Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peningkatan keselamatan Bionix ekoran siasatan kematian NSF Liu Kai: Ng Eng Hen

Peningkatan sedang dilaksanakan ke atas kenderaan Tempur Infantri Bionix sebagai sebahagian daripada langkah memperkukuhkan pengurusan keselamatan Tentera Singapura semasa latihan, kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dalam kenyataan menteri di Parlimen pada Isnin (11 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Feb 2019 04:56PM Dikemas Kini : 12 Feb 2019 12:03AM

SINGAPURA: Peningkatan sedang dilaksanakan ke atas kenderaan Tempur Infantri Bionix sebagai sebahagian daripada langkah memperkukuhkan pengurusan keselamatan Tentera Singapura semasa latihan, kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dalam kenyataan menteri di Parlimen pada Isnin (11 Feb).

Ini menyusuli siasatan yang dijalankan Jawatankuasa Siasatan ke atas kematian Korporal Kelas Pertama (CFC) Liu Kai dalam satu kemalangan latihan November lalu.

Ekoran dapatan COI serta semakan dalaman Angkatan Bersenjata Singapura SAF sendiri, beberapa langkah akan diambil termasuk menjalankan latihan simulasi keselamatan sebelum memulakan sebarang latihan berisiko tinggi bukan menembak serta mengerahkan lebih ramai jurulatih berpengalaman di medan latihan, kata Dr Ng.

CFC Liu, 22, meninggal dunia pada 3 November lalu, setelah kenderaan Bionix yang menjauhi tembakan simulasi musuh mengundur sehingga berlanggar dengan Land Rover yang dipandu anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) itu.

Sebagai sebahagian daripada peningkatan kenderaan Bionix yang terlibat dalam latihan SAF, dua lagi butang e-hon dipasang di belakang semua kenderaan Bionix berkenaan sejak November 2018, kata Dr Ng.

Ini akan membolehkan pemandu di bahagian belakang kenderaan untuk membunyikan penggera sekiranya ada kegagalan interkom, tambah beliau.

E-hon menghasilkan bunyi yang boleh didengar di dalam dan di luar kenderaan apabila ditekan dan memberi isyarat kepada pengendali kenderaan supaya berhenti dengan serta-merta.

Sistem kamera pandang belakang juga akan dipasang secara bertahap-tahap mulai Mac tahun ini, kata Dr Ng. Ini supaya pemandu akan dapat melihat apa yang ada di belakang mereka semasa latihan mengundur.

"Sistem ini akan menyediakan rakaman video secara langsung dari belakang kenderaan, yang membolehkan pengendali mengawasi situasi kenderaan dengan lebih baik secara keseluruhan semasa latihan dan operasi," tambah MINDEF.

Sistem ini sedang menjalani tahap terakhir semakan reka bentuk sebelum dipasang dan akan siap menjelang 2020.

Selain peningkatan Bionix, semua kenderaan beroda berat seperti lori lima tan juga akan dipasang secara bertahap-tahap dengan kamera dan cermin pandang belakang untuk mengurangkan kawasan yang terlindung daripada pemandangan pengendali, kata Dr Ng.

Apabila kenderaan perlu berundur seperti dalam latihan pengeluaran, SAF melaksanakan langkah-langkah baru seperti jurulatih yang tidak lagi menaiki Land Rover tetapi menyertai anggota tentera yang menaiki kenderaan tempur semasa latihan berisiko tinggi, serta pemandu hanya boleh mengundurkan kenderaan apabila diizinkan menerusi panduan belakang semua pergerakan mengundur.

"Kedua-dua langkah ini berserta dengan butang hon kecemasan akan meningkatkan keselamatan dan masih membenarkan unit kereta kebal melakukan latihan pembebasan," katanya. "Tambahan lagi, Tentera Darat akan memastikan bahawa hanya kenderaan penting dibenarkan masuk ke kawasan latihan untuk mengurangkan risiko kemalangan."

LATIHAN SIMULASI DAN JURULATIH LEBIH BERPENGALAMAN

Lebih ramai jurulatih tetap berpengalaman juga ditugaskan, kata Dr Ng.

Sama seperti latihan menembak peluru hidup, Tentera Darat juga akan menjalankan latihan simulasi bagi semua latihan berisiko tinggi tanpa peluru hidup sebelum pelaksanaan latihan sebenar, kata Dr Ng. Ini termasuk membiasakan diri dengan langkah kecemasan dan rancangan pemindahan.

Para pegawai perubatan juga akan diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam bantuan pernafasan dan pengendalian kecemasan, melalui latihan sambil bekerja di unit kecemasan hospital dan ambulans.

"CFC Liu Kai ialah askar yang sangat disenangi dan dihormati," kata Dr Ng. "Beliau berkhidmat dengan bangga dan dikenang oleh rakan-rakannya atas dedikasi dan komitmennya. Kami meratapi kehilangan nyawa berharga anak muda ini. Dan kami berharap langkah-langkah yang telah kami jalankan akan mencegah insiden serupa pada masa akan datang."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan