Images
  • eatz19
    Perusahaan sosial Melayu/Islam Eatz19 yang bertempat di Hab Tampines Kita. (Gambar: BERITAmediacorp)

Peniaga Melayu harap Belanjawan 2019 akan bantu ringankan kos pekerja & sewa

SINGAPURA: Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) berharap Belanjawan 2019 yang bakal dibentangkan Pemerintah bulan depan, akan memberi lebih banyak bantuan kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) untuk menampung kos pekerja dan kos sewa yang semakin bertambah.

Sokongan itu diharap dapat diberikan dalam bentuk skim atau geran, menenurut DPPMS.

Ini kerana dalam satu kajian yang dijalankan DPPMS tahun lalu, 45% daripada sekitar 100 syarikat Melayu/Islam yang ditinjau berdepan dengan isu kos pekerja dan kadar sewa yang semakin bertambah.

Hasil kajian itu, menurut DPPMS, sama seperti kajian yang dijalankannya pada tahun 2017.

Hakikatnya, kos pekerja dan sewa premis yang dimampui, tambah DPPMS, penting dalam memastikan penakatan sesebuah SME.

Lantaran itulah, bantuan dalam kedua-dua bidang tersebut kini diperlukan.

Pengarah Eksekutif DPPMS Encik Azrulnizam Shah berkata: "Saya berfikir kalau kementerian dapat memberi sokongan kepada peniaga-peniaga ini misalannya, mungkin ada geran-geran yang menolong mereka untuk terus meningkatkan kualiti buruh mereka supaya mereka lebih produktif dan dapat melakukan perniagaan mereka dengan kos yang lebih rendah.

"Jadi saya fikir geran-geran begini yang ditumpukan kepada kos buruh mungkin dapat menolong perniagaan-perniagaan kami."

CABARAN YANG SAMA MESKI SUDAH OPERASI SELAMA 20 TAHUN

Antara syarikat yang juga mengalami cabaran sebegini adalah perusahaan sosial, Eatz19, walaupun sudah beroperasi selama dua dekad.

Pemilik Eatz19 Cik Shakila Sham berkongsi 10 tahun lalu kos memulakan perniagaan sepertinya memerlukan sekitar $50,000.

Namun kini, modal sekurang-kurangnya $150,000 diperlukan termasuk kos pekerja dan kos sewa.

"Kita perlu banyak bantuan daripada pemerintah untuk memberi lebih geran, meringkan kuota-kuota tenaga manusia semoga kita dapat meluaskan dengan lebih pantas lagi dan tidak lupa geran untuk sewa. Sewa semakin mahal dan itu akan merendahkan keuntungan kita," kongsinya.

Untuk bertakat, syarikat Cik Shakila antara lain memberanikan diri melaksanakan platform digital dalam perniagaannya.

Beliau menambah: "Kami dapat melihat penukaran ini membantu dengan kos operasi restoran, operasi tenaga manusia kerana apabila kami mengambil langkah menuju ke alam digital banyak operasi restoran itu tidak sesusah macam dahulu. Jadi kita dapat kurangkan tenaga manusia, meningkatkan penjualan dan platform."

Usaha sebegini disokong DPPMS dengan harapan SME-SME Melayu peka dengan manfaat landskap ekonomi digital.

Ini supaya SME tempatan dapat terus kekal mampan dan berdaya saing di peringkat nasional dan juga serantau melewati Belanjawan tahun ini.

Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Februari ini. 

- BERITAmediacorp/ru

Top