Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penyanyi Awie dan lebih 700 'bikers' pecah rekod Konvoi Motosikal Terbesar di Geylang Serai

Dalam satu pemandangan yang jarang-jarang anda saksikan, lebih 700 motosikal menggegarkan Geylang Serai.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam satu pemandangan yang jarang-jarang anda saksikan, lebih 700 motosikal menggegarkan Geylang Serai.

Konvoi pimpinan penyanyi rok Awie Wings dan Encik Mohamed Abdullah Alhabshee (suami Presiden Halimah Yacob) malah berjaya memecahkan Buku Rekod Singapura bagi Konvoi Motosikal Terbesar.

Jika anda sendiri berada di sekitar daerah Geylang Serai siang tadi (30 Jun), anda pasti hairan mengapa agaknya muncul begitu banyak 'motor besar' atau motosikal berkuasa tinggi termasuk lebih 100 Harley Davidson.

Deruman enjinnya yang kuat menggegarkan seluruh kawasan tapak warisan Melayu itu, bukan untuk menangkap perhatian orang ramai secara suka-suka sahaja tetapi atas dasar gerak budi yang murni.

LEBIH 2,500 BORANG GIRO DIEDARKAN UNTUK KUMPUL DANA

Namun, konvoi besar-besaran tersebut bukan calang-calang kerana disertai dua tetamu khas.

Pertama, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee, yang dilihat begitu ranggi menunggang Harley Davidson. Kedua penyanyi rok terkenal Malaysia, Awie Wings, yang menerima sorakan padu orang ramai sebaik sahaja beliau tiba di halaman Wisma Geylang Serai.

Suami Presiden Halimah Yacob, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee (motosikal depan), dan penyanyi rok Awie Wings (motosikal kedua dari depan) memasuki halaman WGS dengan menunggang Harley Davidson. 

Suami Presiden Halimah Yacob, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee (motosikal depan), dan penyanyi rok Awie Wings (motosikal kedua dari depan) tiba di halaman WGS.

Mereka merupakan sebahagian daripada 708 penunggang motosikal yang mewakili lebih 150 kumpulan motosikal dari Singapura dan Malaysia yang berarak ke WGS secara konvoi dari tempat letak kereta Kallang Leisure Park.

Gabungan mat-mat motor dari dua negara itu juga menyelitkan ciri amal jariah apabila lebih 2,500 borang GIRO diedarkan dalam kalangan penunggang motosikal untuk mengajak mereka menghulurkan sumbangan ikhlas kepada Bank Makanan Jamiyah Singapura.

"Kalau kejayaan acara ini membuka pintu kepada semua kumpulan yang lain, bagi acara-acara yang akan datang mereka akan datang menyokong bersama, mengeratkan silaturrahim dan bersama dapat beramal, membantu mereka yang susah dari mana-mana pihak yang memerlukan bantuan," ujar Encik Hazaan Lee Omar, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Bikers Union SG.

"Dengan ini kita dapat menunjukkan yang kita Melayu Islam/Singapura mampu bikin sesuatu untuk masyarakat awam yang memerlukan lebih daripada kita."

IBARAT KONSERT ROK MINI

Presiden Halimah Yacob selaku tetamu kehormat kemudian menyampaikan Sijil Penghargaan kepada para penaja.

Suasana di hab kebudayaan bersepadu tersebut bertambah gamat dan bertukar menjadi ala konsert rok buat sejenak apabila kumpulan Wings menakluki pentas untuk memukau orang ramai dengan tiga buah lagu.

Awie dan kumpulan roknya, Wings, membuat persembahan di WGS semasa acara Tunggang Amal Hari Raya Jamiyah 2019. 

Ternyata, Awie langsung tidak menghampakan para peminat yang sangat terhibur dengan persembahannya.

"Kami mempunyai tiga moto - silaturahim, ekonomi dengan kebajikan. Jadi kebajikan adalah keutamaan bagi kami dalam kumpulan WINGS MG Society ini. Apabila dipanggil untuk membuat amal kebajikan macam ini kan, saya tanpa melengahkan masa, saya terus setuju sahaja," kongsi Awie yang juga Pengasas dan Presiden Wings MG Society - ASEAN.

WGS LABUHKAN TIRAI RAMADAN-SYAWAL PENUH GAH

WGS selaku hos acara turut melahirkan rasa berbesar hati atas peluang untuk sama-sama menjayakan usaha baik pada hari ini.

(Gambar: Wisma Geylang Serai/Facebook)

Menurut Penolong Pengarah, Program Bersepadu dan Hubungan Pelanggan WGS, Encik Muhammad Yunus Haroon: "Ini acara kemuncak bagi Wisma Gyelang Serai dan ini adalah menutup tirai dalam acara-acara yang diadakan di Wisma Geylang Serai sepanjang Ramadan dan Syawal seperti Bazar Raya Geylang Serai dan juga ketupathon".

"Kami ingin memberitahu semua orang ramai untuk menantikan lebih banyak acara yang lebih menarik yang akan diadakan di Wisma Geylang Serai," katanya lanjut.

Acara Tunggang Amal Hari Raya Jamiyah 2019 ini dianjurkan oleh Bikers Union SG dan Singapore Bikers Inc dengan disokong WGS.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan