Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penipuan menerusi panggilan telefon perdaya mangsa S$5.3 juta antara Jan-Mei 2019

Polis pada Rabu (21 Ogos) memberi amaran tentang penipuan menyamar menerusi panggilan telefon yang memperdaya mangsa kononnya mereka membuat kesalahan di sisi undang-undang.

Anggaran Waktu Membaca:
Penipuan menerusi panggilan telefon perdaya mangsa S$5.3 juta antara Jan-Mei 2019

(Gambar hiasan: TODAYonline)

Diterbitkan : 21 Aug 2019 09:36PM Dikemas Kini : 21 Aug 2019 09:40PM

SINGAPURA: Polis pada Rabu (21 Ogos) memberi amaran tentang penipuan menyamar menerusi panggilan telefon yang memperdaya mangsa kononnya mereka membuat kesalahan di sisi undang-undang.

Penipu-penipu, yang kadang-kadang mendakwa dirinya sebagai anggota polis di China, sudahpun mengaup sekurang-kurangnya S$5.3 juta dengan memperdaya 92 mangsa di Singapura antara Januari dengan Mei tahun ini, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media.

Penipu-penipu menggunakan pelbagai kaedah semasa membuat panggilan telefon dengan mangsa, kadang-kadang menyamar sebagai anggota kakitangan dari syarikat khidmat kiriman atau para pegawai dari badan pemerintah.

Penipuan tersebut kemudian memperdayakan mangsa dengan berbagai cara termasuk memberitahu mereka bahawa:

  • Nombor telefon bimbit yang didaftarkan di bawah nama mangsa terlibat dalam jenayah
  • Sebuah bungkusan di bawah nama mangsa mengandungi barangan haram dan sedang ditahan
  • Terdapat kes mahkamah yang sedang dijalankan terhadap mangsa
  • Mangsa sudah melakukan jenayah dan diperlukan untuk membantu dalam siasatan

Mangsa kemudian diminta untuk memberikan maklumat peribadi serta butiran akaun bank mereka bagi tujuan siasatan, antaranya termasuk butiran perbankan Internet (iBanking) dan kata laluan sekali (OTP). Setelah itu, para penipu akan menggunakan maklumat tersebut untuk memindahkan wang keluar dari akaun bank mangsa.

Dalam variasi lain skim penipuan sedemikian, penipu meminta mangsa untuk mengimbas kod QR dan memindahkan wang menggunakan mesin penjual bitcoin atau mengeluarkan wang dari akaun bank mereka dan menyerahkannya kepada "pegawai pemerintah" untuk tujuan pengesahan.

Beberapa panggilan telefon penipuan itu disambungkan kepada orang lain yang mendakwa sebagai pegawai polis dari China. Mangsa akan ditunjukkan waran untuk penangkapan mereka di China dan akan diancam dengan hukuman penjara seandainya mereka tidak bekerjasama.

Bagi mengelakkan diri daripada terperangkap dalam kes penipuan sedemikian, polis menasihati anggota masyarakat supaya berhati-hati apabila menerima panggilan telefon daripada nombor atau pihak yang tidak dikenali.

Polis juga menarik perhatian bahawa sesetengah penipu boleh melindungkan nombor telefon sebenar mereka dan membuatnya kelihatan seperti nombor lain. Polis memberi contoh, nombor yang kelihatan seperti nombor Singapura mungkin adalah panggilan dari luar negara.

Jika anggota awam menerima sebarang panggilan yang mencurigakan, mereka boleh menamatkan panggilan itu segera dan tunggu sebentar sebelum menelefon kembali nombor yang sama untuk memeriksa kesahihan permintaan.

Polis menegaskan agensi-agensi pemerintah tidak akan meminta butiran peribadi atau pemindahan wang melalui panggilan telefon mahupun menerusi mesin suara automatik.

Orang awam juga tidak seharusnya memberikan nama, nombor pengenalan, butiran pasport, nombor telefon, butiran akaun bank atau kad kredit mereka kerana maklumat ini boleh disalahgunakan para penjenayah.

Polis menyatakan sesiapa yang ingin mendapatkan nasihat berhubung kes berkaitan penipuan boleh menghubungi talian antipenipuan 1800 722 6688 atau lungsuri laman www.scamalert.sg.

Sesiapa yang ingin berkongsi maklumat tentang penipuan boleh menghubungi polis di talian 1800 255 0000 atau menyerahkan maklumat secara online di www.police.gov.sg/iwitness

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan