Images

Penting terus perkukuh perpaduan; pastikan rumah ibadat sentiasa terbuka dan selamat, tegas Shanmugam

SINGAPURA: Rakyat Singapura mesti terus memelihara, mengukuhkan dan mempertahankan perpaduan kaum dan agama yang dipupuk sejak sekian lama.

Ini di samping memastikan rumah-rumah ibadat bagi semua agama di sini dapat terus melaksanakan amalan dan upacara agama masing-masing.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam menegaskan demikian semasa mengadakan lawatan ke Masjid Yusof Ishak pada Khamis (28 Jan).

Lawatan itu diadakan menyusuli pengumuman Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mengenai penangkapan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang merancang untuk menyerang umat Islam di Masjid Yusof Ishak dan Masjid Assyafaah.

Lawatan Encik Shanmugam ke Masjid Yusof Ishak hari ini turut diiringi oleh para pemimpin agama Kristian yang bertemu dengan para pemimpin Islam termasuk Mufti Negara Dr Nazirudin Nasir.

PENTING PASTIKAN RUMAH IBADAT SELAMAT DAN TERBUKA

Menurut Encik Shanmugam, pertemuan muhibah antara para pemimpin kedua-dua agama itu mencerminkan perpaduan yang kukuh dalam fabrik sosial Singapura.

Beliau turut menekankan betapa pentingnya untuk terus memupuk dan menjunjung tinggi nilai itu kerana penduduk Singapura rencam dan datang dari pelbagai latar belakang.

Encik Shanmugam menambah, perpaduan dan keharmonian kaum dan agama sangat penting kerana ancaman sedemikian masih wujud dan akan terus menggugat keselamatan Singapura.

Mentelah lagi orang ramai kini boleh mengakses pelbagai kandungan di Internet yang turut membawa risiko dan bahaya.

"Rumah-rumah ibadat memang sepatutnya terbuka untuk orang ramai masuk dan rasa selesa. Apa yang kami perlukan adalah para kakitangan pentadbiran di rumah-rumah ibadat untuk meningkatkan tahap waspada dan kami selalu berusaha memastikan pasukan kecemasan kami boleh tiba di rumah ibadat, pusat beli-belah dan tempat yang ada ramai orang dalam beberapa minit saja.

"Keselamatan itu adalah urusan semua. Semua perlu melihat jika ada kekurangan, jika ada yang menunjukkan tingkah laku yang mencurigakan. Inilah petanda-petanda yang boleh dikesan dan kami cuba mendidik melalui SG Secure tetapi saya rasa, kita juga perlu menjaga kehidupan seharian kita dan kehidupan seharian kita adalah rumah-rumah ibadat kita yang mengalu-alukan kunjungan orang ramai dan sentiasa terbuka," tegas Encik Shanmugam.

TIADA RASA BENCI TERHADAP SATU SAMA LAIN


Semasa pertemuan itu, Presiden Majlis Gereja Kebangsaan Singapura (NCSS) Reverend Keith Lai menyampaikan sepucuk surat kepada Mufti Negara Dr Nazirudin.

Ia sebagai lambang bagi menunjukkan penghargaan para penganut Kristian terhadap umat Islam di sini dan hubungan muhibah antara kedua-dua agama dan tiada rasa benci terhadap Muslim dan agama Islam itu sendiri.

Menurut Reverend Lai, masyarakat Kristian sendiri terkejut dan terkesan dengan fahaman songsang remaja tersebut.

Beliau menambah bahawa fahaman radikal remaja lelaki itu sama sekali tidak mencerminkan ajaran sebenar agama Kristian yang menitikberatkan rasa kasih sayang dan penerimaan.

"Ini adalah satu peringatan besar buat kita sebagai sebuah masyarakat bukan saja agama Kristian tetapi juga satu negara, bagaimana kita boleh membantu anak muda dan membimbing mereka ke arah yang betul," katanya.

Reverend Lai juga menggesa masyarakat dan para ibu bapa supaya sama-sama membanteras pengganasan melalui kerjasama dengan masyarakat dari agama lain.

Semasa ditemui pihak media, Mufti Dr Nazirudin berkata beliau amat berbesar hati dengan kunjungan para pemimpin gereja berkenaan menyusuli kes tersebut.

Beliau juga berterima kasih atas jaminan Reverend Lai yang menekankan bahawa agama Kristian dan para penganutnya di sini tidak menyimpan sebarang rasa benci terhadap umat Islam dan agama Islam itu sendiri.

"Seperti kita sering melihat apabila berlaku sesuatu aksi keganasan ataupun ancaman keganasan yang timbul daripada sebilangan individu Muslim, masyarakat Islam kita sentiasa memberikan jaminan dan menenangkan masyarakat umum bahawa perbuatan-perbuatan individu sedemikian tidak mencerminkan sikap masyarakat kita, tidak melambangkan ajaran-ajaran agama Islam.

"Jadi kita dapat merasakan cabaran yang dihadapi masyarakat Kristian dan juga pemimpin-pemimpin agama Kristian untuk menenangkan kita juga bahawa apa yang berlaku dan perancangan yang dibuat anak muda tersebut tidak mencerminkan ajaran agama mereka itu," kongsi Mufti Dr Nazirudin.

- BERITAmediacorp/ru

Top