Images
  • sia
    (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Penumpang penerbangan SIA Mei lalu diminta menjalani ujian TB

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) meminta sebilangan penumpang yang menaiki pesawat penerbangan Singapore Airlines SQ25 ke New York menerusi Frankfurt pada 13 dan 14 Mei lalu serta pesawat penerbangan SQ26 ke Singapura pada 27 Mei supaya menjalani ujian batuk kering (TB) kerana mereka mungkin terdedah kepada pesakit yang menghidap jenis penyakit itu yang berjangkit.

Para penumpang diminta pergi ke Unit Kawalan Batuk Kering (TBCU) di Hospital Tan Tock Seng bagi menjalani ujian.

MOH menyatakan pada Jumaat (5 Okt) bahawa ia dimaklumkan mengenai kes TB itu pada 27 Julai, namun usaha menjejaki penumpang tidak dijalankan kerana kes itu diklasifikasikan sebagai "nontuberculous mycobacteria" yang menurut kementerian itu, biasanya tidak berjangkit.

MOH menyatakan: "Sejajar dengan amalan perubatan standard, pesakit itu mula menjalani rawatan TB dari 27 Julai 2018 sehingga TB boleh dipastikan atau tidak daripada keputusan sampel kahak, yang mengambil masa antara enam hingga lapan minggu.

"Sampel itu didapati positif bagi "mycobacterium tuberculosis" (iaitu diagnosis TB) pada Ogos lalu dan siasatan untuk menjejaki mereka yang terdedah pesakit segera dimulakan."

Para penumpang yang duduk dekat dengan pesakit itu diminta supaya menjalani ujian TB. Selain para penumpang tersebut, mereka yang terdedah kepada pesakit itu juga sudah dihubungi.

Mereka dihubungi melalui panggilan telefon, kiriman teks atau emel, berdasarkan petikan skrin yang ditunjukkan seorang pembaca kepada Mediacorp.


TIADA KES TB AKTIF

"Hanya mereka yang sudah dihubungi oleh TBCU dinilai berisiko dijangkiti TB. Setakat ini, setiap individu yang dikenal pasti oleh TBCU sudahpun dihubungi," menurut MOH.

"Sejajar dengan Peraturan Kesihatan Antarabangsa, MOH juga sudah memaklumkan pihak berkuasa negara-negara lain yang warga negaranya dikenal pasti terdedah kepada pesakit itu, supaya mereka boleh mengambil tindakan kesihatan awam yang diperlukan.

"Para penumpang yang menaiki pesawat-pesawat berkenaan namun tidak dikenal pasti atau dihubungi bagi menjalani ujian itu didapati tidak berisiko kerana mereka tidak berhubungan atau terdedah lama kepada individu tersebut."

MOH turut menyatakan bahawa setakat ini, tiada sebarang kes TB aktif dikesan dalam kalangan mereka yang sudah dikenal pasti untuk menjalani ujian tersebut. 

- CNA/AI/ai

Top