Images
  • keluarga melayu
    Gambar fail sebuah keluarga bermaaf-maafan pada pagi Raya. (Gambar: TODAYonline)

Penting pupuk sikap kebersamaan dalam keluarga; mohon bantuan bukan bermakna lemah

SINGAPURA: Didikan yang betul dapat membimbing anggota sesebuah keluarga mengecapi kejayaan.

Sebaliknya, didikan yang tidak mencukupi boleh membawa kemudaratan kepada diri sendiri bahkan masyarakat secara amnya.

Khutbah Solat Jumaat hari ini (23 Jul) mengajak ibu bapa mewujudkan sikap kebersamaan demi membina keluarga yang utuh.

Ini kerana kejayaan sesebuah keluarga bergantung kepada setiap anggotanya memainkan peranan untuk cuba memahami antara satu sama lain.

Justeru, ibu bapa misalnya digalak bersikap komunikatif dan memberi ruang kepada anak-anak menyuarakan pendapat dan pandangan mereka.

DAPATKAN BANTUAN PIHAK LAIN

Dalam pada itu, keluarga-keluarga Melayu/Islam juga digalakkan supaya mendapatkan nasihat, pendapat dan bantuan pihak lain jika perlu.

Khutbah Jumaat hari ini turut mengingatkan bahawa perbuatan sedemikian tidak bermakna seseorang itu lemah atau gagal membimbing keluarganya semata-mata kerana meminta bantuan pihak lain.

Malah, ia merupakan usaha tambahan untuk membina keluarga yang lebih kukuh.

Sebagai contoh, Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) menyediakan wadah untuk pasangan suami isteri merujuk kepada kadi yang menikahkan mereka bagi mendapatkan nasihat rumahtangga di bawah program 'Bersamamu'.

Mereka turut digalak mendapatkan bantuan profesional daripada para asatizah yang terlatih dalam menghadapi isu-isu kekeluargaan.

Dengan berbincang secara terbuka, ia diharap dapat mencari huraian "bagi memperteguh ikatan keluarga."

Pokoknya, khutbah menekankan pentingnya menjalin hubungan baik sesama ahli keluarga tidak kira apa jua keadaannya.

Selain berusaha mendidik mereka sebaik mungkin, para pemimpin keluarga juga dinasihatkan supaya terus berdoa agar ahli keluarga mereka adalah dalam kalangan orang-orang yang bertakwa.

- BERITAmediacorp/sm

Top