Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peningkatan pendidikan disambut baik namun ada lulusan prihatin tentang peluang kerja

Bagaimana Pemerintah akan meningkatkan mutu pendidikan prasekolah awam? Apakah kesan ke atas peluang pekerjaan bagi lulusan ijazah baru dengan jumlah biasiswa posmenengah ditingkatkan? Demikian antara persoalan yang dikupas dalam wawancara bersama Cik Rahayu Mahzam yang diterbitkan Warna 94.2.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pendidikan dan persaraan adalah antara dua perkara utama yang dibentangkan dalam ucapan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan hujung minggu lalu.

Ini termasuk mengurangkan kos pendidikan bagi prasekolah dan posmenengah, serta menaikkan usia persaraan.

Namun, terdapat juga beberapa persoalan yang timbul mengenai butiran inisiatif-inisiatif itu.

Khususnya, bagaimana Pemerintah akan meningkatkan mutu pendidikan prasekolah awam? Apakah kesan ke atas peluang pekerjaan bagi lulusan ijazah baru dengan jumlah biasiswa posmenengah ditingkatkan?

Demikian antara persoalan yang dikupas dalam wawancara bersama Naib Pengerusi Panel Penyelia unit maklum balas pemerintah, REACH, Cik Rahayu Mahzam, yang disiarkan menerusia stesen radio Warna 94.2 siang tadi (21 Ogos).

KIAN RAMAI IBU BAPA MELAYU/ISLAM SEDAR KEPENTINGAN PENDIDIKAN PRASEKOLAH

Cik Rahayu berkongsi rasa gembira melihat lebih ramai golongan ibu bapa Melayu/Islam yang peka akan kepentingan pendidikan prasekolah.

Menurutnya, sebelum ini pendidikan prasekolah dilihat hanya sebagai "sekolah makan", namun kini lebih ramai yang akur akan peranan penting pendidikan awal dalam melentur kanak-kanak itu dan mengubah laluan kehidupannya.

Selain kos pendidikan prasekolah yang lebih dimampui, mutu pembelajaran dan kemahiran tenaga pengajar juga dipertingkatkan.

Ini dilakukan menerusi badan-badan seperti Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) dan Institut Pendidikan Awal Kanak-Kanak Nasional (NIEC).

"Kita harus memastikan ada alternatif atau pilihan bagi keluarga daripada latar belakang berbeza untuk mampu menghantar anak mereka ke prasekolah bermutu. Jadi itu yang sekarang dilakukan untuk memastikan 80 peratus kanak-kanak mendapat tempat di prasekolah yang menerima dana pemerintah," kata Cik Rahayu yang juga merupakan Anggota Parlimen GRC Jurong.

PELUANG PEKERJAAN GRADUAN SENTIASA ADA: RAHAYU

Menyentuh tentang jumlah dermasiswa pendidikan posmenengah yang akan ditingkatkan oleh Pemerintah, Cik Rahayu berkata ia amat dialu-alukan oleh orang ramai.

Namun, ia menimbulkan kebimbangan dari segi peluang pekerjaan yang ada dengan lebih ramai lulusan ijazah baru.

Menjawab soalan tentang bagaimana Pemerintah akan memastikan peluang pekerjaan bagi para lulusan ijazah baru, Cik Rahayu berkata Pemerintah sentiasa memantau industri-industri sedia ada di Singapura bagi memastikan kurikulum pembelajaran relevan dengan keperluan pekerjaan.

"Ini adalah usaha yang berterusan kerana kami telah bincangkan ini daripada tahun-tahun yang lalu tentang adanya Pelan Transformasi Industri dalam satu latihan untuk kita memastikan, kita lihat secara khusus industri-industri yang sedia ada dan apakah keperluan mereka dan apakah perubahan yang sedang berlaku.

"Dan sistem pendidikan kita harus sentiasa berubah mengikut keperluan ini," kata beliau.

KOS MENINGKAT BAGI PARA MAJIKAN MENJADI PRIHATIN BAGI PEKERJA BERUSIA

Mengenai inisiatif meningkatkan usia persaraan dan pengambilan semula pekerja, salah satu keprihatinan yang timbul adalah sama ada para majikan akan benar-benar melakukan seperti yang disarankan oleh Pemerintah.

Ini kerana, ia akan menyebabkan peningkatan dalam kos kepada majikan dari segi peningkatan tokokan caruman CPF.

Namun, Cik Rahayu memberi jaminan bahawa para majikan akan diberi pakej bantuan yang akan diumumkan semasa Belanjawan 2020. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan