Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penunggang PMD syarikat penghantar makanan perlu patuh peraturan LTA, kata syarikat

Syarikat-syarikat penghantaran makanan di Singapura menegaskan penunggangnya yang menggunakan PMD mesti mematuhi peraturan-peraturan Penguasa Pengangkutan Darat. 

Anggaran Waktu Membaca:
Penunggang PMD syarikat penghantar makanan perlu patuh peraturan LTA, kata syarikat

(Gambar fail: ElectroWolf, Electric Scooters Singapore‎/ Facebook)

Diterbitkan : 29 Nov 2018 09:53AM Dikemas Kini : 29 Nov 2018 09:57AM

SINGAPURA: Khairul (bukan nama sebenar), 23 tahun, seorang penunggang alat mobiliti peribadi (PMD) yang bekerja dengan salah sebuah syarikat penghantar makanan utama di sini memberitahu Mediacorp, sedang e-skuter yang ditunggangnya dibenarkan di bawah undang-undang, beliau "kadang-kala" menggunakannya di jalan raya dan bukan di laluan awam.

"Ia tidak dapat dielakkan. Kadangkala ada kelengahan di restoran dan kami tertekan untuk menepati masa penghantaran yang dianggarkan," katanya.

"Saya hanya lakukan ini pada waktu malam bila jalan raya lengang. Ia lebih mudah daripada menunggang di laluan pejalan kaki," tambah beliau.

Meskipun begitu, syarikat-syarikat penghantaran makanan di Singapura menegaskan penunggangnya yang menggunakan PMD mesti mematuhi peraturan-peraturan Penguasa Pengangkutan Darat.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, empat syarikat penghantaran makanan utama di Singapura - Foodpanda, Honestbee, GrabFood dan Deliveroo - semua menekankan kepentingan mematuhi undang-undang keselamatan jalan raya Singapura.

"Tindakan akan diambil ke atas penghantar HonestBee yang didapati mengggunakan PMD yang tidak memenuhi piawai. Kami tidak akan teragak-agak untuk membatalkan kontrak mereka sekiranya perlu, selepas siasatan terperinci dijalankan," kata Pengarah Urusan Honestbee Singapore, Chris Urban.

Bagi GrabFood pula, para pengirim makanan perlu memaklumkan syarikat tentang jenis pengangkutan yang digunakan - sama ada PMD, motosikal, basikal atau dengan berjalan kaki.

Proses pendaftaran ini membenarkan syarikat untuk mengesahkan dan memastikan PMD yang digunakan penunggang itu mematuhi undang-undang Singapura.

Keempat-empat syarikat memberitahu Mediacorp bahawa mereka mendidik para penunggang mereka tentang kepentingan mematuhi peraturan bila mereka mula bekerja.

Seorang jurucakap Foodpanda berkata, semua penunggangnya yang menggunakan PMD atau basikal dibantu kuasa, dilatih tentang "semua peraturan keselamatan serta kod tata laku jalan raya menerusi satu program suaikenal wajib."

GrabFood pula memastikan para penunggangnya dididik tentang Akta Mobiliti Aktif, satu set peraturan dan kod tata laku bagi penunggang motosikal dan PMD serta basikal dibantu kuasa (PAB).

Menurut Akta yang diluluskan di Parlimen pada Januari 2017, PMD dan PAB yang digunakan di laluan awam tidak boleh melebihi 20 kilogram, berukuran maksimum 70 sentimeter dan mempunyai had kelajuan 25 kilometer sejam. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan