Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penulis blog Leong Sze Hian diarah bayar PM Lee ganti rugi S$133,000 kerana fitnah

Mahkamah pada Rabu (24 Mac) mengarahkan penulis blog Leong Sze Hian membayar S$133,000 kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong kerana memfitnahnya dalam satu catatan Facebook.

Anggaran Waktu Membaca:
Penulis blog Leong Sze Hian diarah bayar PM Lee ganti rugi S$133,000 kerana fitnah

Gambar fail Encik Leong Sze Hian (kiri) dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong. (Gambar: Leong Sze Hian, Tang See Kit/Facebook)

Diterbitkan : 24 Mar 2021 02:06PM Dikemas Kini : 24 Mar 2021 02:08PM

SINGAPURA: Mahkamah pada Rabu (24 Mac) mengarahkan penulis blog Leong Sze Hian membayar S$133,000 kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong kerana memfitnahnya dalam satu catatan Facebook.

Encik Leong berkongsi artikel dari laman Malaysia, The Coverage, dalam satu catatan Facebook yang dimuat naik secara terbuka kepada orang ramai pada November 2018. Rencana itu, yang dimuat naik tanpa sebarang kapsyen, mendakwa bahawa PM Lee membantu bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak mengubah wang haram yang dikaitkan dengan dana negara Malaysia yang terpalit skandal rasuah, 1Malaysia Development Berhad.

Hakim Aedit Abdullah mendapati Encik Leong tidak dapat "secara munasabah mendakwa bahawa kata-kata fitnah itu tidak akan mencalar perwatakan (Encik Lee)". Kata-kata itu membayangkan bahawa Encik Lee, "setidak-tidaknya, terlibat dalam kegiatan jenayah yang serius dan tidak jujur".

Hakim juga mendapati bahawa Encik Leong "menerbitkan" rencana itu kerana ia adalah sebahagian daripada catatan Facebooknya dan dihubungkan dengan pautan rencana tersebut dan kerana Encik Leong membuatnya boleh diakses.

Seramai 45 orang memberikan respons terhadap catatan Facebook Encik Leong yang mengandungi pautan bagi rencana itu dan tetapan privasi (privacy setting) bagi catatan tersebut dibuka kepada orang ramai, kata hakim.

Hakim turut memutuskan bahawa Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA) tidak mengubah undang-undang fitnah di Singapura, seperti yang dicabar oleh Encik Leong dan peguamnya Lim Tean.

Encik Leong berhujah POFMA mempunyai kesan langsung dan signifikan terhadap fitnah kerana seseorang individu tidak boleh memintas POFMA dan menuntut saman malu jika yang pertama membenarkannya.

Sebaliknya, PM Lee dan peguamnya, Peguam Kanan Davinder Singh, berpendapat bahawa POFMA terpisah dari dan tidak mengubah undang-undang saman malu di Singapura.

Hakim Abdullah mendapati bahawa POFMA perihatin terhadap kepalsuan dan bukan setakat menjaga nama baik daripada tercalar, dan bertujuan untuk mengelakkan atau mengurangkan kesannya pada negara dan rakyatnya, atau keyakinan masyarakat terhadap Pemerintah dan agensi-agensi Pemerintah yang terancam oleh kepalsuan online.

"Namun, POFMA tidak memberi hak atau sebab tindakan kepada individu yang timbul daripada tuduhan palsu dan fitnah terhadap mereka. Ini adalah perbezaan utama," katanya.

Hakim menolak hujah Encik Leong bahawa tuntutan mahkamah terhadapnya adalah satu penyalahgunaan proses.

Encik Lee meminta ganti rugi bersesuaian dengan kes Roy Ngerng, di mana S$150,000 diberikan. Peguam Encik Leong sebaliknya meminta bayaran ganti rugi serendah S$1.

Hakim Abdullah tidak menemui "niat jahat dan memburuk-burukkan" yang sama dengan kes Encik Ngerng, tetapi berkata kenyataan fitnah dalam kes Encik Leong adalah lebih berat: Menggambarkan seolah-olah Encik Lee terlibat dalam "penyelewengan dana milik rakyat negara lain, bersubahat dengan pemimpin negara itu ".

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan