Images
  • halimah yacob (1)
    Lawatan di kebun Istana anjuran Youth Corps Singapore. (Gambar: Chwee/MCI menerusi Facebook Presiden Halimah Yacob)

Penting wujudkan wadah untuk belia berkhidmat atasi rintangan sosial, kata Presiden Halimah

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob menekankan pentingnya menyediakan satu wadah untuk para belia melakukan usaha-usaha perkhidmatan masyarakat bagi mengatasi rintangan-rintangan sosial.

Menurut beliau, ini adalah penting terutamanya menyusuli insiden seperti serangan pengganas di bandar Christchurch, New Zealand baru-baru ini.

Presiden Halimah berkata demikian sedang gerakan sukarelawan belia, Youth Corps Singapore, menganjurkan lawatan di kebun Istana bagi beberapa pesakit Institut Kesihatan Mental (IMH) pagi tadi (18 Mac).

"Para sukarelawan belia kami boleh menjadi duta yang baik dan berkesan untuk membanteras sikap perkauman dan tidak bertoleransi.

"Kita dapat lihat bahawa sikap perkauman dan tidak bertoleransi kian meningkat di merata dunia, seperti dalam serangan-serangan di Christchurch baru-baru ini," katanya.

Menurut beliau, para sukarelawan belia boleh menanganinya dengan menunjukkan bahawa mereka berkhidmat secara ikhlas untuk semua, tanpa mengira bangsa mahupun agama.

Presiden Halimah juga ialah Penaung Youth Corps Singapore.

Gerakan itu bertujuan untuk melakukan kerja-kerja perkhidmatan di merata Singapura selama sekurang-kurangnya 2,000 jam secara keseluruhan, sepanjang cuti sekolah pada bulan Mac.

Ini adalah kali pertama Youth Corps Singapore bekerjasama dengan Istana bagi menganjurkan lawatan itu, dan ia adalah sebahagian daripada Minggu Perkhidmatan Youth Corps Singapore.

- CNA/AI/ai

Top