Images
  • Singapore Zoo
    (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Peralihan dalam teknologi, kemampanan wujudkan peluang bagi pelancongan: Chan Chun Sing

SINGAPURA: Daripada perubahan pesta tahunan makanan kepada sebuah pesta maya dengan kelas-kelas yang diadakan secara langsung hingga ke elemen-elemen permainan bagi wisata di mana para peserta menyelesaikan teka-teki sambil meneroka Chinatown, itulah antara contoh bagaimana para pemain pelancongan sudah mencipta semula perniagaan mereka dengan teknologi di tengah-tengah COVID-19.

Pendigitalan dan teknologi-teknologi baru sudahpun "menggangu" sektor pelancongan sebelum COVID-19.

Pandemik ini malah mempercepatkan lagi peralihan kepada cara masyarakat dan perniagaan saling berhubung antara satu sama lain, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing pada Rabu (7 Apr).

"Dalam dunia di mana para pengunjung tidak terhad oleh sempadan fizikal, perjalanan bukan lagi tentang mesyuarat atau bersiar-siar tetapi sekumpulan pengalaman unik yang ditawarkan kepada para pengunjung, dari sebelum ketibaan sehingga sesudah berlepas," kata beliau semasa persidangan tahunan industri Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

"Pertumbuhan seterusnya bagi sektor pelancongan akan datang adalah daripada usaha mewujudkan pengalaman bermutu dari mula hingga akhir, yang disesuaikan mengikut keperluan pengunjung."

Singapura perlu terus memanfaatkan teknologi untuk mencipta semula pengalaman-pengalaman yang ditawarkan kepada para pengunjung, ujar Encik Chan, sedang beliau mengumumkan pelancaran platform baru yang dipanggil Kiub Transformasi Teknologi Pelancongan (Tcube) yang akan dijadikan "sumber rujukan" bagi perniagaan-perniagaan pelancongan semasa melalui tranformasi digital mereka.

"Inisiatif di bawah Tcube akan membolehkan perniagaan-perniagaan pelancongan untuk bertemu pihak-pihak berkepentingan yang berpandangan serupa untuk mempermudah pertukaran pengetahuan, menguji idea-idea inovatif menerusi bukti konsep dan projek-projek perintis serta melengkapi diri mereka dengan wadah untuk membangunkan dan mengembangkan model perniagaan berdaya mampan," ujar beliau.

Ketua Eksekutif STB Keith Tan berkata lembaga itu akan melanjutkan program Pemacu Pelancongan untuk lagi dua tahun sehingga September 2023.

Program itu pertama kali dimulakan pada 2019 untuk membantu perniagaan-pernigaan dalam sektor pelancongan mendapatkan huraian-huraian inovatif bagi menangani cabaran.

Sehingga hari ini, ia sudah menyokong 21 syarikat pemula untuk membangunkan 34 huraian industri.

Menurut Encik Tan, lembaga pelancongan akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan agensi untuk menarik syarikat-syarikat dengan huraian-huraian teknologi serta digital yang relevan untuk sektor pelancongan Singapura.

"Kami memerlukan anda untuk mewujudkan permintaan kepada huraian-huraian yang sedang diuji ini, untuk menjalankan projek perintis dan melihat sama ada ia boleh dikembangkan dengan cepat," kata beliau di persidangan itu.

"Jika kita tidak melakukannya, kita berisiko ketinggalan zaman, tidak berupaya memenuhi permintaan dan jangkaan para pengunjung berpengetahuan dan bermutu."

Peta Hala tuju Pembangunan Keupayaan Sektor Pelancongan yang baru juga akan dibangunkan oleh STB dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) untuk memastikan tenaga kerja dalam sektor pelancongan dilengkapi kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam dunia pasca pandemik.

Dengan sokongan daripada perikatan yang diterajui industri di bawah Pasukan Bertindak Bangkit Lebih Kukuh Bersama, hala tuju itu dijangka dimuktamadkan dan dikongsi menjelang hujung tahun ini, kata Encik Tan.

MENJADI DESTINASI BERDAYA MAMPAN

Sektor pelancongan juga akan merebut peluang-peluang peralihan ke arah kemampanan," kata Encik Chan.

Beliau merujuk kepada Pelan Menghijau 2030, yang menyasarkan untuk membangunkan Singapura menjadi sebuah destinasi bandar yang berdaya mampan dan inovatif.

Meskipun Singapura mungkin tidak dapat bersaing dengan "destinasi-destinasi eko" lain disebabkan kekurangan tanah dan landskap semula jadi, nilai yang dijanjikan negara ini datang daripada aspek " tidak ketara", ujar Encik Chan.

Ini termasuk sekitaran pengawalan yang progresif dan telus, perlindungan kukuh hak milik intelektual serta ekosistem awam dan privet yang bertenaga.

"Kita mahu menjadi tempat terbaik untuk menguji huraian-huraian mampan, produk-produk baru dan pengalaman-pengalaman baru, membolehkan perniagaan-perniagaan dari merata dunia untuk melancarkan huraian-huraian pertama ke pasaran dan inovasi, di sini di Singapura," kata Encik Chan.

Encik Tan berkata meskipun kebanyakan pemain industri mengakui perlu untuk menumpukan perhatian kepada kemampanan sekitaran, isunya mesti ditangani "bersama" sebagai satu destinasi berbanding perusahaan oleh perusahaan".

Lantaran itu, STB akan mendampingi para pemain industri dalam beberapa bulan mendatang untuk berkongsi pandangan bagi membangunkan strategi-strategi dan sebuah peta hala tuju bagi destinasi mampan.

Ia juga akan meluaskan ruang lingkup Pemacu Pelancongan Singapura, termasuk pembangunan huraian-huraian bagi kemampanan.

"Pada dasarnya, kami tidak mahu hanya dikenali sebagai destinasi mampan tetapi sebagai lokasi terbaik untuk syarikat-syarikat menguji huraian-huraian mampan pelancongan," kata Encik Tan, sambil memberikan contoh hotel atau tempat-tempat hiburan sifar karbon.

PERJALANAN UNTUK URUSAN PERNIAGAAN AKAN MENINGKAT

Trend-trend lain yang mesti direbut industri dalam dunia pasca pandemik termasuk apa yang disifatkan oleh Encik Tan sebagai "hampir semuanya dari jarak jauh", yang merupakan pekerjaan-pekerjaan yang dilakukan dari jarak jauh dan acara-acara maya.

STB percaya akan ada pemintaan bagi perjalanan untuk tujuan perniagaan, meskipun semakin banyak kaedah mudah kini muncul bagi mesyuarat secara maya, kata beliau.

"Dari satu sudut anda melakukan perjalanan ke seluruh dunia untuk mendengar pembentangan yang mungkin anda boleh dengar dari rumah melalui Zoom, tetapi dari sudut yang lain anda melakukan perjalanan ke acara-acara untuk bertukar-tukar idea dan pengetahuan yang dapat mencetuskan idea, produk dan pengetahuan baru. Atau mengalami sendiri, menyentuh, dan merasa produk-produk dan inovasi baru yang boleh mengganggu atau mengubah perniagaan anda," tambah beliau.

"Maka, cabarannya adalah untuk kita memastikan bahawa Singapura terus menawarkan acara dan kegiatan bernilai tambah, terdahulu di dunia, menambah pengetahuan seperti ini di sini."

Beliau menyarankan untuk mengadakan persidangan dan acara perdagangan yang menumpukan kepada masalah-masalah besar yang memerlukan perhatian mendesak daripada syarikat-syarikat korporat dan pemerintah, seperti keselamatan makanan.

Sebuah industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) yang "kukuh" juga diperlukan, tambah Encik Tan.

Selain bekerjasama dengan Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran (SACEOS), STB akan memainkan peranannya untuk menyokong dan mengetengahkan profil industri.

Satu lagi pengumuman yang dibuat di persidangan tahunan industri pelancongan itu termasuk tiga tempat tarikan baru yang akan diadakan di Singapura, sedang negara ini mencuba untuk menyuntik kesegaran ke dalam sektor pelancongan yang terjejas teruk oleh pandemik.

Projek-projek baru itu akan membantu menyokong sektor pelancongan dan meningkatkan daya tarikannya, kata Encik Tan. 

- CNA/NK/nk

Top