Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penyiasat MOE 'mendesak' saya: Guru dituduh menggelapkan wang pelajar menangis di mahkamah

Seorang guru yang dituduh menyelewengkan wang S$40,000 daripada para pelajar menangis di mahkamah pada Isnin (24 Jun) sedang beliau menceritakan bagaimana beliau "dimalukan" dan digari oleh para pegawai polis di hadapan para pelajar dan guru-guru lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyiasat MOE 'mendesak' saya: Guru dituduh menggelapkan wang pelajar menangis di mahkamah

Maslinda dibicarakan atas pertuduhan pecah amanah melibatkan wang dibayar pelajar.

Diterbitkan : 25 Jun 2019 01:35AM Dikemas Kini : 25 Jun 2019 01:47AM

SINGAPURA: Seorang guru yang dituduh menyelewengkan wang S$40,000 daripada para pelajar menangis di mahkamah pada Isnin (24 Jun) sedang beliau menceritakan bagaimana beliau "dimalukan" dan digari oleh para pegawai polis di hadapan para pelajar dan guru-guru lain.

Maslinda Zainal, Ketua Jabatan (HOD) Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Woodgrove memberi keterangan buat pertama kali dan memberitahu mahkamah bagaimana para penyiasat Kementerian Pendidikan (MOE) "mendesak" beliau meskipun beliau sudah memberitahu mereka bagaimana beliau menggunakan wang itu.

Wanita 44 tahun yang mempunyai sarjana pendidikan dan pada ketika itu menyelia tujuh hingga lapan guru, mempertikaikan dua tuduhan pecah amanah sebagai seorang penjawat awam. Beliau dituduh menggelapkan sekitar S$40,000 yang sepatutnya digunakan untuk membiayai bahan pembelajaran para pelajar antara Januari 2016 hingga April 2017.

"SAYA DIPERLAKUKAN SEPERTI SAYA BERSALAH"

Menceritakan pengalamannya semasa disoal siasat oleh penyiasat MOE, Maslinda berkata: "Beliau menuduh saya menggunakan wang itu untuk perkara yang saya tidak pernah lakukan.

"Beliau memberitahu saya yang saya menggunakan wang itu untuk bayaran pendahuluan hartanah, membeli barang mewah. Beliau menuduh saya membelanjakankannya untuk diri sendiri, memberikannya kepada orang lain."

Maslinda berkata, para penyiasat MOE "menggeledah" mejanya, almarinya dan laci-lacinya dan juga di bawah mejanya.

Apabila ditanya peguam bela Singa Retnam untuk berkongsi perasaannya, Maslinda berkata: "Saya sangat kecewa kerana tanpa mengira apa saja yang saya katakan, apa saja yang saya tunjukkan (kepada para penyiasat), mereka masih mendesak saya dan terus menyoal saya tentang apa yang saya lakukan dengan wang itu."

"Saya diperlakukan seolah-olah saya bersalah, saya diperlakukan seperti seorang penjenayah," kata Maslinda.

Menurut Maslinda, beliau memberitahu seorang penyiasast MOE bahawa beliau sudah "menyerah kalah" kerana penyiasat itu masih "mendesaknya" untuk mengaku sudah menggunakan wang itu, meskipun beliau sudah menerangkan bagaimana beliau menggunakannya.

SAYA RASA SEOLAH-OLAH DIRI DIMALUKAN

Polis tiba lalu menggari Maslinda, mengiringi beliau ke tempat meletak kereta di mana sebuah kereta polis sedang menunggu.

"Ada guru dan pelajar ketika itu, Tuan Hakim," Maslinda memberitahu Hakim Daerah Ng Cheng Thiam, lalu menitiskan air mata dan menangis. "Saya rasa seolah-olah ... dimalukan."

Maslinda berkata beliau dibawa ke Balai Polis Jurong dan digari pada susur di tingkat bawah tanah tempat meletak kereta selama sekitar sejam sebelum dibawa untuk diambil gambar dan diambil sampel darah dan cap jari.

"Mereka merampas barang-barang saya, mereka mengarahkan saya supaya menanggalkan hijab dan mengambil cermin mata saya," kata Maslinda. "Saya memberitahu pegawai itu bahawa saya tidak dapat melihat tanpa cermin mata, namun beliau tetap mengarahkan saya supaya menyerahkan cermin mata."

Maslinda turut mendakwa bahawa seorang pegawai polis, Inspektor Balai Polis Navindeer Singh menuduh beliau mengambil S$300,000. Inspektor itu merumuskan jumlah tersebut dengan menggandakan S$20,000 - anggaran bagi setiap tuduhan - dengan 15 tahun, tempoh beliau mengajar di sekolah itu.

"Saya memberitahunya bahawa saya tidak melakukan perkara sedemikian dan saya terus menangis terisak-isak," kata Maslinda. "Beliau kemudian menggertak saya. Beliau berkata - sebagai seorang kakitangan awam, apabila anda didakwa dengan tuduhan jenayah pecah amanah, adakah anda menyedari bahawa anda berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup, anda tidak akan dapat bertemu keluarga anda lagi."

Maslinda mendakwa bahawa pegawai itu memberitahunya, pihak polis akan melepaskannya dan tidak akan mendakwanya jika beliau menandatangani keterangan yang mereka sudah siapkan dan bersetuju membayar "apa sahaja" jumlah yang mereka arahkan.

Mendakwa dirinya "tersangat takut", Maslinda berkata beliau bersetuju dengan apa sahaja dan menandatangani keterangan itu tanpa membacanya.

Dalam salah satu kenyataan yang diserahkan kepada polis, Maslinda mengaku mengambil sekitar S$10,000.

Perbicaraan diteruskan sepanjang minggu ini.

Jika sabit kesalahan pecah amanah, Maslinda boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda bagi setiap kesalahan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan