Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penjaja suruh amah anaknya bekerja di gerainya secara haram; 4 jari amah terputus akibat mesin pengisar daging

Lim Sheng Song suruh dua pembantu rumah hijrahan anaknya bekerja di gerainya. Salah seorang pembantu itu terputus 4 jari dalam mesin pengisar daging.

Anggaran Waktu Membaca:
Penjaja suruh amah anaknya bekerja di gerainya secara haram; 4 jari amah terputus akibat mesin pengisar daging

Lim Sheng Song di luar Mahkamah Negara pada 14 Sep 2021 (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 14 Sep 2021 08:21PM Dikemas Kini : 14 Sep 2021 08:24PM

SINGAPURA: Pemilik gerai mi wantan di Tampines mengaku bersalah pada Selasa (14 Sept) kerana melanggar syarat-syarat dan peraturan pas kerja, seperti menyuruh para pembantu rumah hijrahan anak perempuannya untuk menyiapkan makanan bagi gerainya.

Lim Sheng Song juga gagal memastikan salah seorang daripada pembantu rumah itu dilatih dengan betul untuk menggunakan mesin pengisar daging elektrik. Pembantu rumah itu memasukkan tangannya ke dalam mesin tersebut untuk mengambil sebilah pisau, menyebabkan empat jarinya terputus.

Lim, 59 tahun, mengaku bersalah terhadap satu tuduhan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHA) dan dua tuduhan di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing (EFMA).

Satu lagi tuduhan serupa juga akan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman pada 8 Okt.

Anak perempuannya, Lim Sock Hong, didenda S$7,000. Wanita berusia 36 tahun itu mengaku bersalah membenarkan para pembantu rumah yang digajikannya bekerja sebagai penolong dapur gerai bapanya.

Isteri Lim, Koh Siew Imm, 59 tahun, dikenakan amaran tegas kerana turut menyuruh pembantu rumah anaknya untuk membantu perniagaan itu. Pihak pendakwa kemudian menggugurkan dua tuduhan terhadapnya.

Keluarga itu pada mulanya berhasrat untuk menuntut kes mereka dibicarakan.

Dokumen-dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Lim mula mengambil Cik Khin Htar Thwe sebagai penolong dapur di gerai mi Xin Ji, yang terletak di Tampines Street 11, dari Jun hingga September 2016.

Dia kemudian mengambil Cik Su Su Mar bekerja dari November 2017 hingga 31 Jan 2019. Keempat-empat jarinya yang terputus berlaku sekitar hari itu.

Kedua-dua wanita itu bekerja di Singapura menggunakan pas kerja untuk bekerja bagi anak perempuannya dan Lim menyuruh mereka bekerja untuknya tanpa pas kerja yang sah, menurut mahkamah.

Dia juga meminta Cik Su bekerja di rumahnya yang terletak di Loyang Rise.

Dia mengaku gagal melakukan penilaian risiko untuk mengendalikan mesin pengisar daging, melakar prosedur kerja yang selamat, memastikan mesin pengisar itu selamat dan tidak berisiko terhadap pekerja itu dan memastikan wanita tersebut diberikan arahan, maklumat, latihan dan penyeliaan yang secukupnya.

Wanita itu secara tidak sengaja menjatuhkan pisau mentega ke dalam mesin tersebut semasa membuat pes cili dan cuba mengambilnya ketika jarinya terputus.

Encik Low Shi Hou, pegawai pendakwa dari Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengusulkan hukuman penjara selama dua minggu dan denda sebanyak S$20,000 terhadap Lim.

Menurut peguam bela Lim, anak guamnya sudah membayar lebih S$70,000 untuk melunaskan bil perubatannya dan membayar lagi S$21,000 untuk rawatan Cik Su. Sungguhpun demikian, Encik Low menjawab bahawa majikan memang diwajibkan dari sisi undang-undang untuk membayar pampasan perubatan bagi kemalangan di tempat kerja.

Mereka yang didapati bersalah berhubung kesalahan-kesalahan melibatkan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau didenda sehingga S$200,000, atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan menggajikan pekerja hijrahan tanpa pas kerja yang sah, Lim boleh dipenjara sehingga 12 bulan atau didenda sehingga S$30,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan