Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penyelia dijel selepas pekerja maut semasa baiki paip bocor

Seorang penyelia kanan dihukum penjara empat bulan pada Khamis (19 Ogos) selepas seorang pekerja meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya semasa membaiki sambungan paip yang bocor. 

Anggaran Waktu Membaca:
Penyelia dijel selepas pekerja maut semasa baiki paip bocor

(Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 19 Aug 2021 11:34PM Dikemas Kini : 19 Aug 2021 11:38PM

SINGAPURA: Seorang penyelia kanan dihukum penjara empat bulan pada Khamis (19 Ogos) selepas seorang pekerja meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya semasa membaiki sambungan paip yang bocor.

Muhammed Noredzuan Othman, 42 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan melakukan tindakan cuai yang mengakibatkan kematian seorang rakan kerja, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis.

Pada 1 Januari 2016, seorang pemasang paip dan tukang kimpal, Chin Chee Cheng, bersama rakan sekerjanya ditugaskan untuk membaiki sambungan paip yang bocor di saluran pemampat gas tekanan tinggi di atas kapal.

Apabila Encik Chin menanggalkan penyambung pengapit dari sambungan paip, penyambung itu tertanggal dan menghentaknya. Beliau mengalami kecederaan teruk di kepala serta perutnya dan dibawa ke hospital.

Namun, Encik Chin meninggal dunia akibat kecederaannya pada hari yang sama.

Siasatan lanjut mendedahkan bahawa insiden tersebut berpunca daripada pelepasan gas baki bertekanan, terperangkap dalam pemampat gas bertekanan tinggi itu, yang melantunkan penyambung pengapit itu dengan kuat, jelas MOM.

Menurut MOM, majikan Noredzuan, Enermech ditugaskan oleh pemilik kapal untuk menjalankan ujian kebocoran nitrogen-helium, termasuk di talian paip terjejas.

Semasa menjalankan ujian, Enermech akan menambah tekanan pada sistem paip berdasarkan batasan ujian yang ditetapkan.

Sebagai penyelia di lapangan, Noredzuan bertanggungjawab memeriksa sistem paip sebelum ujian dijalankan untuk mengesahkan batasan ujian dan posisi injap, berdasarkan gambar rajah paip dan instrumen. Ini dikenali sebagai 'line walk'.

Siasatan MOM mendapati berikutan ujian pertama yang dilaksanakan pada 31 Dis 2015, Noredzuan tidak melakukan 'line walk' untuk mengesahkan batasan ujian dan posisi injap selaras dengan senarai semak atau gambar rajah. Dia sebaliknya menandatangani senarai semak tersebut dan meneruskan ujian seterusnya.

Akibatnya, salah satu injap tidak diperbetulkan kea posisi "buka", dan gas bertekanan dari ujian pertama terperangkap dalam talian paip. Ini yang menyebabkan penyambung pengapit melantun keluar pada 1 Jan 2016.

"Akibat gagal melakukan 'line walk', kecuaian Noredzuan membahayakan keselamatan rakan-rakan sekerjanya, dan akhirnya membawa kepada kematian Encik Chin," kata MOM.

Syarikat yang menggajikan Encik Chin untuk kerja-kerja pembaikan, Generco Engineering, sebelum itu juga didenda S$180,000.

"Kemalangan tragis" itu dapat dielakkan jika prosedur kerja yang selamat seperti 'line walk' dilaksanakan dengan betul, kata Encik Sebastian Tan, pengarah keselamatan pekerjaan dan pemeriksa kesihatan.

"Sebagai penyelia di lapangan, ia menjadi tanggungjawab Noredzuan untuk pastikan prosedur-prosedur demikian dipatuhi," katanya.

"MOM akan terus menuntut hukuman ke atas mereka yang gagal melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang betul. Kami menggesa para majikan dan pekerja untuk mengambil iktibar daripada kes ini. Kita perlu terus berwaspada dan melaksanakan langkah-langkah keselamatan demi melindungi pekerja kita daripada kecederaan." 

Sumber : CNA/FZ/IH/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan