Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penukaran diploma dan latihan sambil kerja diperkenalkan bagi bakal paramedik

Para pemegang diploma tidak lama lagi akan dapat memohon diploma penukaran selama setahun untuk menjadi paramedik bertauliah, sebelum menjalani latihan sambil bekerja melibatkan operasi ambulans awam dan rawatan perubatan tentera dalam masa nyata.

Anggaran Waktu Membaca:
Penukaran diploma dan latihan sambil kerja diperkenalkan bagi bakal paramedik

(Gambar: Facebook/SCDF)

Diterbitkan : 18 May 2021 05:31PM Dikemas Kini : 18 May 2021 05:35PM

SINGAPURA: Para pemegang diploma tidak lama lagi akan dapat memohon diploma penukaran selama setahun untuk menjadi paramedik bertauliah, sebelum menjalani latihan sambil bekerja melibatkan operasi ambulans awam dan rawatan perubatan tentera dalam masa nyata.

Program bersepadu itu yang dijadualkan bermula pada Oktober, adalah hasil kerjasama antara Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Politeknik Nanyang (NYP).

Pada Selasa (18 Mei), pihak-pihak tersebut menandatangani Memorandum Persefahaman tentang meningkatkan standard profesional paramedik dengan terus membangunkan latihan paramedik di tahap pengajian tinggi.

SAF, SCDF dan NYP menyatakan pada Selasa bahawa program bersepadu itu akan membantu menghasilkan paramedik yang bersedia untuk masa depan.

"Dengan penduduk yang semakin menua, paramedik menghadapi cabaran dalam menangani jumlah kes yang meningkat, dan perlu mendiagnos dan mengutamakan rawatan untuk mereka yang menderita berbilang penyakit," menurut mereka.

"Latihan mantap dan menyeluruh semasa program latihan sambil bekerja, yang meliputi kedua-dua pengurusan mangsa pada masa aman dan perang sangat penting untuk memastikan aliran tetap paramedik yang dikembangkan secara menyeluruh dan bersedia untuk masa depan."

Orang awam yang lulus daripada program bersepadu itu boleh mencari peluang kerjaya dengan SAF sebagai pakar perubatan tentera SAF di bawah Skim Pakar Tentera, atau dengan SCDF sebagai paramedik.

Para lulusan juga boleh bekerja dengan pengendali ambulans swasta atau sebagai paramedik dalaman di industri berisiko tinggi yang lain, menurut kenyataan bersama itu pada Selasa.

"Lulusan daripada Dip PRM akan dilengkapi dengan kemahiran dan kelayakan yang mempersiapkan mereka untuk jawatan peringkat pengurusan dan pembelajaran paramedik peringkat lebih tinggi yang berterusan," tambah kenyataan itu.

DIPLOMA PENUKARAN

Diploma (Penukaran) dalam Sains Paramedik (Dip PRM) secara sepenuh masa itu terbuka kepada paramedik pelatih SAF dan SCDF, serta orang awam yang mempunyai sekurang-kurangnya satu kelayakan diploma.

Kursus diploma akan diadakan untuk empat penggal, dengan setiap penggal terdiri daripada fasa bilik darjah dan latihan ambulans dengan SCDF. Pelajaran bilik darjah merangkumi latihan teori dan berasaskan simulasi.

Walaupun kebanyakan kelas akan diadakan di kampus NYP, sebahagiannya juga akan diadakan di makmal simulasi di Pusat Latihan Simulasi Perubatan SAF dan Pusat Latihan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Nasional SCDF.

Kelas-kelas tersebut akan dipimpin oleh fakulti NYP yang disokong oleh jurulatih dari SAF dan SCDF yang merupakan pengamal paramedik yang berkelayakan.

LATIHAN SAMBIL BEKERJA

Para lulusan akan menghabiskan 1.200 jam melakukan latihan sambil bekerja yang dipimpin oleh SCDF, yang disifatkan oleh pihak-pihak itu sebagai "peluang" untuk memperoleh pengalaman kerja secara langsung dan meningkatkan daya kerja mereka.

Peserta akan bekerja dalam operasi ambulans pada masa nyata di bawah penyeliaan paramedik kanan, dan menjalani latihan taktikal mengenai penjagaan paramedik dan pengurusan mangsa sewaktu senario masa perang dan kecemasan awam utama, yang dijalankan oleh SAF.

Mereka yang berminat untuk mengikuti program ini boleh menghubungi Pusat Rekrut Tentera SAF, Pejabat Kerjaya SCDF atau mengunjungi laman diploma NYP.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan