Images
  • tarman
    Gambar fail Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam. 

Penting bagi setiap rakyat S'pura capai kemajuan, kata DPM Tharman

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam berkata adalah penting bagi Singapura untuk mewujudkan sebuah sistem di mana setiap individu 'naik ke tahap lebih tinggi'.

Encik Tharman berkata apabila masyarakat mula menunjukkan tanda-tanda tidak lagi maju, ia akan menjadi suatu isu.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa isu mobiliti sosial akan menjadi bertambah sulit.

Encik Tharman berkata demikian semasa berucap di satu majlis prasidang yang diadakan sempena jamuan malam bagi menyambut ulang tahun Institut Pengajian Dasar yang ke-30.

Ketidaksamaraatan, kemiskinan dan mobiliti sosial adalah topik-topik utama dalam perbincangan antara Encik Tharman dengan Profesor Tommy Koh, iaitu Penasihat Khas Institut Pengajian Dasar.

Semasa sesi dialog yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Expo Marina Bay Sands, Encik Tharman menekankan betapa pentingnya mobiliti sosial.

Menggunakan tangga bergerak sebagai analogi, beliau berkata bahawa adalah lebih baik jika sesebuah negara membantu rakyatnya bergerak dalam arah yang sama.

"Kita harus berusaha dengan lebih gigih untuk terus merangsang mobiliti. Kita harus bermula dari awal lagi, ketika mereka masih dalam kandungan sehinggalah mereka membesar, di mana kita harus campur tangan dan membantu mereka mencapai yang terbaik untuk diri mereka.

"Ia memerlukan usaha yang konsisten semasa zaman kanak-kanak ketika mereka bersekolah dan apabila mereka keluar bekerja, dengan melabur dalam diri mereka secara kerap dan menganggap serius bahawa setiap orang boleh terus membangun," kata beliau.

Encik Tharman menambah bahawa ketidaksamarataan generasi juga adalah sebahagian daripada masalah tersebut.

Beliau berkata meskipun para pekerja matang yang berusia 50-an tahun berada dalam kedudukan baik berbanding golongan yang sama pada tahun-tahun lalu, sebahagian besar daripada mereka kurang siap menghadapi usia senja berbanding generasi-generasi seterusnya.

"Kita harus menumpukan perhatian kita mengenai bagaimana untuk membantu rakyat Singapura yang lebih tua. Lebih tua tidak bermakna mereka benar-benar warga tua, tetapi golongan rakyat Singapura lebih matang yang masih lagi mempunyai jangka hayat selama 40 tahun, atau mereka yang berusia dalam lingkungan 50-an atau 60-an. Dan kami akan membantu mereka bekerja seberapa lama mereka inginkan, untuk bekerja dengan bangga, mendapat gaji yang sesuai dengan sokongan para majikan, pemerintah dan orang awam."

Salah satu cara untuk membantu mereka keluar daripada lingkaran kemiskinan, tambah Encik Tharman, adalah dengan meningkatkan aspirasi dalam kalangan golongan muda serta melibatkan seluruh masyarakat. 

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa Singapura sudah mencapai kemajuan sejak beberapa tahun lalu, dengan kemiskinan mutlak lebih berkurangan.  

- CNA/AI/ai

Top