Images
  • kaplan
    Kampus Kaplan City di Wilkie Edge. (Gambar: Kaplan Singapore)

Pentauliahan WSQ bagi Kaplan Professional digantung kerana 'kelemahan serius'

SINGAPURA: Penyedia khidmat latihan tempatan, Kaplan Professional, tidak boleh lagi menawarkan kursus-kursus Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) mulai bulan depan.

Ini berikutan penemuan beberapa kelemahan serius dalam cara penilaian para pelajarnya semasa audit dilakukan oleh SkillsFuture Singapore (SSG).

Ekoran daripada itu, status Kaplan Professional sebagai sebuah pertubuhan latihan bertauliah akan digantung dan pembiayaannya dari SSG dihentikan selama 12 bulan.

SSG bagaimanapun tidak mengulas lebih lanjut mengenai kelemahan serius oleh Kaplan Professional.

Sementara itu, Kaplan Professional pula menyatakan semakannya sendiri mendapati beberapa jurulatihnya mengamalkan cara penilaian yang tidak sejajar dengan piawaian SSG.

Menurut Kaplan, pihaknya kecewa perkara itu berlaku meskipun ia sudahpun melaksanakan satu program sejak beberapa bulan lalu bagi memastikan kursus-kursus WSQ kendaliannya mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.

APA YANG HARUS DILAKUKAN PARA PELAJAR KAPLAN PROFESSIONAL?

Buat masa ini, Kaplan Professional menawarkan program-prgoram WSQ seperti kemahiran di tempat kerja selain pengurusan perniagaan serta kewangan.

Para pelajar yang sudahpun berdaftar bagi kursus-kursus yang dijadualkan bermula selepas 30 Jun boleh menghubungi Kaplan Professional untuk meminta pilihan alternatif.

"Kaplan Professional dikehendaki mengalihkan mereka kepada pertubuhan latihan lain yang diluluskan WSQ untuk mengurangkan gangguan dalam pembelajaran mereka," menurut SSG. 

- CNA/MU/fz

Top