Images
  • sg economy skyline
    (Gambar: TODAY)

Penjualan runcit S'pura susut 11 bulan berturut-turut pada Disember

SINGAPURA: Penjualan runcit di Singapura jatuh buat 11 bulan berturut-turut pada Disember lalu, disebabkan kejatuhan penjualan kenderaan.

Menurut Jabatan Perangkaan (DOS), secara keseluruhan, penjualan runcit merosot sebanyak 3.4 peratus berbanding tahun lalu.

Penurunan penjualan kenderaan sebanyak 24.1 peratus adalah punca utama kemerosotan itu.

Punca kedua terbesar adalah barangan rumah dan perabot yang turun 8.2 peratus.

Tidak termasuk kenderaan, keseluruhan penjualan runcit naik 0.1 peratus pada Disember.

Anggaran keseluruhan nilai penjualan runcit pada bulan itu adalah S$4.2 bilion dengan 6.8 peratus adalah penjualan online.

Ia susut sedikit berbanding catatan 8 peratus pada bulan November di mana ia dirangsang oleh acara membeli-belah online seperti 'Hari Bujang'.

DOS turut mengumumkan indeks perkhidmatan makanan dan minuman naik 2.7 peratus berbanding setahun lalu dipacu oleh perbelanjaan yang lebih tinggi di kedai-kedai makanan segera.

- CNA/SY/tq

Top