Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penjual kuih Hari Raya semakin kreatif, anjakkan penampilan pakej kuih-muih

Tinggal tiga hari sahaja sebelum Hari Raya. Ramai daripada kita pasti sudah mula mengisi kuih-muih dalam botol-botol kuih.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tinggal tiga hari sahaja sebelum Hari Raya. Ramai daripada kita pasti sudah mula mengisi kuih-muih dalam botol-botol kuih.

Tentunya bagi ramai daripada kita, rasa dan rupa kuih menjadi penentu sama ada ia menjadi pilihan sajian Hari Raya.

Menyedari faktor ini, sebilangan peniaga kini menganjak setapak lagi ke hadapan dengan memberi tumpuan kepada penampilan keseluruhan kuih-muih Raya.

KUIH MUIH DIJUAL DALAM MANGKUK TINGKAT

Bagi anda yang inginkan satu kelainan, syarikat Mamanda Catering merupakan antara penjual yang menawarkan tawaran baru sempena Syawal ini.

Kuih-muih Mamanda itu dijual dalam mangkuk tingkat!

Lebih menarik lagi, mangkuk-mangkuk tingkat itu dilukis dengan tangan dan corak-corak bunga yang menghiasinya pula termasuklah bunga kebangsaan Singapura.

Ini menjadikannya sesuai dijadikan buah tangan sempena Hari Raya.

Menurut Mamanda Catering, tidak seperti bekas plastik yang lazimnya dibuang selepas dipakai, mangkuk tingkat ini boleh disimpan sebagai kenangan.

Ia juga mengembalikan nostalgia gaya hidup orang Melayu, yang menggunakan mangkuk tingkat ini untuk membawa bekal, pada suatu ketika dahulu.

"Dengan keadaan sekarang ini di mana pergerakan tersekat dan orang ramai tidak boleh membuat kunjungan ke rumah-rumah seperti biasa, tiffin-tiffin ini boleh ditempah dan dihantar khas ke rumah saudara-mara mereka sebagai tanda kasih," kata Cik Zafirah Zulkarnine, Eksekutif Penjualan Mamanda.

Menurut Cik Zafirah juga, tiffin-tiffin atau mangkuk-mangkuk tingkat itu dilengkapkan dengan kuih-muih popular termasuklah kuih tart nenas dan kuih suji - yang boleh dinikmati ramai.

GABUNGAN KUIH MELAYU TRADISIONAL DAN MODEN

Selain Mamanda, banyak peniaga dari rumah (HBB) turut menawarkan pakej-pakej kuih-muih Hari Raya yang kreatif belaka.

Contohnya adalah HBB dengan jenama Cake Mobster yang aktif di Instagram.

Gambar: Suhara Yusof

Tawarannya menggabungkan kuih Melayu tradisional bersama kuih moden, hasil kerjasama Cake Mobster dengan Ainah D'Lights, yang pakar membuat kuih tradisional.

Maka terhasillah set dinamakan 'Divine' dan 'Classic', yang menampilkan enam jenis kuih dalam setiap set yang disediakan dalam bekas-bekas berasingan.

Menurut pemilik Cake Mobster, Cik Suhara Yusof, pengasingan ini dilakukan untuk mengelak campuran antara kuih-muih yang berbilang rasa itu. Kesemua kuih-muih tersebut diletakkan dalam satu kotak dan dilengkapi dengan teg Hari Raya.

Dengan bungkusan yang menarik hati, pakej itu juga sesuai dijadikan sebagai hadiah semasa Lebaran.

"Seperti sekarang bila orang ramai pergi melawat ke rumah sanak saudara mereka, mereka tidak akan membawa botol yang besar-besar. Jadi untuk Hari Raya tahun ini, saya menyediakan set hadiah istimewa ini," kata Cik Suhara.

"Ia bukan setakat kotak sahaja tetapi anda juga boleh meletakkan pesanan-pesanan ringkas untuk diberi kepada kawan-kawan dan keluarga anda," tambah beliau.

Menurut Cik Suhara lagi, beliau sendiri akan menuliskan pesanan ringkas jika dikehendaki oleh pelanggannya.

"Ini memberikan satu sentuhan peribadi kepada pakej kuih-muih kami," kongsinya.

Yang pasti, pakej-pakej menarik yang ditawarkan oleh Mamanda Catering, serta para peniaga HBB seperti Cake Mobster ini, menandakan bahawa kini, bukan mutu dan rupa kuih sahaja yang diberi perhatian.

Penampilan keseluruhan kuih-muih termasuklah bungkusannya juga turut menaikkan lagi 'taraf' kuih-muih Hari Raya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan