Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penolong peribadi ketua pengarah SFA didakwa di bawah OSA; bocorkan maklumat penutupan sekolah

Penolong peribadi ketua pengarah Agensi Makanan Singapura (SFA) didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada Rabu (21 Apr) kerana membocorkan kenyataan yang belum diumumkan secara rasmi tentang penutupan sekolah semasa tempoh "circuit breaker" pada tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Penolong peribadi ketua pengarah SFA didakwa di bawah OSA; bocorkan maklumat penutupan sekolah

Pasangan suami isteri Khairul Annuar Zakaria dan Noorain Jubli tiba di Mahkamah Negara pada 21 Apr 2021. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 21 Apr 2021 11:30AM Dikemas Kini : 21 Apr 2021 11:38AM

SINGAPURA: Penolong peribadi ketua pengarah Agensi Makanan Singapura (SFA) didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) pada Rabu (21 Apr) kerana membocorkan kenyataan yang belum diumumkan secara rasmi tentang penutupan sekolah semasa tempoh "circuit breaker" atau pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada tahun lalu.

Penolong peribadi itu, Noorain Jubli, 38 tahun, didakwa dengan dua tuduhan menyebarkan maklumat secara salah. Suaminya, Khairul Annuar Zakaria, 39 tahun, juga didakwa dengan dua tuduhan yang serupa.

Noorain mempunyai akses kepada peti emel ketua pengarah SFA, yang mengandungi maklumat-maklumat sulit mengenai pengurusan COVID-19 di Singapura, menurut kertas pertuduhan.

Pihak polis menerusi kenyataannya pada Selasa malam menyatakan Noorain adalah seorang kakitangan perkhidmatan awam dan penerima maklumat yang diluluskan ketika melakukan kesalahan itu. Maklumat sulit itu adalah dalam bentuk draf kenyataan media oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Kementerian Pendidikan (MOE)pada awal April tahun lalu bagi mengumumkan perincian mengenai pembelajaran di rumah (HBL) serta penutupan pusat prasekolah dan pusat jagaan murid.

Noorain dituduh memetik gambar skrin komputernya yang menunjukkan kenyataan itu dan menghantarnya kepada suaminya menerusi WhatsApp pada sekitar 9.00 pagi pada 3 Apr 2020.

Khairul pula didakwa mengongsikan gambar itu dengan rakan-rakannya sebelum maklumat itu diumumkan secara rasmi. Dia juga dituduh meminta isterinya mengambil gambar senarai khidmat penting yang akan terus beroperasi sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan dan isterinya dipercayai berbuat demikian atas permintaan suaminya.

Seramai 16 orang yang menerima maklumat itu dan kemudian menyebarkan maklumat tersebut akan dikenakan amaran bertulis mengenai penyebaran maklumat secara salah di bawah OSA, tambah polis.

Jika sabit kesalahan, Noorain dan Khairul boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan didenda sehingga S$2,000 bagi setiap kesalahan.

Ini adalah dakwaan kedua berhubung kesalahan membocorkan maklumat rasmi berkaitan COVID-19. Minggu lalu, Zhao Zheng, bekas timbalan ketua unit data Kementerian Kesihatan (MOH) turut didakwa kerana membocorkan jumlah kes harian COVID-19. Seorang lagi tertuduh, Tang Lin didakwa dengan 10 tuduhan di bawah OSA.

Pada Jun 2020, seorang lelaki berusia 50 tahun diberkas kerana disyaki membocorkan maklumat sulit mengenai penyambungan semula kegiatan sebagai sebahagian daripada Fasa 2 pembukaan semula Singapura.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan