Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penjara 4 bulan dek elak NS, tinggal lebih 8 tahun di luar Singapura tanpa permit sah

Seorang lelaki warga Singapura yang dilahirkan di sini namun kini adalah warga Australia dihukum penjara empat bulan pada Rabu (17 Jun) kerana mengelak tanggungjawab perkhidmatan negaranya (NS) dan tinggal di luar negara selama lebih lapan tahun tanpa permit keluar yang sah.

Anggaran Waktu Membaca:
Penjara 4 bulan dek elak NS, tinggal lebih 8 tahun di luar Singapura tanpa permit sah

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 18 Jun 2020 09:06PM Dikemas Kini : 18 Jun 2020 09:08PM

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Singapura yang dilahirkan di sini namun kini adalah warga Australia dihukum penjara empat bulan pada Rabu (17 Jun) kerana mengelak tanggungjawab perkhidmatan negaranya (NS) dan tinggal di luar negara selama lebih lapan tahun tanpa permit keluar yang sah.

Remington Fhang Lim, 28, mengaku bersalah atas satu tuduhan di bawah Akta Pendaftaran kerana terus tinggal di luar tanpa permit keluar yang sah dari Jun 2008 hingga Mac 2017, dengan tuduhan kedua diambil pertimbangan.

Lim sudah tamat menjalani perkhidmatan sepenuh masa (NS) dalam Pasukan Pertahanan Awam Singapura.

Dia merupakan lelaki ke-14 dikenakan hukuman penjara sejak Mahkamah Tinggi pada 2017 menetapkan rangka kerja hukuman bagi mereka yang mengelak tanggungjawabNS.

Mahkamah diberitahu bahawa Lim dilahirkan di Singapura. Kedua-dua ibu bapanya juga warga Singapura namun kini menjadi rakyat Australia.

Keluarga tersebut meninggalkan Singapura pada 2003 untuk ke Australia ketika Lim berusia 11 tahun.

Dia menduduki peperiksaan PSLE di sini dan meneruskan pendidikannya di Australia.

Lim memohon bagi pasport Singapura sebanyak dua kali yang sah sehingga Jun 2005. Kali terakhir dia menggunakannya untuk masuk Australia pada 2003.

Lim sedar dari masa dia membesar di Singapura dan juga melalui hubungannya dengan rakyat Singapura di Australia bahawa warga lelaki Singapura harus menunaikan tanggungjawab NS mereka apabila berusia sekitar 18 tahun.

LIM TIDAK DIMAKLUMKAN BAPANYA TENTANG SURAT NS YANG DITERIMA: PEGUAM BELA

Peguam Lim memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya hanya mengetahui kesalahan tersebut pada tahun 2016, kerana bapanya yang berhubungan dengan pihak berkuasa sejak 2009 tanpa memberitahu Lim tentang perkara itu.

Pada Jun 2008, satu notis pendaftaran dihantar melalui pos kepada ibu bapa Lim agar Lim mendaftar NS secara online.

Satu surat peringatan dihantar melalui pos kepada ibu bapanya sekali lagi sebulan selepas itu tetapi Lim tetap tidak mendaftarkan diri.

Dia juga tidak melaporkan diri di Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) walaupun surat dikirimkan ke alamat orang tuanya pada 24 Jul 2008.

Ibu bapa Lim telah menyewakan kediaman mereka di Singapura dan penyewa menghantar notis itu kepada ejen harta tanah ibu bapanya, yang menghantar surat berkenaan ke alamat Lim di Australia.

Setelah menerima surat itu, ayah Lim mengirim surat kepada CMPB, dengan mengatakan bahawa Lim ingin melepaskan kewarganegaraannya di Singapura dan melanjutkan pelajaran di Australia.

CMPB meminta dokumen sokongan dihantar pada tarikh tertentu dan mengingatkannya bahawa memegang kewarganegaraan asing tidak membebaskan lelaki Singapura dari kewajiban NS.

Permohonannya untuk menangguhkan NS tidak berjaya, dan CMPB memberitahu ayah Lim pada bulan Mac 2009 bahawa Lim telah melakukan kesalahan dengan tinggal di luar Singapura tanpa izin keluar yang sah.

Lim diminta melaporkan diri di CMPB untuk mendaftar bagi NS.

Atas kesalahan tinggal di luar Singapura tanpa permit keluar yang sah, Lim boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda tidak lebih S$10,000, atau kedua-duanya.  

Sumber : CNA/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan