Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penumpang pasrah khidmat MRT bermula lewat

Ramai penumpang memilih untuk menunggu 10 minit sebelum EWL dibuka atau mereka menaiki khidmat bas biasa untuk ke destinasi yang ingin dituju.

Anggaran Waktu Membaca:
Penumpang pasrah khidmat MRT bermula lewat

EWL di stesen MRT Buona Vista pagi 9 Disember 2017. (Gambar: Vanessa Paige Chelvan)

Diterbitkan : 09 Dec 2017 04:52PM Dikemas Kini : 09 Dec 2017 05:57PM

SINGAPURA: "Tiada khidmat kereta api di Laluan Timur-Barat sehingga pukul 8.00 pagi!"

Itulah maklumat yang 'menyambut' para penumpang sebaik saja mereka tiba di stesen MRT Buona Vista awal pagi tadi (9 Dis).

Sesetengah daripada mereka tidak sedar bahawa stesen itu adalah salah satu daripada 17 stesen di Laluan Timur-Barat (EWL) yang dibuka lewat, pada pukul 8.00 pagi setiap Sabtu dan Ahad sehingga 31 Disember ini.

PENUMPANG PILIH TUNGGU KHIDMAT MRT DIBUKA

Sekurang-kurangnya lima kakitangan berada di stesen MRT itu untuk memberitahu para penumpang mengenai khidmat bas percuma yang akan berulang-alik antara stesen-stesen terjejas. Mereka juga mengedarkan risalah mengenai waktu operasi stesen MRT yang terjejas.

Perkhidmatan bas yang disediakan nampaknya tidak popular dengan tidak ramai penumpang menaiki bas tingkat ulang alik di Buona Vista, yang tiba selang seminit antara satu sama lain.

Sebaliknya ramai penumpang memilih untuk menunggu 10 minit sebelum EWL dibuka atau mereka menaiki khidmat bas biasa untuk ke destinasi yang ingin dituju.

Sesetengah penumpang berkata selepas ini mereka akan menimbangkan tempoh tambahan perjalanan memandangkan dengan menaiki bas ulang-alik - yang tambangnya sama dengan kereta api - ia mengambil masa lebih lama untuk mereka sampai ke destinasi.

Seorang penumpang, Ryo, berkata beliau "tiada pilihan" selain berdepan dengan kelengahan waktu operasi kereta api.

"PENGORBANAN YANG PERLU DILALUI"

Seorang lagi penumpang menyifatkan kesulitan itu sebagai "pengorbanan yang perlu dilalui".

Waktu operasi yang lebih singkat itu akan menggandakan tempoh bagi para jurutera untuk menjalankan kerja-kerja penyenggaraan di landasan.

Ini supaya mereka dapat "mempercepat kerja-kerja membaiki sistem isyarat di EWL, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pengendali kereta api SMRT pada bulan lalu.

Dua stesen di Laluan Utara-Selatan (NSL) - Bukit Batok dan Bukit Gombak juga terjejas sedang kerja-kerja kejuruteraan dilanjutkan ke stesen MRT Jurong East. Ini adalah persilangan NSL dan EWL yang kerap digunakan, tambah LTA dan SMRT.

Langkah itu diambil setelah kerosakan sofwe pada sistem isyarat EWL menyebabkan dua kereta api berlanggar di stesen MRT Joo Koon pada 15 November. Seramai 38 penumpang cedera.

Pagi tadi, para penumpang dilihat pasrah dengan waktu operasi baru itu.

Seorang wanita malah berkongsi kereta dengan rakan-rakan sekerjanya.

Seorang belia, Shamima, yang merancang untuk bertemu kawan-kawannya di stesen MRT Orchard memutuskan untuk menunggu di Buona Vista dan kemudian berkongsi teksi.

Sebaik saja jam menunjukkan pukul 8.00 pagi dan EWL dibuka, kakitangan di perhentian bas mengalihkan hadangan yang digunakan bagi menetapkan tempat beratur untuk menaiki bas ulang-alik.

Sedang mereka memberikan bantuan dan maklumat kepada para penumpang, salah seorang kakitangan dengan cerianya berkata: "Jaga diri! Selamat Pagi!"

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan