Images
  • sara
    (Gambar: n_sarahaqilah/Instagram)

Penyanyi Sarah Aqilah didenda $30,600 atas 2 kesalahan elak bayar GST sekitar $6,000

SINGAPURA: Penyanyi tempatan Sarah Aqilah didenda $30,600 selepas mengaku bersalah pada Khamis (10 Okt) terhadap dua tuduhan mengelak bayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bernilai sekitar $6,000 di bawah Akta Kastam.

Lima lagi tuduhan turut dipertimbangkan.

Menurut peguam bela Sofia Bennita D/O Mohamed Bakhash, Sarah bersedia melunaskan $10,000 hari ini, dan meminta baki $20,600 dibayar secara ansuran selama 12 bulan.

Peguam bela juga menjelaskan bahawa anak guamnya "memberi kerjasama" sepanjang tempoh siasatan dan sudah membayar sepenuhnya jumlah GST yang dielakkan berjumlah sekitar S$14,000.

Beliau turut menarik perhatian anak guamnya "menyesali" serta sudah mengambil langkah-langkah untuk "merubah model perniagaannya".

Hakim Daerah Hamidah Ibrahim bagaimanapun menetapkan baki tersebut dibayar dalam masa dua bulan.

Sekiranya gagal membuat bayaran penuh bagi dua kesalahan tersebut, Sarah boleh dihukum penjara 55 hari.

Dalam kenyataan media Kastam Singapura hari ini, pihaknya melakukan siasatan ke atas kegiatan perniagaan Sarah menjual barangan berjenama yang dibeli di luar negara, di laman Instagramnya.

Siasatan tersebut mendedahkan pengarah BFF Avenue itu melakukan perjalanan ke Eropah untuk membeli barangan berjenama seperti beg tangan, dompet dan kasut, dan kemudian membawa pulang untuk dijual tanpa mengisytiharkan barangan tersebut dan tanpa membayar GST, dedah kenyataan media itu.

DUA KESALAHAN PADA 2017

Sarah didenda atas dua kesalahan yang dilakukan pada tahun 2017.

Kesalahan pertama dilakukan pada 6 Jun 2017, di mana dia tidak mengisytiharkan barangan bernilai $66,652.80, dengan bayaran GST yang dielak sebanyak $4,665.74.

Kesalahan kedua dilakukan pada 7 November pada tahun yang sama selepas mengelak bayaran GST sebanyak $1,519.08 bagi barangan bernilai $21,701.09.

Kedua-dua kesalahan tersebut dilakukan di Laluan Hijau Dewan Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Changi.

141 BARANGAN BERJENAMA TIDAK DIISYTIHARKAN

Awal dari itu, Sarah didakwa dengan tujuh tuduhan mengelak membayar GST.

Menurut kenyataan media Kastam Singapura, siasatan mendedahkan dia tidak mengisytiharkan 141 barangan berjenama yang dibeli di luar negara antara Jun 2015 hingga November 2017, berjumlah lebih S$205,980.

Jumlah bayaran GST yang dielak bagi tujuh tuduhan itu berjumlah $14,460.

Di bawah Akta Kastam, sesiapa yang didapati bersalah mengelak membayar GST boleh didenda sehingga 20 kali jumlah cukai yang dielak dan/atau dihukum penjara sehingga dua tahun.

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/na

Top