bilik atau keseluruhan flat mereka, memanfaatkan Skim Beli Balik Pajakan (LBS) atau berpindah ke rumah flat yang lebih sesuai atau ‘right-sizing’ dan memohon Bonus Bonus Perumahan untuk Warga Emas (SHB).

LBS dan SHB ditadbir oleh Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB), di mana para pemilik rumah yang layak boleh menerima bonus tunai sehingga $30,000. Sebahagian daripada hasilnya juga akan digunakan untuk menokok Akaun Persaraan CPF pemilik rumah dan menyertai CPF LIFE (Pendapatan Sepanjang Hayat Bagi Orang Yang Lanjut Usia) supaya mereka dapat menerima bayaran bulanan sepanjang hayat mereka.

Yang pasti, dengan perancangan kewangan yang teliti serta kesedaran yang tinggi tentang skim-skim sedia ada, para pemilik rumah boleh memastikan simpanan mencukupi pada usia tua kelak.

Ketahui bagaimana CPF menyokong perancangan masa depan anda. Perinciannya boleh didapatkan di cpf.gov.sg/BeReady

(Rencana ini adalah iklan dari Tabung Simpanan Pekerja (CPF).)

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan