Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peniaga Melayu hidupkan semangat gotong-royong dengan berkongsi ruang kerja

Peniaga-peniaga Melayu berkongsi tentang pengalaman mereka berkolaborasi di tengah-tengah landskap ekonomi yang sengit sekarang.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bersatu teguh, bercerai roboh. Peribahasa ini memang tidak asing dalam masyarakat kita.

Bagi sesetengah peniaga Melayu, istilah bekerjasama ini menjadi salah satu prinsip yang dipegang teguh untuk meraih kejayaan dalam bidang perniagaan.  

BERITAmediacorp bertemu dengan peniaga-peniaga Melayu ini yang berkongsi tentang pengalaman mereka berkolaborasi di tengah-tengah landskap ekonomi yang sengit sekarang.

KOLABORASI BAWAH SATU BUMBUNG BANTU JIMAT KOS

Meskipun sudah lama mencipta nama dalam industri perkahwinan tempatan, Fatimah Mohsin kini membawa jenamanya, Fatimah Mohsin The Wedding Gallery (Fatimah Mohsin TWG), ke kawasan baru di Arab Street.

Kedai terbaru ini menawarkan kepada para mempelai pengalaman untuk memilih baju pengantin dalam suasana yang sungguh berlainan – iaitu berkonsepkan gaya hidup. Namun, visi ini tidak dapat dicapai tanpa kerjasama dengan para peniaga lain.

“Saya jatuh cinta dengan ruang kedai ini apabila pertama kali saya lihatnya. Terlalu cantik. Tapi ia besar - 2,800 kaki persegi. Harga sewa pasti tinggi. Bagaimana saya boleh mampu? Jadi dari situlah saya membuat keputusan untuk berkolaborasi bersama peniaga-peniaga lain,” kata Cik Fatimah.

Fatimah Mohsin The Wedding Gallery di Arab Street. (Gambar: Fatimah Mohsin/Instagram)

Setinggi 3 tingkat, Fatimah Mohsin TWG kini menempatkan Karva, yang menawarkan khidmat merias kuku dan juga Jesswan Interior yang merupakan sebuah syarikat reka bentuk dalaman. Cik Fatimah juga memanfaatkan kolaborasi bersama dua syarikat ini untuk menggabungkan perniagaan barangan rumah beliau, iaitu Propupstore.

“Saya memang ingin menjual ‘lifestyle’. Bila kita berbual dengan pelanggan, kita mahukan suasana santai. Mereka boleh duduk di sini dengan hiasan dari Propupstore. Mak pengantin boleh buat rawatan kuku di ‘nail bar’ Karva di sini. Sekaligus mereka boleh dapatkan inspirasi untuk rumah idaman mereka di Jesswan Interior. Lalu pengantin boleh bincang lebih lanjut di tingkat dua tentang baju perkahwinan,” kata Cik Fatimah.

Kedai ini juga merupakan lokasi strategik bagi Cik Fatimah yang turut menjalin kerjasama dengan The Landmark Restaurant yang terletak di bangunan bertentangan.

Menurut Ruby Rasidi, Pengarah Kumpulan (Penjualan) Singapore Hospitality Group of Companies: “Dengan adanya jenama-jenama yang kukuh dan dipercayai, ia dapat beri ketenangan kepada pasangan-pasangan untuk mendapatkan perkhidmatan perkahwinan yang lengkap di bawah satu bumbung. Contohnya apabila pasangan mengambil salah satu pakej perkahwinan di The Landmark, ia termasuk baju pengantin dari Fatimah Mohsin TWG yang kini berada di depan saja.”

BERKONGSI ILMU & SALING MEMBANTU DI RUANG KERJA

Seperti Cik Fatimah, keputusan Nasruledy Hakim Abdul Rahman untuk berkongsi ruang kerja bersama para peniaga lain didorong oleh harga sewa yang melambong tinggi.

Sebagai pengasas Hany’s The Brunch Store, iaitu sebuah kafe yang berkonsepkan ‘grab and go’, Encik Nasruledy membuat keputusan untuk membawa ‘pejabatnya’ lebih dekat di kedai, dua tahun lalu.

“Kedai sebelah yang sebelum ini merupakan pasar kering, terpaksa ditutup dan diubah suai untuk menjadi konsep baru. Jadi tuan tanah memberi saya peluang untuk membawa pejabat saya ke sini, yang sebelum ini terletak di Kembangan,” kata Encik Nasruledy, yang berusia 29 tahun.

Kedai Hany’s The Brunch Store di Tampines St 41. (Gambar: Zulaikha Zulkiflee/BERITAmediacorp)

Pejabat Encik Nasruledy yang kini terletak di unit bersebelahan Hany’s The Brunch Store dikongsi dengan para usahawan dari syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) yang lain.

Ini termasuk firma-firma daripada bidang perakaunan, pakar runding perniagaan dan penerbitan. Ruang pejabat ini juga dikongsi dengan sebuah kedai tukang jahit.

Selain menjimatkan kos sewa bagi sekumpulan usahawan ini, interaksi di bawah satu bumbung juga memberi ruang untuk mereka saling membantu dan berkongsi ilmu.

“Apabila saya ada masalah dan tidak tahu bagaimana hendak menyelesaikannya, saya akan kongsi bersama rakan-rakan sepejabat - dari segi pemasaran atau perakaunan. Dari situ saya dapat menyelesaikan masalah dengan pantas berbanding secara bersendirian,” kata Encik Nasruledy.

Trend berkolaborasi antara para usahawan dari syarikat-syarikat kecil dan sederhana kini semakin ketara dan terserlah, menurut Azrulnizam Shah Sohaimi, Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

“Dalam bermesyuarat bersama ahli-ahli kami, lebih ramai di antara mereka yang mempunyai kebolehan, kepakaran dan inisiatif yang tersendiri. Jadi kolaborasi amat penting kerana para peniaga dapat menumpukan perhatian kepada kepakaran mereka tersendiri, sambil mengembangkan perniagaan mereka melalui perkongsian ilmu dan juga sumber bersama usahawan lain,” kata Encik Azrulnizam.

Tambah beliau, ekosistem bisnes Melayu tempatan juga dapat meraih manfaat daripada ilmu perniagaan, di mana mereka yang berpengalaman memberi tunjuk ajar kepada peniaga baru.

Menurut Cik Fatimah yang sudah berkecimpung dalam industri perkahwinan selama hampir dua dekad, “Saya gemar berkongsi tentang pengalaman saya, seperti seorang mentor. Dan ramai dari orang Melayu kita perlukan sokongan untuk bantu mereka capai lebih dari yang dijangkakan. Saya juga lebih suka kolaborasi dengan jenama-jenama muda kerana saya sendiri dapat belajar dari anak-anak muda ini.”

“Saya berharap agar peniaga-peniaga Melayu yang besar, yang berada di paras yang lebih tinggi, akan dapat bergotong-royong, berkolaborasi bersama peniaga-peniaga lain yang kecil seperti kami. Jadi dapat membawa kami ke paras yang lebih tinggi supaya perniagaan Melayu Singapura dapat berkembang dan maju di masa hadapan,” ujar Encik Nasruledy.

Sumber : BERITA Mediacorp/zz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan