Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Penulis harus angkat suara yang terbungkam,' penulis Indonesia, Okky Madasari

Kesusasteraan Melayu bukan sahaja bukan sahaja satu bentuk ilmu yang berseni, namun ia turut bertindak sebagai platform untuk penulis mengangkat isu sosial, termasuk persoalan hak-hak asasi manusia.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Kesusasteraan Melayu bukan sahaja bukan sahaja satu bentuk ilmu yang berseni, namun ia turut bertindak sebagai platform untuk penulis mengangkat isu sosial, termasuk persoalan hak-hak asasi manusia.

Itulah yang diperjuangkan novelis Indonesia, Okky Puspa Madasari, penulis undangan di Jabatan Pengajian Melayu NUS.

SASTERA SEBAGAI RUANG MENGANGKAT ISU SOSIAL

Mengangkat isu ketidakadilan, membentuk kesedaran, dan menyemai nilai kemanusiaan. Itulah perjuangan utama penulis terkenal Indonesia, Okky Puspa Madasari.

Baru berusia 33 tahun, Okky sudah menghasilkan enam novel, yang turut diterjemahkan ke Bahasa Inggeris.

Malah, Okky juga merupakan penulis termuda yang pernah memenangi Anugerah Persuratan Khatulistiwa - iaitu sebuah anugerah kesusasteraan paling berprestij di Indonesia.

KEBEBASAN WANITA DIANTARA PERSOALAN YANG DIPERJUANGKAN

Mengambil inspirasi dari penulis mapan Indonesia seperti Pramoedya Ananta Toer, Umar Kayam dan N.H Dini, penulisan Okky mengetengahkan persoalan hak-hak asasi manusia.

Ini termasuk kritikannya terhadap hak kebebasan golongan wanita di Aceh, setelah hukum syariah diperkenalkan di negara tersebut.

"Seorang perempuan harus diberi hak sepenuhnya untuk menentukan dia mahu memakai baju seperti apa, dia mahu memilih cara berbusana seperti apa, dia mahu mengekspresikan dirinya dengan cara seperti apa, itu hak hakiki seorang perempuan, hak hakiki seorang manusia, jadi kita tidak lagi memisahkan antara perempuan dengan lelaki, bahawa kita perempuan dan lelaki adalah sama-sama manusia, yang haknya tidak boleh dikurangkan dan tidak boleh dibezakan.

"Nah banyak kali ketidakadilan yang diterima perempuan, hanya kerana dia perempuan belum kita bicara soal pendidikan, belum kita bicara soal pekerjaan misalnya, belum kita bicara soal pernikahan wanita harus bernikah awal, tapi lelaki harus mendapat pendidikan yang tinggi, itukan bentuk ketidakadilan yang sudah mengakar dalam masyarakat kita," kongsinya bersama pihak kami.

(Sejak mula menulis pada tahun 2010, Okky sudah menghasilkan 6 novel yang mengangkat isu-isu sosial)

'PENULIS HARUS BERI KESEDARAN PADA MASYARAKAT'

Penulisan yang mengangkat isu sosial menurutnya penting untuk diketengahkan oleh seorang penulis khususnya di saat masyarakat tidak prihatin tentang isu-isu sosial, maka itu penulislah yang bertanggungjawab untuk memberikan kesedaran.

Dengan ini, tidak hairanlah Okky melihat karya-karyanya, sebagai senjata untuk memberi ruang persoalan dari masyarakat.

"Karya sastera sebenarnya tidak boleh dipisahkan dengan realiti masyarakat kita karya sastera selalu menjadi cermin dari zaman ketika berada, pengarang berada, pembaca berada, dan menjadi cermin dengan apa yang terjadi dalam masyarakat, nah kita harus melihat dalam masyarakat kita hari ini masih banyak sekali ketidakadilan, masih banyak sekali masalah diskriminasi, masih banyak lagi masalah-masalah di Indonesia," tekannya lagi.

NOVEL KLISE CINTA ISLAMI – SATU KEPRIHATINAN ATAUPUN TIDAK?

Apabila ditanya apakah cabaran yang dihadapinya sebagai seorang penulis pada era ini, bekas wartawan ini berkata salah satu cabarannya adalah untuk membentuk kesedaran di kalangan golongan muda, khususnya melihat kepada keadaan industri dan sosial yang semakin ‘membimbangkan’.

Konteks ini secara khusus merujuk kepada jumlah novel cinta yang berbentuk Islami yang semakin tinggi di pasaran hari ini, yang menurutnya lebih menarik minat pembaca.

“Kalau kita lihat sekarang semua orang mahu menambah belakang Islami, salon Islami, produk kecantikan Islami, dan novel Islami. Dengan menggunakan label Islam - itu sebenarnya kita bicara tentang industri, dan saya bertanyakan, benarkan buku-buku islam itu mengangkat nilai-nilai Islam?

“Seringkali buku-buku yang meletakkan label islami, itu sebenarnya hanya roman belaka, hanya cerita-cerita cinta, lalu seringkali terjerumus pada seolah-olah kalau Islam itu yang boleh poligami, tanpa memberikan latar yang belakang yang benar, tanpa memberikan latar belakang yang luas, kenapa poligami diperbolehkan dalam Islam itu yang seringkali membuat masyarakat kita dibutakan, semakin tunduk dengan doktrin-doktrin yang belum tentu benar dan membuat semuanya tidak bisa berfikir kritis, dan apabila semuanya tidak dapat berfikir kritis tentu dengan mudah terseret dengan radikalisme, ekstremisme, yang harus kita sama-sama jaga,” ujarnya lagi.

Okky yang baru sahaja menamatkan Program Penulisan Antarabangsa di Universiti Iowa, turut berharap dapat berkongsi idea serta pendapat tentang fenomena digital dan media sosial yang mungkin membingungkan realiti dengan kegiatan maya kepada siswa di sini.

Beliau yang juga pengasas dan pengarah program Festival Kesusasteraan ASEAN merancang untuk menerbitkan lagi novel untuk kanak-kanak. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan