Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penjara 17 bulan bagi wanita yang ajar anak 7 tahun mencuri

Anak perempuannya yang berusia tujuh tahun pada mulanya enggan melakukannya, namun setelah digesa ibunya, budak itu patuh dan mencuri beg tangan hitam kepunyaan seorang pekedai.

Anggaran Waktu Membaca:
Penjara 17 bulan bagi wanita yang ajar anak 7 tahun mencuri
Diterbitkan : 22 Dec 2018 07:56PM Dikemas Kini : 22 Dec 2018 07:59PM

SINGAPURA: Anak perempuannya yang berusia tujuh tahun pada mulanya enggan melakukannya, namun setelah digesa ibunya, budak itu patuh dan mencuri beg tangan hitam kepunyaan seorang pekedai.

Pada Jumaat (21 Dis), wanita 31 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 17 bulan selepas mengaku bersalah di atas lapan tuduhan jenayah, termasuk menghasut anaknya untuk mencuri serta dakwaan-dakwaan lain bagi mencuri dan berkaitan dadah.

Nama wanita tersebut tidak boleh didedahkan bagi melindungi identiti anaknya.

Mahkamah difahamkan salah satu kes berlaku di sebuah kedai di besmen Lucky Plaza pada 16 September tahun lalu. Sedang wanita itu berbual dengan pekedai, anaknya secara senyap-senyap memasuki kedai, mengambil beg tangan itu dan beredar dari kedai tersebut.

Barang-barang serta wang dalam beg yang dicuri kesemuanya bernilai lebih S$450.

Timbalan Pendakwa Raya Desmond Chong memberitahu mahkamah wanita itu mengarahkan anaknya supaya mencuri beg itu.

Pada hari yang sama anaknya mencuri daripada pekedai di Lucky Plaza, wanita tersebut juga mencuri sebuah telefon bimbit dari beg tangan seorang wanita di Plaza Singapura.

Pada 11 November lalu pula, wanita itu mencuri dari seorang pekedai di pusat beli-belah Boon Lay. Anaknya yang bersamanya pada malam itu mengeluh kelaparan.

"(Dia) tidak mempunyai sebarang wang untuk membeli makanan kerana menghadapi masalah kewangan," menurut DPP Chong.

Wanita itu lalu memasuki sebuah kedai yang tidak dijaga dan mencuri sebuah dompet yang terbiar di situ.

Pada September 5 tahun lalu, wanita itu mencuri sekeping kad debit Oversea-Chinese Banking Corporation (OCBC) dan menggunakannya untuk membeli jam tangan bernilai S$109.

Dia diberkas pada 4 November tahun ini. Mahkamah difahamkan kebanyakan barangan yang dicuri belum ditemui.

Wanita tersebut juga menghadapi dakwaan mengambil dadah methamphetamine dan gagal menghadirkan diri bagi ujian air kencing.

Pihak pendakwa berhujah wanita itu mempunyai rekod melanggar undang-undang, termasuk dakwaan mencuri dan menipu.

Peguam bela Dhanwant Singh bagaimanapun berkata anak guamnya "amat menyesali" perbuatannya. Semasa melakukan kesalahan, wanita itu "tidak bekerja... dan menghadapi masalah kewangan," kata beliau.

Wanita itu yang hamil mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia sembilan bulan, tambahnya.

Hakim daerah Terence Tay membenarkan wanita itu menangguhkan hukuman ke 21 Januari tahun depan untuk menyelesaikan beberapa urusan keluarganya.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan