Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penyedia jagaan kesihatan swasta dibenarkan tawar sesetengah vaksin COVID-19 belum diluluskan HSA: MOH

Kementerian Kesihatan (MOH) akan melonggarkan peraturan vaksinasi COVID-19 bagi membolehkan laluan khas bagi penyedia jagaan kesihatan swasta untuk memberi vaksin COVID-19 alternatif yang belum lagi diluluskan bagi penggunaan di sini, katanya pada Isnin (31 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 31 May 2021 08:29PM Dikemas Kini : 31 May 2021 08:56PM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) akan melonggarkan peraturan vaksinasi COVID-19 bagi membolehkan laluan khas bagi penyedia jagaan kesihatan swasta untuk memberi vaksin COVID-19 alternatif yang belum lagi diluluskan bagi penggunaan di sini, katanya pada Isnin (31 Mei).

Sejauh ini, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) hanya meluluskan penggunaan dua vaksin COVID-19 iaitu Pfizer-BioNTech dan Moderna, yang mana kedua-duanya vaksin berasaskan mRNA.

Perubahan itu akan membolehkan vaksin-vaksin COVID-19 yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam Senarai Penggunaan Kecemasan (EUL) mereka untuk digunakan di sini.

Vaksin-vaksin ini tidak diberi subsidi Pemerintah, dan mereka yang mendapat vaksin menerusi laluan ini tidak layak bagi program bantuan kewangan kecederaan vaksin MOH, sebuah skim yang memberi bantuan kepada mereka yang mengalami kesan sampingan buruk akibat suntikan vaksin COVID-19.

Senarai WHO sekarang ini merangkumi vaksin-vaksin oleh AstraZeneca/Oxford, Johnson & Johnson, Covishield dari India serta Sinopharm dari China.

Vaksin Sinovac, yang mana Singapura sudah pun menerima bekalan pertama sebanyak 200,000 dos, sedang menjalani kelulusan EUL dan satu keputusan dijangka dicapai menjelang awal Jun, menurut laman web WHO.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata sebaik sahaja vaksin itu dimasukkan dalam senarai EUL, sebuah institusi jagaan kesihatan berlesen swasta boleh menggunakannya untuk memberi vaksin kepada para individu di Singapura.

"Apabila WHO meluluskan vaksin Sinovac ke dalam senarai EUL, institusi jagaan kesihatan berlesen itu boleh memohon kepada MOH untuk mengambil bekalan stok 200,000 dos sedia ada untuk diberikan kepada mereka yang ingin mendapatkannya," kata Encik Ong di sidang media selepas ucapan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin.

Langkah itu bertujuan untuk menyediakan lebih fleksibiliti terhadap penggunaan vaksin COVID-19 alternatif di sini, menurut Encik Ong.

Beliau juga menarik perhatian bahawa sekitar 30,000 individu tidak dapat mengambil vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna atas sebab-sebab perubatan.

Meskipun begitu, MOH menyatakan bahawa "terdapat minat untuk mengakses vaksin-vaksin alternatif yang digunakan di negara-negara lain" berdasarkan sebab-sebab perubatan itu.

"Namun, tiada permohonan bagi kelulusan vaksin-vaksin alternatif ini di Singapura, ataupun penilaian sedang dijalankan," menurut MOH.

Ini sebabnya MOH akan membuka akses kepada vaksin-vaksin EUL di bawah "laluan akses khas", sebuah mekanisme sedia ada bagi membolehkan ubat-ubatan belum berdaftar untuk diimport bagi memenuhi keperluan perubatan yang belum dipenuhi.

Menurut MOH lagi, laluan akses khas itu dibenarkan hanya bagi tempoh pandemik.

"Seperti ubat-ubatan lain yang dibekalkan di bawah laluan akses khas ini, doktor yang mentadbirkan vaksin dan pesakit harus membincangkan risiko dan manfaat daripada penggunaan vaksin yang tidak berdaftar atau diluluskan oleh HSA dan membuat keputusan bersama berdasarkan maklumat mencukupi," menurut kementerian itu.

Para pesakit juga perlu menandatangani borang keizinan untuk mengakui bahawa mereka telah berbincang dengan doktor mereka dan menerima segala tanggungjawab bagi risikonya.

"Sedang lebih banyak data tersedia, MOH akan dapat menentukan jika individu yang divaksin di bawah laluan akses khas mungkin layak untuk pengecualian yang sama bagi ujian, atau sekatan kesihatan awam, yang mungkin dikenakan terhadap individu yang divaksin di bawah program kebangsaan kami," menurut kenyataan MOH.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan