Images
  • scoot molest
    (Gambar: TODAY)

Penumpang Scoot jalani hukuman penjara kerana cabul pramugari setelah rayuan ditolak

SINGAPURA: Seorang penumpang yang mencabul seorang pramugari dalam penerbangan Scoot akan mula menjalani hukuman penjara selama empat bulan selepas rayuannya ditolak pada Jumaat (16 Okt).

Warga India Vijayan Mathan Gopal, 40 tahun didapati bersalah pada Ogos tahun lalu bagi kesalahan mencabul seorang pramugari berusia 22 tahun dalam satu penerbangan Scoot dari Cochin, India ke Singapura pada 2 Nov 2017.

Dia didapati bersalah atas tiga tuduhan menggunakan kekerasaan jenayah untuk mencabul kehormatan wanita itu, dengan menyentuh lengan dan wajah beliau, menekup wajah wanita itu, meletakkan tangannya di paha wanita berkenaan dan meraba punggungnya.

Hakim Aedit Abdullah pada Jumaat berkata beliau berpuas hati bahawa rayuan itu harus ditolak, "walaupun ada usaha terbaik" dari peguam Vijayan dari Allen & Gledhill.

Menurutnya beliau mendapati bahawa bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwa membuktikan tanpa keraguan bahawa Vijayan melakukan kesalahan itu.

Meskipun terdapat beberapa perbezaan dalam bukti yang dikemukakan, kewibawaan mangsa tidak dinafikan, kata Hakim Aedit.

Tambahnya, beliau tidak melihat sebarang bukti yang menyokong dakwaan Vijayan bahawa mangsa dan rakan sekerjanya mereka dakwaan itu selepas dia mengadu tentang layanan yang buruk.

Mangsa memberi keterangan dalam perbicaraan di mahkamah bahawa beliau berasa marah, tidak selesa dan jijik apabila Vijayan menekup wajah dan memberitahunya bahawa beliau jelita.

Apabila beliau meninggikan suaranya sambil berkata "sir, sir, sir", Vijayan menjawab: "Jangan luahkan kemarahan anda kepada saya" dan "Saya bos dalam penerbangan ini".

Mangsa kemudian melaporkan kejadian itu kepada kapten penerbangan dan membuat laporan kepada Scoot dan polis lapangan terbang.

Peguam bela mengesahkan pada Jumaat bahawa Vijayan bersedia untuk menjalani hukuman penjara dengan segera dan hakim membenarkannya berbual setengah jam dengan anggota keluarganya.

- CNA/HA/ha

Top